Showing posts with label ILMIAH. Show all posts
Showing posts with label ILMIAH. Show all posts

Oct 24, 2010

2010 KEBANGKITAN MAHASISWA

0 comments
Kalau diteliti, usia paling berpotensi seorang pemuda adalah usia antara 20 sehingga 30 tahun, maka mahasiswa adalah elemen terpenting dari golongan ini. Mahasiswa ini berada pada posisi yang sangat menguntungkan. Baik dari segi usia (masa pencapaian potensi maksima) mahupun dari segi lingkungannya yang berupa lingkungan akademis. Kemampatan emosi yang ditunjangi dengan intelektual yang cukup akan menghasilkan sebuah idealisme. Idealisme yang dihasilkan ini umumnya masih fitrah, dengan erti kata idealisme itu dibangunkan atas dasar keinginan untuk mewujudkan suatu sistem yang bersih dan adil. Bukan idealisme yang telah dikotori oleh najis kekuasaan, kekayaan atau kepentingan lainnya.


Itulah sebabnya kebanyakkan pergolakan atau penentangan kepada penguasa bermula dari kampus. Orang-orang yang sedang memiliki “idealisme fitrah” itu kalau dihadapkan pada sebuah ketidakadilan atau sesuatu yang tak sesuai dengan idealisme itu, maka timbullah jiwa yang memberontak. Dengan demikian muncullah gerakan-gerakan menentang penguasa yang digerakkan oleh mahasiswa. Disitulah terlihatnya kehebatan gerakan ini. Pemerintah atau penguasa sebenarnya tidak begitu selesa dengan situasi ini, sehingga terkadang gerakan ini harus dihentikan dengan keras, ugutan dan tidak terlepas yang dikenakan undang-undang zalim terhadap mereka iaitu Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Auku).

Gerakan Mahasiswa merupakan sebuah gerakan yang tak mudah ditambat tengkoknya dan dicucuk hidungnya. Dibanding masyarakat awam, mereka ini jauh lebih faham dengan situasi politi terkini. Dunia kampus telah menyajikan jendela bagi mereka untuk membuka mata melihat apa sebenarnya yang terjadi saat ini. Dari kampus ini pulalah terlahir gerakan-gerakan atau perkumpulan mahasiswa yang wujud kesatuan aksi, himpunan dan sebagainya. Kebangkitan gerakan mahasiswa yang dijalankan hampir setiap kampus di Malaysia saat ini, semakin menambah wawasan dan keterampilan politik para mahasiswa.

Namun hanya bermodalkan mahasiswa saja belum menjamin akan menjadi seorang yang memiliki sebuah idealis terutama yang bersangkutan dengan ilmu politik. Secara garis besar mahasiswa dibahagikan menjadi dua; aktivis kampus dan study oriented. Mahasiswa yang ber”mazhab” study oriented hanya memiliki satu misi dalam kuliahnya; belajar dan mencapai nilai pointer setinggi-tingginya. Mahasiswa jenis ini tak akan mengambil tahu dengan percaturan politik yang sedang berlansung. Baik politik internal atau politik kampus, apatah lagi politik di luar kampus (negara). Berbeza dengan mahasiswa yang bergelar aktivis kampus. Mereka ini memiliki pengetahuan yang tinggi terhadap segala apa yang dicorak oleh penguasa, baik di dunia kampus ataupun juga dunia luar kampus.

Memang banyak godaan dan tangan-tangan gelap yang menghalang seorang pemuda pada masa ini untuk melihat kebenaran dan keadilan, namun disitulah letaknya tentangannya. Tentangan yang harus diharungi seseorang untuk mencapai kejayaan itu. Banyak anak muda yang terlena dengan berbagai macam godaan sehingga ia terlupa akan potensi-potensi yang sedang dimilikinya. Dengan demikinan maka beruntunglah mereka yang tak terlena oleh godaan-godaan itu serta dapat memanfaatkan potensinnya yang ada.

Peranan mereka sebagai mahasiswa pada saat ini bukan hanya sekadar duduk dan mendengarkan sahaja pemerintah berbicara. Mereka merasakan dan menyedari keprihatinan akan keadaaan Malaysia, mereka berjuang dan cita-cita mereka hanya satu, memberi kesan yang besar bagi tranfomasi Malaysia yang lebih baik dan bermartabat. Walaupun keadaan ini tidak disenangi beberapa pihak yang ingin menjaga sesuap nasi mereka, akan tetapi ini bukanlah satu perkara yang besar bagi mahasiswa yang berjiwa tinggi untuk menyatakan kebenaran, menegur kemungkaran.

2010 merupakan tahun kebangkitan gerakan mahasiswa. Mahasiswa, anak muda dan orang ramai mula tersentak dan tersedar dari lena yang panjang, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Auku) bukan lagi akta yang melindungi dan memberi kebaikan kepada mahasiswa khususnya tetapi akta ini menzalimi mereka dan menghalang suara-suara mereka yang ingin menyatakan kebenaran. Ayuh anak muda harapan Agama, harapan Bangsa dan Negara, mari kita sama-sama optimumkan potensi diri yang ada, dalam memperjuangkan hak dan mencapai misi yang utama iaitu tranfomasi Malaysia kearah lebih baik. Gunakan segala medium yang ada. Maksimakan pengunaan Blog, Facebook, youtube dan sebagainya untuk dijadikan senjata, dan pastikan senjata itu sentiasa tajam untuk menikam musuh yang menghalang.



“Kebangkitan gerakan mahasiswa Islam sudah tiba masanya dan kita sendiri sudah tidak sabar untuk mempamerkan wajah kita yang sebenar. Menawan kampus, bermakna kita menawan negara. Tarbiah yang kita terapkan selama ini, sudah meraung-raung untuk dilepaskan dalam bentuk yang lebih kental. Lalu, jiwa-jiwa dan hati-hati kecil kita bagaikan soldadu yang sedia menerima arahan untuk bertindak. Ya, kebangkitan ini, diumpamakan tiupan angin lembut yang tiba-tiba meruap ganas. Ditiup gunung, gunung tercabut. Diterpa lautan, lautan bergelora.” WaAllahualam.

sumber: MOHD YUSOF HADHARI B. SAIDON -UTMKL
KETUA PENERANGAN GAMIS PUSAT

Oct 7, 2010

SIRI PENGENALAN PARA IMAM QURRA' : IMAM NAFI'

0 comments
 
Firman Allah SWT  yang bermaksud : “Kemudian Kitab itu kami wariskan kepada orang-orang yang kami pilih di antara hamba-hamba Kami, lalu di antara mereka ada yang menzalimi diri sendiri, ada yang pertengahan dan ada pula yang lebih dahulu berbuat kebaikan dengan izin Allah.Yang demikian itu adalah kurniaan yang besar” (al Fathir ayat 32).Demikianlah anugerah Allah SWT pada hamba-hambaNya yang dikasihi, Al Quranul Karim menjadi wirid amalan, segala isi dan tuntutan dijadikan pakaian harian.Maka lahirlah golongan yang diumpamakan Al Quran yang berjalan di muka bumi tuhan.Di antara yang menjadi pilihan  dan termaktub nama mereka zaman berzaman ialah imam qurra yang bacaan al Quran berbagai riwayat dinisbahkan kepada mereka.

SIRI PENGENALAN PARA IMAM QURRA ingin sekali memaparkan riwayat hidup mereka agar menjadi tatapan umat  agar kelebihan ,ketokohan,keilmuan,  sumbangan  serta jasa mereka memartabatkan peranan al Quran menjadi ikutan.Saat ketika nama-nama artis terkenal menjadi sebutan dan kehidupan mereka seharian menjadi tumpuan musibah melanda umat apabila insan-insan pilihan Allah dipinggirkan.Riwayat hidup mereka tidak baca malah dianggap tidak memberi pulangan.Lalu umat menjadi lesu dan lalai sebagaimana kelalaian yang menimpa idola pujaan. Ingatlah kata-kata hikmah dari Imam Abdullah ibn Mubarak bahawa rahmat Allah itu turun saat disebut nama-nama para solihin.Mengambil peluang ini,maka jalur kehidupan mereka dipapar kembali.



 ( 1 )  IMAM NAFI

NAMA          :  Nafi’ bin Abdirrahman bin Abi Nuai’am al Laithi

GELARAN    :  Abu Ruwaim dan digelar juga Abul Hasan atau Abu Abdirrahman

KELAHIRAN : Beliau berasal dari Asbahan dan dilahirkan  pada tahun 70
                       hijrah                                                     

SIFAT BELIAU :

 Imam Nafi’ adalah salah seorang daripada 10 imam qurra yang termasyur namanya  sehingga kini.Beliau mempunyai kulit yang sangat hitam akan tetapi memiliki sekeping hati yang sangat jernih dan gilang gemilang.Tentunya akhlak beliau menuruti akhlak baginda Nabi SAW lebih-lebih lagi beliau berada di kota Madinah dan menjadi ikutan umat ketika itu.Wajah yang tampan dan bersikap tenang serta mesra malah boleh bergurau membuat masyarakat mudah mendekatinya.


KARAMAH :

 Imam Nafi’ RA dikurniakan Allah SWT dengan kelebihan mulut yang sentiasa berbau wangian kasturi asbab khidmat dan kecintaan yang keterlaluan terhadap al Quranul Karim.Hal ini dinyatakan sendiri oleh beliau saat ditanya seseorang, “apakah tuan memakai wangian tatkala duduk mengajarkan al Quran kepada orang ramai?” Kata imam: “ Sesungguhnya aku tidak mendekati wangian dan menyentuhnya tetapi satu ketika aku pernah bermimpi melihat baginda Nabi SAW membacakan al Quran dimulutku.Semenjak itu mulutku terus menjadi begini.Dalam riwayat lain beliau ditanya “ bagaimana wajahmu seindah ini dan akhlakmu begitu luhur?”.Beliau menjawab, “ bagaimana aku tidak menjadi seperti yang kamu sebutkan sedang dulu aku pernah bermimpi Nabi SAW  bersalam denganku lalu baginda membacakan al Quran kepadaku.Beliau adalah orang yang sangat pemurah lagi zuhud dan bersolat di masjid Nabawi selama 60 tahun.


RIWAYAT HIDUP

Imam Nafi RA memegang jawatan tertinggi majlis qurra pada  zamannya dan masyarakat Madinah berkumpul dan mendampinginya untuk belajar bacaan daripada beliau.Pernah bertemu dengan Imam Malik dan para ulama yang lain dan meriwayatkan bacaan dari 70 orang tabiin yang bersambung sanad hingga Rasulullah SAW. Antara para guru beliau ialah Imam Abu Jaafar al Qa’qa, Syaibah bin Nashoh, Muslim bin Jundub, Yazid bin Ruuman, Muhammad bin Muslim Syihab az Zuhri dan Abd Rahman bin Hurmuz al A’araj.Beliau menumpukan seluruh kehidupan   melebihi 70 tahun dalam menyebarkan ilmu-ilmu al Quran tanpa menerima ganjaran selain harapan kepada Allah SWT.Tiada yang paling alim di kota Madinah  dalam bacaan al Quran selain bacaannya sehingga dinisbahkan bacaan tersebut dengan namanya.Said bin Mansur meriwayatkan perkataan Imam Malik bin Anas yang berkata: “Bacaan penduduk Madinah adalah sunnah(terpilih).Beliau ditanya lagi : “apakah itu baca Nafi RA?”.Lalu beliau menjawab : “ya”. Seluruh pelosok tanah arab mengunjunginya baik dari Syam ,Mesir dan selainnya.Antara anak murid beliau adalah Imam Malik bin Anas , Imam Laith bin Saad , Abu Amru bin Al Ala’, Al Musi , Isa bin Wardan, Sulaiman bin Muslim bin Jammaz, Ismail dan Yaakub kedua-duanya anak Abu Jaafar.

KEWAFATAN

Kehilangan sebutir permata berharga ditangisi manusia dan bumi keseluruhannya apabila kembali kepada Sang Pencipta yang dirinduinya setelah 99 tahun berkelana di dunia fana.Beliau meninggalkan umat dengan khazanah ilmu pada tahun 169 Hijrah dan disemadikan berdekatan dengan baginda Nabi SAW.Alangkah mulia jasad beliau bersemadi dengan  baginda berkongsi tanah yang sama dan pasti kelak bertemu di syurga dengan riang gembira.Semoga syafaat al Quran untuk beliau dan kita bersama.
 
Disediakan oleh:
Mohd Asyraf Tajuddin
Mahasiswa Tahun Tiga Maahad Qiraat Shoubra
Felo MANHAL PMRAM 
 

Oct 22, 2009

ILMIAH : Waktu Tahajjud & Qiamullail

0 comments
MUKADDIMAH

Banyak kali persoalan berkenaan dengan perbezaan tahajjud dan qiamullail diajukan kepada saya. Begitu juga dengan waktu permulaan bagi keduanya. Terbaru adalah soalan yang diajukan di dalam shoutbox. Oleh itu saya akan jawab dengan mengemukakan dalil dan pandangan ulama. Adapun cara qiamullil Rasulullah boleh klik di sini .

PERBEZAAN QIAMULLAIL DAN TAHAJJUD

Qiamullail: Setiap solat sunat yang dilakukan pada waktu malam.

Tahajjud: Setiap solat sunat yang dilakukan selepas tidur pada waktu malam.

Oleh itu setiap solat tahajjud adalah qiamullail dan tidak semestinya solat qiamullail itu solat tahajjud.

Dalilnya adalah hadis yang diucapkan oleh seorang sahabat Nabi saw , iaitu Hajjaj bin Amru ra beliau berkata:

بحسب أحدكم إذا قام من الليل يصلي حتى يصبح : أنه قد تهجد؟ إنما التهجد المرء يصلي الصلاة بعد رقدة ثم الصلاة بعد رسول الله وتلك كانت تلك صلاة رسول الله

" Adakah sesorang menyangka apabila dia menghidupkan malam dengan solat sehingga subuh itu sudah dikira tahajjud? Sesungguhnya tahajjud hanyalah solat malam selepas tidur. Kemudian solat selepas tidur. Itulah cara solat Rasulullah saw." (Hr Thabrani )

Daripada Hajjaj bin Amru ra beliau berkata:

كان رسول الله يتهجد بعد نومه

"Rasulullah saw solat tahajjud selepas tidur." (Hr Ibnu Abi Khaisamah - hasan)

Ulama Syafie dan Maliki memberi definasi solat tahajjud:

"Solat sunat pd waktu malam selepas tidur."

PERMULAAN WAKTU SOLAT QIAMULLAIL

Rasulullah saw bersabda:

لا بد من صلاة بليل ولو حلب شاة وما كان بعد صلاة العشاء الآخرة فهو من الليل

"Solat malam adalah satu kemestian sekalipun sekadar perahan susu kambing biri-biri. Solat yang dilakukan selepas solat fardu isya adalah dikira solat malam." (Hr Thabrani - daif)

Ulama telah berselisih pendapat pada masalah ini kepada dua pendapat:-

Pendapat pertama:

Solat qiamullail adalah solat sunat yang dilakukan selepas solat isya.
Ini adalah pendapat mazhab Hanafi dan sebahgian ulama syafie.

Pendapat kedua:

Tidak disyaratkan solat qiamullail itu dilakukan selepas isya'. Waktu solat qiamullail bermula apabila masuk waktu magrib.

Imam Bahuti berkata:

"Disunatkan Qiamullail. Waktunya bermula dari waktu magrib sehingga waktu subuh."

PERMULAAN WAKTU TAHAJJUD

Ada dua pendapat mengenai perkara ini seperti berikut:

Pertama: Mazhab Syafie

Imam Syarwani berkata: Tahajud menurut istilah ulama syafie adalah sembahyang sunat yang dilakukan selepas solat isya sekalipun sebelum masuk waktu isya bagi yang melakukan jamak takdim dan hendaklah dilakukan selepas tidur. Tidak kira apa jua jenis solat sunat samada solat sunat rawatib atau solat-solat sunat yang lain.

Kedua: Mazhab hanafi.

MAzhab hanafi mensyaratkan untuk dikira solat tahajjud hendaklah dilakukan selepas masuknya waktu isya dan dilakukan selepas tidur.

WAKTU QIAM DAN TAHAJJUD RASULULLAH SAW

Aisyah ra telah menjawab soalan tentang solat malam Rasulullah saw:

كان ينام أوله ويقوم آخره فيصلي ثم يرجع إلى فراشه فإذا أذن المؤذن وثب فإن كان به حاجة اغتسل وإلا توضأ

"Nabi saw tidur pada awal malam kemudian bangun diakhir malam dan melakukan solat malam. Kemudian baginda akan berjimak dengan isterinya jika baginda berkeinginan sebelum baginda tidur semula. Bila azan berkemandang, baginda akan bangun dan mandi junub jika telah berjimak dan hanya berwuduk jika tidak berjimak." (Hr bukhari dan Muslim)

WAKTU HABIS QIAMULLAIL

Kebanyakan ulama yang terdiri dari mazhab Syafie, Maliki, Hanafi dan Hambali mengatakan habisnya masa qiamulail dan tahajjud adalah bila masuk waktu subuh.

Aisyah ra telah berkata:

كان رسول الله صلى الله يصلي من الليل حتى يكون آخر صلاته الوتر

" Rasulullah saw solat pada waktu malam yang diakhiri dengan solat witir." (Hr Muslim - sahih)

Ini menunjukkan solat Rasulullah saw berakhir sebelum masuk waktu subuh.

Pesanan Penting:

Hendaklan setiap muslim yang telah qiamullail dan tahajjud pada bulan ramadan meneruskan amalan mereka selepas ramadan. Janganlah kita merobohkan binaan amalan yang telah dibina di bulan Ramadan. Nabi saw bersabda:

يا عبد الله لا تكن مثل فلان كان يقوم الليل ثر ترك قيام الليل

"Wahai Abdullah, janganlah engkau menjadi seperti si fulan, dahulu dia melakukan qiamullail. Kemudian dia meninggalkannya." (Hr Bukhari dan Muslim)

Begitu juga dengan amalan2 yang lain kita perlu teruskan dengan ikhlas.

Rujukan: Mawaqit Ibadah Zamaniah wal Makaniah oleh Dr Nizar Mahmud dan Fathul Bari oleh Ibnu Hajar Asqalani.


Sumber : Blog Ust Salman Maskuri

Sep 23, 2009

ILMIAH : PUASA SUNAT (6 HARI SYAWAL)

0 comments
Apakah dalil bagi kelebihan berpuasa di bulan syawal?

Dalilnya ialah sabda Nabi s.a.w.; “Sesiapa berpuasa bulan Ramadhan, kemudian ia ikuti dengan berpuasa enam hari di bulan syawal, maka ia seolah-olah berpuasa setahun” (HR Imam Muslim dari Abu Ayyub al-Ansari r.a.)

Adakah disyaratkan puasa enam hari itu dilakukan berturut-turut?

Tidak disyaratkan. Harus diselang-selikan asalkan dalam bulan Syawal dan bilangannya mencukupi enam hari. Namun yang terbaik (afdhal) ialah melakukannya berturut-turut dan lebih afdhal lagi memulainya dari dua syawal.

Jika seseorang itu mempunyai puasa Ramadhan yang perlu diqadhanya, adakah harus ia berpuasa enam sebelum mengqadha puasanya?

Harus kerana puasa qadha Ramadhan memiliki waktu yang panjang untuk dilakukan iaitu sehingga Ramadhan tahun berikutnya, adapun puasa enam hari di bulan Syawal waktunya adalah terhad. Namun jika kita dapat melakukan puasa qadha terlebih dahulu, kemudian diikuti dengan puasa Syawal, itu yang terbaik kerana kita mendahulukan ibadah yang wajib ke atas yang sunat. Dan ada ulamak berpendapat; harus kita meniatkan keduanya sekali dalam satu puasa, tetapi yang terbaik kita memisahkannya kerana akan memperbanyakkan amalan kita kepada Allah.

Sumber : http://fiqh-am.blogspot.com/2008/07/puasa-sunat-6-hari-syawal.html

MAKLUMAN

Blog rasmi Dewan Perwakilan Mahasiswa DPM [MAQAZ] Shoubra ini di bawah selenggaraan Unit Penerangan & Penerbitan (UPP). Ianya bertujuan untuk memudahkan pemberitahuan maklumat setiap aktiviti-aktiviti kepada ahli-ahli DPMMS. AJKT DPM [MAQAZ] Shoubra sangat berbesar hati dan mengalu-alukan sebarang teguran, cadangan dan kritikan yang membina dari sahabat-sahabat sekalian..Sila hantarkan cadangan anda ke e-mail @ YM rasmi DPM [MAQAZ] Shoubra : mymaqaz@yahoo.com

********************
Perhatian :Untuk mendapatkan paparan yang baik, sila gunakan Mozilla Firefox sebagai browser.
 

Hak Cipta Terpelihara Dewan Perwakilan Mahasiswa Maahad Qiraat Al-Azhar As-Syarif of Shoubra / Julang Thaqafah Bakti Dicurah