Nov 30, 2010

PENGENALAN QIRAAT SYAZAH (BAHAGIAN KEDUA)

0 comments
 
 
HURAIAN DHOWABIDH QIRAAT MUTAWATIRAH

Pada bahagian ini penulis akan memperincikan setiap dhowabidh (rukun-rukun) berdasarkan keutamaannya, iaitu susunan terbalik bait Thoyyibah.

Namun sebelum itu sukalah saya ingatkan para pembaca sekalian bahawa Imam Ibnu al-Jazari telah menjadikan dua rukun iaitu rasm dan bahasa arab sebagai sebahagian daripada ta'rif.

Hal ini tidak disebut oleh ulama' selain beliau. Malahan sesetengah ulama' berpendapat kedua-dua rukun tersebut sudah terkandung dalam rukun pertama iaitu Tawatur Sanad. Cuma yang khilaf ialah adakah perlu disebutkan atau tidak.

Pendapat yang mengatakan tidak perlu disebutkan kembali dua rukun tersebut lebih aula (didahulukan). Ini kerana asal ketetapan bagi al-Quran ialah tawatur. Justeru, dua ketetapan tadi ialah sokongan kepada yang asal.
Bagi menguatkan lagi hujjah ini, al-Quran itu sendiri telah diturunkan dalam bahasa Arab. Maka mana mungkin wujudnya bacaan (qiraat) selain daripada bahasa tersebut.

Firman Allah s.w.t. dalam surah Yusuf, ayat 2:


  إنا أنزلناه قرآنا عربيا

 Maksudnya: "Sesungguhnya kami telah menurunkan al-Quran itu dalam bahasa Arab."

Di samping itu, al-Quran ini telah ditulis dengan rasm (tulisan) yang disepakati (ijma') semua sahabat r.a., maka tiada ruang penerimaan bagi bacaan atau tulisan lain sekiranya bertentangan dengan apa yang telah disepakati.


Perbincangan PERTAMA : ANTARA TAWATUR DAN SAHIH PADA SANAD

Seperti sedia maklum, periwayatan qiraat tidak memadai dengan seorang perawi ataupun dua orang. Bahkan mesti diriwayatkan oleh jumhur qura pada setiap generasi dan diyakini tahap periwayatannya. Hal ini tidak terhasil melainkan dengan tawatur (sejumlah besar perawi yang pada jumlah tersebut mustahil seandainya mereka mampu bersepakat untuk menipu).

Bagaimana pula jika perawi tersebut ialah seorang yang thiqah dan adil? Bahkan qiraat yang diriwayatkan juga tidak menyalahi rasm serta menyepakati kaedah bahasa arab?

Hal ini juga kembali kepada status qiraat yang diriwayatkan. Jika perawi tersebut berseorangan dalam meriwayatkan sesebuah qiraat, maka ulama telah bersepakat untuk menolak qiraat tersebut walaupun menyepakati rasm dan bahasa arab.

Pendirian ini bukanlah baru di sisi ulama bahkan telah disepakati sejak kurun awal (daripada sahabat-sahabat r.a.) sehinggalah kepada era sekarang.

Adakah sudah memadai jika sesebuah qiraat itu sahih sanad sahaja atau mesti tawatur? Bagaimana pula dengan pendapat Imam Makki bin Abi Talib dan Imam Ibnu al-Jazari yang mengatakan bahawa memadai dengan sahih sanad sahaja?

Pendapat yang mengatakan hanya memadai dengan sahih sanad sahaja pada hakikatnya tidak terperinci dan ditolak. Di sana terdapat terlalu banyak kalam ulama berkenaan permasalahan ini. Penulis tidak berhasrat untuk mendatangkan pendapat-pendapat tersebut, tetapi lebih berminat untuk menjelaskan beberapa faktor yang menyumbang kepada berlakunya perselisihan tentang tawatur.


FAKTOR BERLAKUNYA KHILAF DALAM SOAL TAWATUR

Berkata Sheikh Tahir al-Jazairi berkenaan khilaf di atas. Antaranya:

1- Samar tentang erti tawatur dan khilaf pada penentuan kadar bilangan tawatur.

2- Sesetengah ulama menyangka bahawa khabar ahad (seorang individu) tidak mendatangkan faedah. Bagi golongan ini, hanya khabar tawatur sahaja berfaedah. Sedangkan pada hakikatnya, khabar ahad juga kadangkala berfaedah sekiranya terdapat sokongan ataupun qarinah.

3- Lupa berkenaan status qiraat yang tidak tawatur pada sebuah kaum tetapi tawatur bagi kaum yang lain.


Wujud juga sesetengah pihak yang membeza-bezakan antara al-Quran dan Qiraat. Hakikatnya, tiada perbezaan antara kedua-duanya kerana Qiraat ialah sebahagian daripada al-Quran (علاقة الجزء بالكل).


PENDAPAT ULAMA YANG TIDAK BERSETUJU DENGAN SAHIH SANAD SAHAJA

Banyak ulama tidak bersetuju dengan hanya memadai dengan sahih sanad sahaja untuk thabitnya sesebuah qiraat. Antaranya ialah Imam an-Nuwairi, Imam al-Ja'bari, dan Imam as-Sofaqusi.

Berkata Imam as-Sofaqusi (pengarang kitab صاحب غيث النفع) :
"Pendapat tersebut direka dan tidak perlu diambil peduli kerana boleh membawa kepada persamaan antara perkara bukan al-Quran dengan al-Quran."

Beliau kemudiannya menambah :
"Mazhab ahli usul, fuqahaa empat mazhab, ahli hadis, dan qurra bersepakat mengatakan bahawa tawatur ialah salah satu syarat thabitnya (tetap dan sah) qiraat, bukan hanya dengan sahih sanad."

Imam Ibn al-Jazari sendiri telah berkata dalam kitabnya منجد المقرئين :
"Pendapat yang mengatakan bahawa qiraat mutawatirah itu tiada had padanya adalah tidak sahih jika diukur kepada zaman kita sekarang. Hal demikian itu kerana sudah tiada lagi qiraat yang mutawatir selain yang sepuluh ini, tetapi masih boleh diterima jika disandarkan kepada zaman silam."

Imam Ibn al-Jazari juga telah memperincikan (memperbetulkan) maksud matan beliau berkenaan sahih sanad dalam kitab (منجد المقرئين) iaitu :
"Setiap qiraat yang menepati kaedah bahasa Arab secara mutlak, menyepakati salah satu bentuk Rasm 'Uthmani, dan tawatur sanadnya maka itulah qiraat mutawatirah yang muktamad."


Dengan pendapat terakhir ini, tertolaklah semua qiraat (yang sahih sanadnya) yang terdapat dalam kitab-kitab hadis seperti Sahih Bukhari dan Muslim. Qiraat tersebut tidak dibaca lantaran telah hilang padanya sifat tawatur.


AL-QURAN TIDAK THABIT (ثابت) MELAINKAN DENGAN TAWATUR

Nas inilah yang telah kita terima daripada ulama-ulama Islam sejak turun-temurun. Ini ialah dalil yang jelas lagi bersuluh dan tiada keraguan padanya. Sesungguhnya pendapat yang mengatakan memadai dengan sahih sanad ialah pendapat yang bersalahan dengan Ijma' ulama sama ada dahulu mahupun terkemudian.

Justeru, Qiraat yang tawatur hanyalah qiraat sepuluh. Ada juga yang berpendapat qiraat tujuh tetapi pendapat yang menyatakan qiraat sepuluh lebih tepat dan didahulukan.

Insya-Allah, sekiranya diberi keizinan oleh Allah s.w.t., penulis akan mengupas berkenaan permasalahan qiraat sepuluh, qiraat tujuh, dan tiga qiraat pelengkap kepada tujuh. Juga berkenaan semua qiraat selain sepuluh dan tujuh yang dianggap Syaz walaupun menyepakati Rasm 'Uthmani, tidak menyalahi bahasa Arab,dan diriwayatkan oleh perawi yang thiqah.

Perlu diingatkan bahawa segala qiraat selain yang sepuluh (dan tujuh) ini dikira sebagai Syaz dan tidak dinamakan sebahagian daripada al-Quran. Bahkan haram bagi individu muslim untuk membacanya dalam solat dan haram juga untuk ber'iktiqad (memegang fahaman atau mempercayai) bahawa qiraat tersebut sebahagian daripada al-Quran. Begitulah pandangan jumhur ulama.


Perbincangan KEDUA : STATUS QIRAAT SELAIN SEPULUH

Rentetan daripada huraian sebelum ini, dapatlah disimpulkan bahawa qiraat seperti yang diriwayatkan secara solo oleh empat orang imam iaitu ابن محيصن، يحي اليزيدي، الحسن البصري، الأعمش atau imam-imam lain selain daripada Imam Sepuluh adalah Syaz dan ditolak.


Qiraat tersebut juga tidak boleh dinamakan sebagai al-Quran. Bahkan HARAM dibaca di khalayak umum secara mutlak. Demikianlah Ijmak ulama seperti Imam Ibn al-Jazari dan Imam Makki bin Abi Talib dalam hal berkaitan Qiraat Syazzah.

Antara sebab terjatuhnya hukum syaz ke atas qiraat selain sepuluh ialah tiada tawatur pada periwayatan dan menyalahi garis panduan yang telah semua maklum.

Bagi jumhur ulama, aspek yang diberi perhatian dalam penilaian ialah tawatur sanad. Manakala bagi dua imam di atas, masing-masing telah menambah dalam aspek penilaian mereka dua perkara iaitu tidak menyalahi Rasm 'Uthmani dan menyepakati kaedah bahasa Arab.

Sesungguhnya tidaklah melampau jika kita juga menghukum qiraat-qiraat selain Qiraat Sepuluh sebagai syazzah. Hal demikian itu adalah kerana ulama-ulama terdahulu telah lama menjatuhkan hukum tersebut terhadap qiraat-qiraat tadi. Ini boleh dirujuk kepada kesan-kesan yang ditinggalkan kepada kita.

Sebagai contoh, Imam Ibn Mujahid telah berkata tentang qiraat ابن محيصن : "Adalah bagi Ibnu Muhaisin itu ruang yang bebas untuk memilih qiraat dalam sempadan tidak menyalahi kaedah bahasa Arab namun beliau telah melangkaui sempadan tersebut. Di samping itu, beliau juga telah melanggar ijmak ahli negerinya sendiri. Maka, umat Islam pada ketika itu tidak lagi menuntut dengan beliau bahkan bersepakat untuk pergi menuntut qiraat Imam Ibn Kathir yang sezaman dengannya."

Kenapa? Kerana qiraat Imam Ibn Kathir tidak lari daripada athar (kesan peninggalan) Nabi s.a.w.. Sebagaimana maklum, الأثر adalah antara syarat utama dalam periwayatan al-Quran dan qiraat.

Tidak lama selepas itu, Imam Ibn Muhaisin telah kembali ke pangkal jalan dengan memohon maaf serta bertaubat daripada kesalahan yang telah dilakukan. Peristiwa ini telah direkodkan di hadapan para ulama. Antara yang hadir ialah Imam Ibn Mujahid sendiri. Hal yang sama juga berlaku kepada tiga lagi imam yang disebutkan di atas.


CONTOH QIRAAT SYAZZAH

* واتبعوا ما تتلوا الشياطُون - al-Baqarah: 102
* لن يضِرُّوكم - Ali Imran: 111
* فمُسْتِقِر - فمُسْتُقِر - al-An'am: 98
* كهُيعص - Maryam: 1


Demikianlah beberapa contoh Qiraat Syazzah. Insya-Allah, perbicangan ini akan disambung pada entri akan datang. Wassalam.


Disediakan oleh:
Wan Mohd Al Hafiz bin Wan Mustapa
Felo MANHAL (Sekretariat al-Quran & Qiraat)

Nov 29, 2010

MAJLIS PERASMIAN PENUTUP HTS 2010.

0 comments
Majlis Perasmian Penutup HTS 2010.

Tarikh : 30/11/2010
Hari : Selasa
Masa : 7.00 Malam
Tempat : Dewan Ibnu Jazari, Markaz DPM.

Antara agendanya ialah :-
- Bakar ayam BBQ (bermula selepas zohor)
- Anugerah kepada mahasiswa baru
- Tayangan Video
- Muhasabah
- Dan banyak lagi...

Nov 28, 2010

Qiamullail Perdana

0 comments
Nabi saw bersabda:

يا عبد الله لا تكن مثل فلان كان يقوم الليل ثر ترك قيام الليل

"Wahai Abdullah, janganlah engkau menjadi seperti si fulan, dahulu dia melakukan qiamullail. Kemudian dia meninggalkannya." (Hr Bukhari dan Muslim)

Daripada 'Aisyah r.a beliau berkata: Nabi s.a.w bangun berqiamullail sehingga bengkak2 kaki2nya." Aisyah pun bertanya "Kenapa engkau beribadah sebegini ya
Rasulullah sedangkan dosa2 engkau yang telah lepas dan akan datang telah diampunkan.?" Rasulullah s.a.w pun bersabda:

"Tidakkah boleh aku menjadi hamba yang bersyukur." (Hadis Sahih riwayat Bukhari dan Muslim)


Nabi s.a.w bersabda:

"Sebaik2 lelaki adalah Abdullah sekiranya dia sembahyang malam." (Hadis sahih riwayat bukhari dan muslim)

Nabi s.a.w bersabda:

" Sebaik2 puasa lepas puasa ramadan adalah puasa pd bulan2 haram.Dan sebaik2 sembahyang selepas solat fardu adalah solat malam" (Hadis sahih riwayat Muslim)

Sabda Nabi s.a.w:

"Wahai manusia sebarkanlah salam, bagilah makan dan sembahyanglah malam ketika manusia tidur nescaya kamu akan masuk syurga dgn selamatnya." (Hadis hasan sahih riwayat at-Tirmizi)

Sabda Nabi s.a.w:

"Hendaklah kamu berqiamullalil. sesunguhnya qiamullail ini gaya hidup orang2 yang solih, mendekatkan kamu kepada tuhan, menghapuskan dosa2 dan menegah diri dari maksiat." (Hr Hakim)


Telah disampaikan cerita seorang lelaki yang tidur malam sampai subuh dan tidak bangun solat malam. Nabi s.a.w bersabda:

"Lelaki itu syaitan telah kencing di kedua belah telinganya." (Hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim)

Fudail bin Iyad telah berkata:

"Apabila kamu tidak mampu untuk qimaullai; dan puasa sunat pada siang hari maka ketahuilah sesungguhnya kamu telah dibelenggu dengan maksiat yang
kamu lakukan."

Ayuh! Mari sama2 kita berqiamullail!


PILIHANRAYA PARLIMEN MESIR : KENYATAAN RASMI PRESIDEN

0 comments


Segala puji bagi Allah SWT, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan mulia kekasih hati Nabi Muhammad SAW,penghulu kepada segala nabi dan rasul.

PMRAM merupakan persatuan yang amat menitikberatkan keselamatan mahasiswa-mahasiswi Islam di bumi Mesir ini. Tambahan pula ia berkaitan dengan isu yang melibatkan suasana politik warga tempatan.

Berikutan pilihanraya parlimen yang akan berlansung pada 28 November 2010 di seluruh Mesir, PMRAM menasihatkan seluruh mahasiswa-mahasiswi Islam khususnya warga Malaysia di Mesir agar mengambil tindakan lebih berhati-hati demi menjaga keselamatan.

Sepertimana yang dimaklumkan, pilihanraya tersebut akan bermula pada pukul 8 pagi dan berakhir pada pukul 5 petang.

Justeru, PMRAM menegaskan bahawa mahasiswa-mahasiswi Islam dilarang sama sekali terlibat dengan sebarang aktiviti yang menyentuh isu politik di Mesir seperti kempen-kempen parti, demonstrasi dan lain-lain.

Selain itu, mahasiswa-mahasiswi juga dilarang untuk melalui kawasan-kawasan kempen serta pos-pos pembuangan undi selama tempoh berlansungnya pilihanraya tersebut. Sekiranya mempunyai urusan yang penting di luar, pastikan paspot dan pengenalan diri dibawa bersama walaupun berada di dalam kawasan tempat tinggal.

Perkara yang dinyatakan tersebut merupakan nasihat daripada Pihak Keselamatan Mesir terhadap seluruh warga asing yang berada di bumi Mesir ini. Diharapkan agar seluruh mahasiswa-mahasiswi Islam memandang serius perkara tersebut demi keselamatan bersama.

KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAKHSIAH

Shahrizan bin Mohd Hazime,
Presiden
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2010.

Pekeliling Keselamatan Sempena Pilihanraya Parlimen Mesir

0 comments
Pekeliling Keselamatan Sempena Pilihanraya Parlimen Mesir

1. Seluruh mahasiswa/wi Islam di bumi Mesir,hari ini (28 November 2010/Ahad) akan berlangsungnya Pilihanraya Parlimen Mesir.

2. Dinasihatkan kepada seluruh ahli agar jangan melibatkan diri dengan
aktiviti politik Mesir serta tidak melalui atau menghampiri laluan
kempen parti atau pos-pos pembuangan undi.

3. Jika ingin keluar anda dinasihatkan supaya dapat bawa bersama pasport dan pengenalan diri.

Sebarang permasalahan berkaitan keselamatan terus maklumkan pada Presiden PMRAM, Saudara Shahrizan Mohd Hazime (0113771841)


Presiden PMRAM,
Saudara Shahrizan Mohd Hazime

Nov 26, 2010

BILA BERBICARA TENTANG AL-QURAN

0 comments
Bila kita berbicara tentang kesusasteraan Islam dan Arab, kita tidak boleh lari daripada turut berbicara mengenai kesusasteraan al-Qur’an. Ini adalah kerana sastera Islam dan Arab mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan kitab suci ini. Dalam membicarakan mengenai kesusasteraan al-Qur’an, para sasterawan sangat berminat untuk meneliti gaya bahasa dan bentuk ungkapan yang digunakan oleh al-Qur’an. Mereka telah menyenaraikan beberapa ciri istimewa yang terdapat pada bentuk ungkapan al-Qur’an.
Secara umum, ada tujuh ciri istimewa yang membezakan ungkapan al-Qur’an dengan ungkapan-ungkapan selain al-Qur’an. Ciri-ciri berkenaan adalah seperti berikut:

[1] Al-Qur’an menggunakan ungkapan yang tidak pernah terlintas dalam benak pemikiran manusia. Bentuk ungkapan al-Qur’an adalah bentuk khusus yang hanya dimiliki oleh al-Qur’an. Ia tidak boleh ditiru kerana ia diadun dan dibentuk menggunakan acuan Ketuhanan. Sedia maklum bahawa Bahasa Ketuhanan berbeza sama sekali dengan Bahasa Kemanusiaan. Walaupun al-Qur’an datang dengan menggunakan bahasa manusia iaitu Bahasa Arab, namun bentuk penggunaan dan ungkapannya berbeza dengan apa yang biasa digunakan oleh bangsa Arab. Justeru itu, al-Qur’an telah berkali-kali mencabar para penyair dan pemidato Arab agar mencipta dan mengarang satu surah atau beberapa ayat yang boleh menandingi al-Qur’an, namun ternyata cabaran tersebut tidak disahut dalam keadaan sejarah telah menceritakan bahawa mereka adalah tokoh-tokoh penyair dan pemidato. Ungkapan al-Qur’an bukan seperti syair walaupun ianya seakan-akan syair. Ia juga bukan datang dalam bentuk prosa walaupun ia seakan-akan prosa. Bukan juga berbentuk sajak mahupun qafiyah. Ia sangat berbeza dari sudut cara pengungkapannya.

[2] Ungkapan al-Qur’an ditujukan kepada jiwa manusia. Jiwa manusia memiliki kepelbagaian perasaan dan emosi. Manusia mengungkapkan emosi dan perasaannya melalui percakapan yang diiringi dengan nada suara yang melambangkan makna yang tersirat di sebalik jiwa. Bila sedih, ada nadanya. Bila gembira, ada nadanya. Bila marah, lain nadanya. Bila takut, juga ada nadanya. Dalam menimbulkan tindak balas terhadap jiwa, al-Qur’an memanfaatkan sepenuhnya peranan nada suara dalam ungkapannya. Kerana itu, kita dapati ada kalimah yang mesti dibaca dengan mad (panjang), ada yang dibaca dengan tasydid (bersabdu), ada yang disebut lin (lembut) dan pelbagai bentuk lagi. Di sinilah timbulnya peranan ilmu Tajwid dan juga makhraj huruf. Justeru, saya yakin bahawa bacaan al-Qur’an secara bertajwid memainkan peranan yang sangat besar dalam menimbulkan reaksi jiwa dan perasaan. Al-Qur’an mempunyai teknik tersendiri untuk mengungkapkan ayat-ayat yang boleh menimbulkan kegembiraan, kesedihan, ketakutan, kerisauan dan sebagainya. Al-Qur’an mampu memperlihatkan keredhaan dan kemarahan melalui ungkapan ayatnya juga. Ini memperlihatkan kepada kita betapa pentingnya membaca al-Quran secara bertajwid, bertartil serta diiringi dengan lagu yang betul. Ini membuatkan al-Qur’an menjadi hidup lalu menghidupkan jiwa yang mati.

[3] Susunan ungkapan al-Qur’an memiliki keserasian dari sudut seni. Ini adalah kerana, ungkapan al-Qur’an menghimpunkan tiga perkara dalam masa yang sama iaitu:

- Keindahan lafaz dan kalimah yang diguna pakai,
- Kehalusan makna,
- Keserasian lafaz dengan maknanya.

Dengan tiga perkara ini, al-Qur’an menggunakan imaginasi manusia untuk menghasilkan gambaran yang tepat dan benar tentang perkara yang ingin ia sampaikan. Bila kita membaca atau mendengar ayat-ayat suci al-Qur’an dibacakan, kita dapat merasai bahawa ia menghasilkan kesan yang sangat hebat. Di sebalik ayat-ayat yang diungkapkan, terdapat satu kekuatan luar biasa. Kekuatan yang mampu menyingkap apa yang tersirat di sebalik hati dan perasaan. Mengapa ya?… Kerana ia adalah firman Allah Yang Maha Mengetahui apa yang tersirat di sebalik hati dan perasaan…

[4] Ungkapan al-Qur’an juga mampu untuk menghimpunkan di antara dua perkara yang berlawanan menjadi satu. Bila ia berbicara tentang keburukan, dengan serta merta ia boleh bercerita tentang kebaikan. Bila ia berbicara tentang ketakutan, serta merta ia lampirkan dengan ketenangan. Ajaib! Dua perasaan yang saling berlawanan, namun boleh digandingkan dalam satu surah. Al-Qur’an memanfaatkan psikologi manusia dengan sebaiknya. Ia memperhalusi perasaan dengan cara yang menakjubkan. Perasaan takut dengan segera boleh bertukar menjadi tenang. Subhanallah! Wujudkah kitab lain seperti kitab ini?! Demi Allah! Tidak sama sekali. Hanya al-Qur’an..

[5] Al-Qur’an menggunakan ungkapan yang boleh difahami oleh semua orang yang memiliki latar belakang yang pelbagai. Ungkapan al-Qur’an tidak terlalu rumit sehingga sukar untuk difahami oleh golongan yang mempunyai latar belakang sederhana atau rendah. Tidak juga terlalu mudah sehingga membosankan golongan cerdik pandai. Tetapi semua orang boleh memahami al-Qur’an kerana ia berbicara dengan mereka mengikut tingkatan pemikiran masing-masing. Cerdik pandai, orang biasa, kanak-kanak, orang dewasa, semua boleh menerima apa yang diungkapkan oleh al-Qur’an. Benarlah firman Allah Ta’ala, mafhumnya:

Sesungguhnya Kami (Allah) telah menjadikan al-Quran itu mudah untuk disebut/diingat/diambil peringatan, maka siapa yang ingin mengambil peringatan?! [Surah al-Qomar: 12]

Ungkapan yang digunakan oleh al-Qur’an membuatkan ianya mudah dihafal walaupun orang yang menghafalnya tidak boleh bertutur dalam Bahasa Arab apatah lagi memahaminya.

[6] Apabila al-Qur’an berbicara tentang suatu topik, ia mampu berpindah ke topik yang lain dengan menggunakan ungkapan yang kemas tanpa wujud sebarang kepincangan. Walaupun secara zahir memperlihatkan seolah-olah tiada kaitan antara topik yang sedang dibincangkan dengan topik yang telah dibincangkan, namun jika diperhalusi akan terlihat suatu kaitan kemas dan rapi. Bila al-Qur’an berbicara tentang langit, ia mampu berpindah kepada topik bumi. Bila al-Qur’an menyebut tentang dunia, ia mampu terus berpindah kepada topik akhirat pula. Bila al-Qur’an berbicara menggunakan kata ganti diri ‘dia’, tiba-tiba ia boleh beralih menggunakan kata ganti diri ‘kamu’ dalam surah yang sama malah ayat yang sama! Kadangkala tanpa kita sedari kerana terlalu asyik dengan susunan kemas ungkapannya bak untaian mutiara yang sangat berharga..

[7] Ketika mengemukakan dalil-dalil, bukti-bukti dan fakta-fakta tentang sesuatu perkara, al-Qur’an menggunakan ungkapan yang mampu membuat pemikiran menjadi puas dalam masa yang sama hati menjadi seronok dengan dalil yang dikemukakan. Sebagai contoh, bila al-Qur’an mengajak kita berfikir tentang alam ini, kita bukan sekadar berfikir semata-mata, malah dalam masa yang sama hati turut merasa takjub dan kagum dengan kebesaran Tuhan yang mencipta alam ini. Al-Qur’an mampu berbicara dengan akal dan hati sekaligus. Ia mampu memperlihatkan kebenaran yang dihiasi dengan kecantikan. Semua ini membuktikan bahawa ungkapan al-Qur’an adalah Ungkapan Ketuhanan. Subhanallah..

Sumber...

Pengenalan Qiraat Syazzah (Bahagian Pertama)

0 comments
بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.


PERKEMBANGAN ILMU QIRAAT

Sebagaimana maklum, semenjak dahulu lagi ummat Islam telah sepakat bahawa tidak akan dibaca walau satu hurufpun suatu bacaan (qiraat) itu, dan tidak akan dihukum sebagai sebahagian daripada al-Quran, bahkan tidak akan ditulis di dalam mushaf sehinggalah telah dipastikan ke'tawatur'annya dari satu generasi ke satu generasi.

Apakah bacaan yang mencapai taraf tawatur?

Yang dimaksudkan ialah suatu bacaan yang diriwayatkan oleh sebilangan manusia sehinggakan mustahil jika bilangan tersebut boleh bersepakat untuk berdusta.

Di sana adanya khilaf dari segi bilangan manusia yang boleh dianggap tawatur. Namun, memadai dahulu ditakrifkan setakat ini.

Timbul pula persoalan. Bagaimana diketahui para sahabat r.a. mencecah bilangan tawatur?

Salah satu dalilnya adalah daripada kitab sunnah yang menyebut kepada kita nama-nama sahabat r.a. yang menghafal al-Quran sama ada Muhajirin, Ansar, dan lain-lain.

Antara Muhajirin yang menghafal al-Quran ialah Abu Bakr as-Siddiq, Umar ibn al-Khaatab, Uthman ibn 'Affan, Ali ibn Abi Talib, Sa'ad ibn Abi Waqas, Thalhah ibn 'Ubaidillah, Abdullah ibn Mas'ud, Huzaifah al-Yamani, Abdullah ibn Umar, Abu Hurairah, Ibn Abbas, Aisyah, Hafsah, dan lain-lain.

Manakala dari kalangan Ansar pula seperti Ubai ibn Ka'ab, Mu'az ibn Jabal, Zaid ibn Thabit, Abu ad-Dardaa, Anas ibn Malik, dan sebagainya.

Para sahabat r.a. ini telah menghafal al-Quran semasa hayat Nabi Muhammad s.a.w. lagi. Bilangan huffaz (penghafal al-Quran) makin bertambah berlipat kali ganda dan wujud di merata-rata tempat kesan daripada tersebarnya ajaran Islam ke seluruh dunia. Hasilnya, ummat Islam ketika itu amat dahagakan al-Quran dan bersungguh-sungguh dalam mencari guru-guru untuk mempelajari Qiraat (bacaan) al-Quran.

Perlulah diketahui bahawa pada zaman tersebut, al-Quran masih belum dibukukan secara rasmi. Ini kerana kuatnya ingatan para sahabat r.a. dan ketelitian mereka dalam menjaga al-Quran itu sendiri.

Namun zaman terus berubah. Al-Quran mula ditulis secara meluas pada zaman Saidina 'Uthman r.a. akibat berlakunya fitnah besar kepada ummat Islam semasa pembukaanArmenia dan Azerbaijan. Maka berlakulah pemusatan bacaan al-Quran kepada imam yang dilantik bagi setiap kawasan yang ditentukan bersama mushaf yang sepadan dengan bacaan imam tersebut.

Demikianlah pengenalan ringkas berkenaan perkembangan awal Qiraat.




SEJARAH AWAL PENCIPTAAN DHOWABIDH (GARIS PANDUAN) ILMU QIRAAT

Sebelum pergi lebih lanjut, sukalah disebutkan kembali garis panduan (dhowabidh) atau dalam bahasa mudahnya rukun bagi setiap riwayat bacaan bagi memudahkan sidang pembaca memahami kandungan perbincangan. Penulis ingin menceduk kalam Imam Ibn al-Jazari iaitu Qiraat mempunyai 3 rukun.

Rukun tersebut ialah :
1- Sihhatun Naqli (pemindahan atau periwayatan yang sahih)
2- Muafaqat Rasm Mushaf al-'Uthmani (bertepatan dengan penulisan mushaf 'Uthmani)
3- Muafaqatul 'Arabiyyah (menepati wajah-wajah bahasa Arab)

Amatlah susah untuk ditentukan dari segi sejarah berkenaan siapakah pencipta pertama garis panduan ilmu Qiraat. Walaupun Imam Abu Syamah masyhur dengan riwayat-riwayat berkenaan Qiraat dan Imam Ibnu Jazari dengan matan Thoyyibah, tetapi semua ulama sepakat bahawa kedua-dua imam tersebut bukanlah pencipta pertama kepada Dhowabidh Qiraat.

Dr. Sami Abdul Fatah Hilal, Dekan Kuliah Quran dan  Qiraat al-Azhar Tantaberpendapat kemungkinan faktor yang menyebabkan para ulama' susah untuk menentukan siapakah pencipta dhowabidh ini adalah kerana kekurangan sumber berkenaan ilmu Qiraat khasnya manuskrip-manuskrip yang tersimpan sehingga sekarang amatlah terhad.

Di sini, boleh dikatakan bahawa para sahabatlah yang sebenarnya merupakan pencipta kepada dhowabidh Qiraat. Walaupun bukan dari segi kaedah bertulis, tetapi dari segi talaqqi (berguru) dan praktikal.

Buktinya, para sahabat r.a. telah memindahkan (meriwayatkan) kepada kita bacaan al-Quran (qiraat) Nabi s.a.w. dengan penuh kejujuran. Ini kerana kita semua mengakui akan keadilan dan ketelitian mereka r.a. dalam menjaga al-Quran. Inilah yang dinamakan "Sihhatun Naqli" iaitu periwayatan atau pemindahan yang sahih.

Antara sahabat r.a. yang masyhur dengan periwayatan Qiraat ialah Abdullah ibn Mas'ud iaitu seorang yang senior dalam kalangan sahabat r.a. Beliau telah berkata :"Demi Allah s.w.t., sesungguhnya aku telah mengambil bacaan ini daripada mulut Nabi Muhammad s.a.w. sendiri.."

Tambahan lagi, Nabi s.a.w. merupakan tempat rujukan para sahabat r.a. bagi semua permasalahan khasnya yang melibatkan agama. Ini termasuklah hal-hal berkenaan Qiraat. Hal ini dapat dilihat dalam banyak kisah seumpama kisah perselisihan faham tentang bacaan antara Hisyam ibn Hakim r.a. dan Umar al-Khattab r.a. Semua di atas ialah bukti kukuh bahawasanya para sahabat r.a. telah meriwayatkan Qiraat (bacaan-bacaan al-Quran) secara sahih lagi terjaga.

Manakala dhobidh kedua tidak wujud sehinggalah pada zaman khalifah 'Uthman ibn 'Affan. Ketika itu jumhur sahabat r.a. telah berIJMA' untuk menggunakan Mushaf 'Uthmani sahaja dan membakar mushaf selainnya. Walaupun di sana masih ada lagi mushaf peribadi sesetengah sahabat r.a., namun itu hanyalah untuk simpanan sahabat r.a. tersebut sahaja dan tidak boleh disebarkan. Hanya bacaan yang menepati mushaf 'Uthmani sahaja diterima pakai.

Adapun dhobidh ketiga tidak memerlukan huraian panjang lebar kerana semua sudah sedia maklum bahawa al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab dan para sahabat r.a. ialah golongan yang mahir serta fasih dalam bahasa ini. Dhobidh ini wujud secara langsung dengan pemilihan bahasa Arab sebagai bahasa al-Quran.

Dengan ini, tidak salah kalau dikatakan bahawa titik tolak penciptaan dhowabidh Qiraat ini bermula pada zaman sahabat r.a. lagi. Kemudian berkembang dan terus berkembang sehinggalah seperti yang wujud sekarang.
Pada zaman terdahulu, majoriti ummat Islam tidak akan berhenti daripada bertalaqqi sehinggalah mereka benar-benar 'alim dan tekun dalam menghafal serta meriwayatkan bacaan al-Quran. Namun zaman bertukar zaman. Semakin lama, semakin jauh jurang antara huffaz yang tekun dan teliti dalam periwayatan bacaan al-Quran dengan mereka yang kurang ketekunan dan ketelitian.

Imam Abu Syamah berkata :
"Sesungguhnya pada kemudian hari selepas zaman golongan Qurra yang mutqinun dan Dhobhitun, bibit-bibit khilaf bacaan kembali timbul hasil tersebarnya bacaan-bacaan ke seluruh pelusuk dunia. Apabila berlakunya hal sedemikian, wujudlah kecuaian dalam periwayatan bacaan serta kesamaran antara yang sebenar dan yang batil. Maka ulama mula mengorak langkah bagi menguraikan fitnah tersebut dengan membuat perincian yang manakah yang betul dan sebaliknya, yang manakah yang masyhur, yang ahad, dan yang syaz. Perincian atau kaedah ini dibuat bagi mengembalikan kesahihan dan ketulenan dalam periwayatan. Hasilnya, terciptalah 3 rukun Qiraat secara rasmi dan bertulis."

Imam Ibn al-Jazari mengungkapkan 3 rukun tersebut dalam matan Thoyyibah seperti berikut :
فكل ما وافق وجه نحو # وكان للرسم احتمالا يحوي #
وصح إسنادا هو القرءان # فهذه الثلاثة الأركان #

Iaitu :
1- Sanad yang sahih (bersambung kepada Nabi s.a.w.)
2- Menepati penulisan mushaf 'Uthmani
3- Menepati bentuk-bentuk gaya bahasa Arab.


Sukalah diingatkan bahawa menjadi satu kemestian kepada sesiapa sahaja yang ingin membaca al-Quran itu bertalaqqi atau berguru walau satu bacaan daripada al-Fatihah sehingga an-Nas.

Awas kepada sesiapa sahaja yang tidak pernah khatam al-Quran secara berguru walau sekali, sesungguhnya anda tidak mempunyai tauliah untuk mengajarkan al-Quran kepada sesiapa sahaja. Guru yang dipilih juga mesti seorang yang pernah khatam membaca al-Quran secara berguru dan guru tersebut dari guru sebelumnya sehinggalah bersambung sanad kepada Nabi Muhammad s.a.w. Sebabnya ialah bacaan al-Quran merupakan sunnah yang mesti dituruti tanpa ada pengurangan atau tokok tambah padanya.

Adakah memadai dengan mushaf 'Uthmani sahaja sebagai dhobidh kepada bacaan? Bukankah itu tujuan penulisannya?

Soalan ini biasa timbul. Bahkan ada yang beranggapan apabila dia sudah boleh membaca al-Quran dan tahu hukum tajwidnya maka dia sudah mahir. Tidak perlulah berguru kerana segala formula (tajwid atau teori) sudah dihadam.

Jawapan kepada persoalan di atas ialah memang pada awalnya mushaf 'Uthmani sahaja sudah memadai bagi menjaga kesahihan bacaan al-Quran. Ini berkait rapat dengan jarak zaman tersebut dengan zaman Nabi s.a.w. di samping banyak sahabat r.a. masih hidup. Apa yang tersirat pada waktu ini ialah walaupun sudah wujud mushaf 'Uthmani tetapi kebergantungan sahabat pada kekuatan ingatan masing-masing lebih diutamakan.

Hal ini berbeza selepas berlalunya zaman tersebut dan datangnya zaman percampuran antara bacaan syaz dan mutawatir. Fenomena ini mengundang para ulama untuk kembali bertindak.

Golongan ulama yang berusaha merawat fitnah pada ketika itu diketuai Imam Abu Bakr ibn Ahmad ibn Musa ibn al-'Abbas ibn Mujahid, pengarang kitab as-Sab'ah. Iaitu sebuah kitab yang memilih dan menghimpunkan qiraat majoriti ummat Islam di Madinah, Makkah, Kufah, Basrah, dan Syam.

Pemilihan ini berpandukan kepada qiraat yang ditalaqqi oleh ahli setiap kawasan tersebut daripada golongan sebelum mereka sehinggalah kepada tabi'in kemudian kepada sahabat daripada Rasulullah s.a.w.

Oleh yang demikian, berkata Ibn Sirin daripada 'Ubaidah as-Salmani :

"Qiraat (bacaan al-Quran) yang telah diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan dibentangkan pada 'Irdhotul Akhirah (Pembentangan Terakhir) ialah bacaan yang kita baca sekarang. Rasm 'Uthmani pula seperti yang diketahui umum bahawa tulisan tersebut merangkumi semua bentuk bacaan dan tidak dihadkan kepada satu bentuk sahaja. Semua bacaan yang terdapat dalam tulisan 'Uthmani yang tiada baris dan titik itu tidak dapat dikeluarkan melainkan dengan riwayat (talaqqi dan musyafahah). Tidak memadai untuk menjaga kesahihannya hanya dengan tulisan tetapi mesti disertakan dengan hafalan. Hafalan dan tulisan perlu saling lengkap melengkapi."

Sebagai contoh,

"Seandainya manusia meninggalkan bacaan [ملك يوم الدين  مالك ] pada ayat [ ] iaitu tanpa alif, nescaya manusia tidak akan mengetahui bagaimanakah untuk menyebut kalimah tersebut memandangkan tulisan (ملك) mengandungi puluhan bentuk bacaan," tambah Ibn Sirin.

Oleh itu, kaedah talaqqi atau berguru mesti didatangkan bersama bagi mengajar manusia bahawa hanya terdapat dua bentuk bacaan sahaja yang dibenarkan di sana.

Justeru, jelaslah kepada kita bahawasanya penulisan 'Uthmani sahaja tidak memadai untuk menjamin kesahihan bacaan. Ulama juga telah menetapkan syarat ke'tawatur'an sanad bacaan sehingga kepada Nabi s.a.w. Ini kembali kepada perbincangan sebelumnya iaitu tidak boleh berguru dengan mereka yang tidak bertauliah.

Contoh lain, bagaimana anda ingin membaca isymam, rum, dan tashil pada tempat-tempatnya seandainya anda tidak berguru? Fikir-fikirkanlah..

Wassalam.

(Bersambung ke bahagian kedua..)

Disediakan oleh:

Wan Mohd Al Hafiz bin Wan Mustapa
Kuliah Quran lil Qiraat wa 'Ulumiha,
Universiti al-Azhar, Tanta
Felo MANHAL 
(Sekretariat al-Quran & Qiraat)

Kemalangan di Quaisna: Lafaz Syukur Sahaja Yang Mampu Diungkapkan - Naib Presiden III

0 comments

TANTA, 25 Nov - Lafaz syukur sahaja yang mampu dilafazkan bagi semua mangsa kemalangan yang terselamat dalam nahas tersebut semalam. 

6 orang mahasiswa Tanta yang dalam perjalanan pulang dari Lapangan  Terbang Kaherah setelah menjemput pulang sahabat mereka telah terlibat dalam nahas kemalangan tersebut. 

Mereka yang menaiki kenderaan awam (tramco) yang ditempah tercampak keluar dari kenderaan tersebut apabila ianya gagal dikawal lalu terbabas setelah merempuh pembahu jalan dan tiang lampu jalan raya. 

Kejadian yang berlaku selepas susur keluar bandar Shibin el Kom tersebut berlaku sekitar selepas waktu Isyak.

semua mangsa dihantar ke hospital berdekatan iaitu hospital Quaisina untuk mendapatkan rawatan sebelum seorang darinya dihantar ke Hospital Universiti Shibin untuk rawatan lanjut. 

Saudara Mohd Ridhuan b Abdullah dihantar ke Hospital Universiti Shibin setelah mendapati luka di telinga kanannya agak parah dan selesai menjalankan pembedahan sedikit. 

Bagi tiga orang mangsa pula, saudara Nurhaliz Syafiq Zakaria, saudara Mohd Fakhrullah B Abdul halim dan Mohd Kamel Abdul rahman dibawa ke Hospital Universiti Tanta untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Saudara Nurhaliz Syafiq cedera dibahagian kiri mukanya menerima beberapa jahitan. Jari tangannya juga menerima jahitan apabila terkoyak ketika kejadian. 

Manakala saudara Mohd Kamel dan saudara Mohd Fakhrullah pula hanya cedera ringan dan menerima rawatan pesakit luar serta didapati selamat dari sebarang kecederaan dalaman setelah menjalani ujian sinar x-ray.

Dua terakhir dari mereka pula selamat dari kecederaan serius dalam kejadian tersebut.

Naib Presiden III Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemanusiaan PMRAM, saudara Mohd Farkhan Md Zain yang bergegas ke Hospital Universiti Shibin mengulas, keadaan mangsa yang terlibat berdasarkan keadaan kejadian amat berbeza. 

Rezeki mereka apabila dipelihara oleh Allah masing-masing yang tercampak keluar tidak dilanggar oleh kenderaan yang melalui jalan tersebut. 

Paling disyukuri, dua mangsa yang tercampak keluar ke bahagian jalan yang bertentangan cepat sedar dan bangun untuk selamatkan diri dari kenderaan yang melalui jalan tersebut. 

Turut serta dalam lawatan tersebut saudara Firdauz Noh, Bendahari Kehormat PMRAM serta saudara Faqrurazi Abdullah Penasihat PMRAM Cawangan Pulau Pinang. 

Sedikit sumbangan dihulurkan dari peringkat PMRAM Pusat bagi meringankan bebanan. Seluruh kepimpinan PMRAM dan HEWI PMRAM mengucapkan takziah atas musibah yang menimpa dan mendoakan agar dipermudahkan segala urusan mangsa untuk cepat sembuh serta tenang dalam membuat persediaan peperiksaan. 

PMRAM juga mengucapkan tahniah atas kerjasama dari taakhi Tanta, Shibin el Kom yang banyak membantu pihak Tanta dalam menguruskan mangsa yang dimasukkan ke Hospital Universiti Shibin.





 

Nov 25, 2010

Mahasiswa Tanta kemalangan, 4 cedera

0 comments
QUWAISSINA, 25 November 2010 -  Empat ahli Dewan Perwakilan Mahasiswa Tanta, telah tercedera dalam satu kemalangan jalan raya membabitkan tramco  di kawasan lebuhraya, Jalan Shibin– Tanta, dekat sini, malam tadi.

        Maklumat dari hospital Quwaissina berkata, mangsa yang cedera itu dikenali sebagai Mohd Ridhuan Bin Abdullah,22, Mohd Kamel Bin Abdul Rahman,22, Mohd Fakhrullah Bin Abdul Halim,22 dan Nurhaliz Syafiq Bin Zakaria,20.

       "Mohd Ridhuan Bin Abdullah, kini telah dipindahkan  ke hospital Shibin untuk menerima rawatan lanjut dan mangsa- mangsa lain dibawa pulang untuk menerima rawatan di Hospital Universiti Tanta dan telah dibenarkan pulang.

       Antara magsa lain dalam kejadian itu, Saudara Imran Bin Zainal Abidin dan Asmadi Mohd Nor. Kedua- dua mereka terselamat.

       Selain kecederaan dialami, mangsa juga telah kehilangan telefon bimbit, wang ringgit, passport, Kad Bank dan dokumen penting dan lain- lain lagi.

        Sebelum kejadian berlaku, tramco tempahan dari Tanta  berkenaan dikatakan sedang dalam perjalanan pulang dari Airport setelah mengambil Saudara Kamel, saudara Fakhrullah dan saudara Hasmadi yang baru tiba dari Malaysia. kejadian itu berlaku pada kira-kira 8.15 malam waktu mesir.

        Ketika ditanya kepada salah seorang mangsa yang selamat, Saudara Imran,"Kita percaya kenderaan itu dipandu laju ketika memotong sehingga menyebabkan ia terbabas dan merempuh tiang dan terbalik ditengah jalan, Semua  terpelanting keluar dari tramco kecuali Saudara Ridhuan" katanya.

         Sejurus menerima panggilan dari mangsa dan beberapa orang individu, Pihak DPMT yang diketuai oleh Pengerusinya, Saudara Sulaiman Bin Ismail terus bergegas segera ke Quwaisa untuk mengetahui keadaan mangsa.

         Setelah tiba di sana kira- kira jam9.45 malam, Pihak DPMT berusaha mendapatkan maklumat jelas mangsa dari pihak Hospital Quwaissina. Selepas selesai mendapatkan maklumat mangsa, Pihak DPMT menbuat perbincangan meminta untuk membawa pulang mangsa untuk menerima rawatan lanjut di Hospital Universiti Tanta supaya memudahkan urusan.
      
         Selepas tiba kira- kira 10.45 membawa pulang tiga orang mangsa ke Tanta, Pengerusi bersama Exco UKK dan beberapa lagi orang bergegas pula ke Hospital Shibin untuk mengetahui status rawatan saudara Mohd Ridhuan yang dirawat disana.
 
         Pihak DPMT berharap, supaya semua ahli dan mahasiwa yang lain berdoa untuk keselamatan dan kesihatan sahabat kita yang mengalami kemalangan ini agar tabah dan bersabar diatas ujian besar ini. Untuk maklumat lanjut mangsa, Pihak DPMT akan memaklumkan dari masa kesemasa.

Disediakan Oleh:
Muhd Ridha B. Abdullah,
Unit Penerangan dan Penerbitan DPMT 2010/2011

Nov 24, 2010

PENGENALAN ILMU QIRAAT

0 comments

Taa'rif
Bahasa :

Ilmu Qiraat berasal daripada  perkataan Bahasa Arab  bersifat jamak (plural) bermaksud bacaan

Istilah:

Ialah satu ilmu tentang cara melafazkan  kalimat-kalimat Al-Quran serta  pelaksanaannya  dengan  menisbahkan setiap bacaan kepada seorang Imam Ilmu Qiraat .

Fokus utama :

Menekuni kalimat-kalimat Quraniyyah dari segi cara pelaksanaannya seperti  panjang atau pendek hukum tajwid ,hukum izhar dan idghom.   
  
 Faedah Ilmu Qiraat :

Memelihara dan menyelamatkan seseorang daripada kesalahan dalam bacaan Al-Quran al Karim serta mengetahui setiap bacaan para Imam Qurra dan mampu membezakan setiap bacaan mereka.

Kelebihan Ilmu Qiraat :

Termasuk dalam sebaik-baik ilmu untuk dipelajari kerana berkait rapat dengan Kalam Illahi.Kemuliaan ilmu ini adalah kerana mulianya Al-Quran.

           
Pengumpulan Ilmu Qiraat :

Dikumpul  oleh Imam-imam Ilmu Qiraat dan diriwayatkan bahawa orang pertama yang mengumpulkannya ialah Imam Abu Umar Hafs bin Umar ad Duuri.


Pembukuan Ilmu Qiraat :

Orang pertama melakukan hal ini ialah Abu Ubaid al Qaasim bin Salam  
(wafat 224 H)

Sumber pengambilan :

Melalui riwayat-riwayat  yang sahih dan mutawatir daripada Imam Qurra sehingga bertemu sanad dengan baginda Rasul SAW.

Hukum mempelajari  :

Fardu kifayah

Khilaf atau perbezaan di sisi ulama qurra terbahagi kepada dua bahagian :

1. Khilaf wajib

2. Khilaf jaiz (harus)


Bahagian pertama : Khilaf wajib

Ialah perbezaan pada 

(a)  Ilmu Qiraat (bacaan)
setiap bacaan ini disandarkan kepada Imam contohnya Ilmu Qiraat Imam Nafi', Ilmu Qiraat Imam Hamzah ,Ilmu Qiraat Imam A'sim .

(b)  Riwayat
 - bermaksud sesuatu yang disandarkan kepada orang yang mengambil bacaan daripada sang imam sekalipun dengan perantaraan orang lain contohnya di sebut riwayat Warsy .Maka  Warsy boleh disebut sebagai perawi.         

( c) Thuruq
 -  thuruq dalam kaedah ilmu Ilmu Qiraat ialah perawi kepada perawi sebagai contoh thuruq Azraq.Beliau ialah perawi kepada Warsy.


Bahagian kedua : Khilaf Jaiz (harus)

Iaitu perbezaan para qurra dalam  memilih bentuk bacaan seumpama bacaan istia'azah ,bacaan basmalah antara dua surah, memilih untuk berhenti secara sukun, roum atau isymam, memilih bacaan dengan kadar panjang (ishba') 6 harakat , tawassut (pertengahan) 4 harakat atau  qashar( pendek) 2 harakat.


SENARAI IMAM QURRA BESERTA PERAWI

1. Imam Nafi' al-Madani
      - Imam Qalun
    - Imam Warsy

2. Imam Ibn Kathir al-Makki
    - Imam Bazzi
    - Imam Qunbul

3. Imam Abu Amru
    - Imam ad Duri
    - Imam as Susi

4. Imam Abdullah ibn Amir
    - Imam Hisham
   - Imam Ibn Zakwan

5. Imam Asim al-Kufi
     - Imam Syukbah
     - Imam Hafs

6. Imam Hamzah al-Kufi
     - Imam Khalaf
     - Imam Khallad

7. Imam Kisaie al-Kufi
    - Imam Abul Harith
    - Imam Ad Duri

8.  Imam Abu Jaafar al-Madani
        - Imam Ibn Wardan
    - Imam Ibn Jammaz

9. Imam Yaakub al-Hadhrami
    - Imam Ruwais
    - Imam Rauh

10. Imam Khalaf al-A'syir
      - Imam Ishak
      - Imam Idris
       


 PERBEZAAN  ANTARA  AL-QURAN DAN ILMU QIRAAT

Menurut Imam Az-Zarkasyi di dalam kitabnya  Al-Burhan:

Al-Quran dan Ilmu Qiraat adalah dua hakikat yang berbeza.Al-Quran  ialah wahyu Allah SWT yang diturunkan kepada baginda Nabi SAW  sebagai penjelasan untuk umat dan mukjizat (melemahkan cabaran penentang). Sementara Ilmu Qiraat adalah perbezaan lafaz-lafaz Al-Quran pada huruf  dan cara membacanya samada takhfi, tasydid dan sebagainya.Semestinya seseorang mempelajari ilmu ini secara mushafahah (diambil dari mulut guru secara bacaan) dan talaqqi (berhadapan dengan guru) .kerana ilmu ini tidak akan diperolehi melainkan secara mendengar dan  melalui  petunjuk guru.



Disediakan oleh.

Mohamad Asyraf bin Mohd Tajuddin
Felo MANHAL PMRAM

MAKLUMAN

Blog rasmi Dewan Perwakilan Mahasiswa DPM [MAQAZ] Shoubra ini di bawah selenggaraan Unit Penerangan & Penerbitan (UPP). Ianya bertujuan untuk memudahkan pemberitahuan maklumat setiap aktiviti-aktiviti kepada ahli-ahli DPMMS. AJKT DPM [MAQAZ] Shoubra sangat berbesar hati dan mengalu-alukan sebarang teguran, cadangan dan kritikan yang membina dari sahabat-sahabat sekalian..Sila hantarkan cadangan anda ke e-mail @ YM rasmi DPM [MAQAZ] Shoubra : mymaqaz@yahoo.com

********************
Perhatian :Untuk mendapatkan paparan yang baik, sila gunakan Mozilla Firefox sebagai browser.
 

Hak Cipta Terpelihara Dewan Perwakilan Mahasiswa Maahad Qiraat Al-Azhar As-Syarif of Shoubra / Julang Thaqafah Bakti Dicurah