Showing posts with label KALAM PENGERUSI. Show all posts
Showing posts with label KALAM PENGERUSI. Show all posts

Aug 27, 2010

Secangkir Bicara Pengerusi DPM (MAQAZ) Shoubra Sesi 2010/ 2011

0 comments
Assalamulaikum w.b.t.

Segala puji dan puja milik Tuhan sekelian alam, sang pemberi nikmat Iman dan Islam. Selawat dan salam pada junjungan mulia Muhammad alaih salam, ahli bait, sahabat radiallah anhum dan generasi penerus panji Islam hingga Hari Kebangkitan.

Marilah kita meningkatkan cinta pada Ilahi kerana masih memanjangkan umur hayat kita hingga ke detik istimewa Ramadhan tahun ini. Antara kelebihan yang Allah Taala berikan kepada umat Nabi Muhammad Sallallahhu Alaihi Wasallam ialah apabila tiba malam pertama Ramadhan, Allah Taala akan melihat hamba-hambaNya. Barangsiapa yang Allah Taala melihatnya, Allah Taala tidak akan mengazabnya.

Sahabat – sahabat yang dirahmati Allah,

Dalam Mesyuarat Agung Tahunan kali ke 18, sidang mesyuarat bersetuju untuk menerima usul ' Memantapkan Halaqah Muzakarah dan meningkatkan peranan Unit Biah Solehah dan Hisbah demi mengekalkan suasana Islam di bumi Shoubra ’ . Pada saya, usul ini adalah penerusan tema yang dibawa oleh PMRAM pada tahun ini ‘ Kemantapan Fikrah Membina Syaksiah ’.

Tentunya agenda ini tidak harus dipikul oleh saf kepimpinan sahaja sedang tuntutan seperti yang difirmankan oleh Allah Taala ‘‘ Dan hendaklah wujud di kalangan kamu golongan yang menyeru pada hal maa’ruf dan mencegah perkara mungkar, dan merekalah golongan yang beruntung ’’.
Marilah sama- sama kita berkerja sebagai sebuah unit koleketif demi janji muflihun dari Rabb.

Sahabat – sahabat yang dikasihi Allah,

Marilah sama- sama kita memanjat doa sebanyaknya dalam Ramadhan ini, agar segala kemelut yang telah berlaku pada sesi lepas melibatkan mahasiswa baru tidak lagi berulang. Moga jalan ibnu sabil yang melalui denai perjalanan jauh dari tanah air, dimudah dan dilapangkan jalannya.

Saya mewakili kepimpinan AJKT DPM (MAQAZ) Shoubra 2010/2011 mengucapkan selamat meneruskan pelayaran Ramadhan dan semoga sama kita-kita mendapat keberkatan Lailatul Qadr yang dicita.

SIRRU ALA BARAKATILLAH

Ahmad 'Afif Zuhdi Ahmad Zaki,
Pengerusi,
Dewan Perwakilan Mahasiswa (MAQAZ) Shoubra.

Sep 22, 2009

KALAM PENGERUSI DPM (PERUTUSAN RAYA)

0 comments

1. Allahhu Akbar, Allahhu Akbar, Allahhu Akbar, Walillahhil hamd. Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah Taala, kerana dipanjangkan umur kita untuk sama-sama meraikan Aidilfitri sekali lagi. Setelah sebulan kita menjalani sesi pembelajaran dan pendidikan dalam Madrasah Ramadhan, sekarang kita telah berjaya dengan segulung ijazah dan bergelar graduan Universiti Ramadhan. Cuma yang menjadi tanda tanya apakah natijah yang kita dapat dari Madrasah Ramadhan-Rasib, Maqbul, Jayyid, atau Mumtaz. Tepuk dada, tanya iman.

2. Dalam khutbah Hari Raya yang dibacakan oleh Ustaz Salman Samat di markaz tadi, ada disebutkan bahawa Aidilfitri adalah hari untuk kita bergembira. Gembira dengan kemenangan melawan godaan syaitan dan hawa nafsu.Kita telah berjaya selama sebulan dengan amalan, ibadah, Quran, iktikaf, muroqobah dan sebagainya. Namun kemenangan kita menjadi sia-sia sekiranya hari-hari mendatang tidak seperti Ramadhan. Berdoalah pada Tuhan, moga diberi kekuatan mengharungi hari mendatang tanpa Ramadhan.

3. Sekarang kecenderungan pelajar-pelajar kita untuk menyambung pengajian ke Kuliah Al-Quran di Tanta amat memberangsangkan. Alahamdulillah moga perkembangan ini terus-menerus pada masa akan datang. Kepada sahabat-sahabat yang akan menyambung pengajian ke Tanta, Selamat Maju Jaya diucapkan. Teman-teman yang masih di Shoubra teruskan perjuangan. Kalau sesi lepas asyik memonteng, sesi ini kita buat perubahan. Ambil semangat Ramadhan. Jangan berlengah, study group boleh dimulakan dan sepanjang pengetahuan saya sudah ada kawan-kawan Tahun Tiga nak ambil shahadah tahun ini telah mula hafaz matan. Anda yang masih tercangak-cangak (maaf agak kasar) tak tercabarkah.

4. Akhir sekali, barisan kepimpinan DPM MAQAZ Shoubra mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada semua ahli DPMMS, BKAN dan DPM taakhi, BP PMRAM,seluruh ahli PMRAM, warga Malaysia di Perlembahan Nil, dan keluarga tersayang di Malaysia. Tak lupa juga kepada ibu-ibu dan bapa-bapa yang pernah mengunjungi DPMMS dan memberi sumbangan kepada kami. Doakan kami berjaya dunia dan akhirat.

p/s BKAN dan DPM taakhi baru bagi Shoubra ialah Kelantan, Penang, Wilayah Persekutuan, dan Iskandariah (alamat selepas ni banyaklah kenduri kahwin di Shoubra)

Aug 22, 2009

KALAM PENGERUSI DPM (SALAM RAMADHAN)

0 comments
1. Alhamdulillah, bersyukur kita kepada Allah Taala kerana memberi kita peluang sekali lagi menjadi mahasiswa Madrasah Ramadhan. Antara kelebihan yang Allah Taala berikan kepada umat Nabi Muhammad Sallallahhu Alaihi Wasallam ialah apabila tiba malam pertama Ramadhan, Allah Taala akan melihat hamba-hambaNYa. Barangsiapa yang Allah Taala melihatnya, Allah Taala tidak akan mengazabnya. Adakah saudara termasuk dalam golongan yang dilihat Allah Taala.

2. Saudara, dalam hadis yang lain ada menyebutkan terdapat tiga orang yang dijauhkan daripada mendapat rahmat Allah Taala. Antaranya ialah orang yang berpeluang menemui Ramadhan tetapi tidak mendapat keampunan. Alangkah ruginya golongan ini. Sedangkan Ramadhan permulaannya adalah rahmat, pertengahannya keampunan, dan pengakhirannya bebas daripada api neraka. Moga-moga kita tidak termasuk dalam golongan yang dijauhkan daripada rahmat Allah Taala.

3. Terima kasih kepada seorang sahabat yang menghantar pesanan ringkas kepada saya sehari sebelum Ramadhan yang mencadangkan agar DPMMS mengadakan tadarus al-Quran sempena Ramadhan ini. Tahniah diatas cadangan yang bernas ini. Setelah berfikir panjang dan ingin meraikan sahabat-sahabat yang mengikuti kelas Sheikh Nuruddin, maka saya mengambil keputusan untuk melaksanakan tadarus al-Quran ini diperingkat ahli bait masing-masing.

4. Terserahlah pada ahli bait cara yang terbaik untuk melaksanakan tadarus ini. Saudaralah yang akan menjadi tenaga penggerak tadarus ini. Kalau ahli bait saudara ada empat orang, tapi ynag nak bertadarusnya hanya dua orang, itu adalah lebih baik berdasarkan kaedah fekah yang menyebut, “ Apa yang tidak dapat semua, jangan tinggal semua”. Kalau tak dapat rotan, akar kayu pun jadilah.

5. Pihak kepimpinan mengucapkan selamat berpuasa kepada semua ahli-ahli DPMMS dan umat Islam umumnya. Kita doakan agar ibadah puasa kita diterima oleh Allah Taala dan mendapat ganjaran yang berlipat kali ganda. Kullu ‘am waantum bilkhair.

Salam Ramadhan al-Mubarak

dipost pada : 22 Ogos 2009 : 7.00 malam

Aug 16, 2009

KALAM PENGERUSI DPM

0 comments

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله, والصلاة والسلام على رسول الله وعلى اله وصحبه ومن والاه, فى مبدأ الأمر ومنتهاه, أما بعد

1. Tahniah diucapkan kepada Badan Kebajikan Pelajar Pulau Pinang Mesir (BKPPPM) kerana telah berjaya melangsungkan Mesyuarat Agung kali ke-32 pada hari Sabtu yang lalu. Moga-moga idea dan buah fikiran yang dilontarkan akan dapat membawa BKPPPM lebih maju pada masa depan.

2. DPM MAQAZ Shoubra (DPMMS) mengucapkan tahniah kepada Ustaz Hafis Abidin, Tahun Dua Maahad Qiraat Shoubra atas perlantikan beliau sebagai Yang Dipertua BKPPPM yang baru. Disamping ucapan tahniah kepada tiga orang pelajar Shoubra iaitu Ustaz Adnan Razak, Ustaz Mohammad Khalis Othman, dan Ustaz Mohd ILya Farhan Che Mohamad ILias kerana perlantikan mereka sebagai AJKT BKPPPM bagi sesi 09/10. DPMMS mengucapkan selamat menjalankan tugas kepada mereka.

3. Dengan empat orang pelajar Shoubra dalam kepimpinan BKPPPM, bahkan ramai lagi dalam barisan kepimpinan BKAN-BKAN yang lain membuktikan bahawa ahli al-Quran sentiasa diharapkan dan dinantikan oleh masyarakat untuk memimpin mereka menuju redho Ilahi berpandukan al-Quran yang berada dalam dada saudara. Walaupun saudara tidak menjadi pemimpin peringkat tinggi, saudara tetap akan memimpin diri saudara sendiri, keluarga saudaraapabila telah berkahwin kelak bahkan masyarakat sekeliling saudara.

4. Oleh itu, sediakan diri saudara sebagai pemimpin masa depan merubah masyarakat dengan cahaya al-Quran. Persiapkan diri dengan ilmu kepimpinan, kemahiran, dan ilmu-ilmu yang lain sebagai persediaan sebelum saudara terjun ditengah masyarakat kelak. Hayati sabda Nabi Muhammad Sallallahhu a'laihi wasallam, " Sebaik-baik kamu adalah orang yang belajar al-Quran dan mengajarkannya", dan " Sebaik-baik kamu adalah orang yang memberi manfaat kepada orang lain".

5. Akhir sekali, DPMMS bergembira dengan kehadiran anak saudara baru, Amna Nafisa dalam keluarga DPMMS. Tahniah diucapkan kepada Ustaz Malik Ahmad diatas kehadiran Amna. Moga Amna menjadi anak solehah dan srikandi Islam kelak. Amin.

P/s : Ucapan takziah kepada Al-Fadhil Ustaz Sukri bin Che Mat di atas pemergian ayahandanya yang tercinta pada pagi tadi 16 Ogos 2009 waktu Malaysia. Semoga Allah merahmati roh beliau dan ditempatkan bersama-sama dengan para solihin. Al-Fatihah.

Diucapkan selamat berangkat ke Malaysia kepada Al-Fadhil Sheikh Muhammad bin Abdul Nabi pada malam ini. Semoga selamat tiba dan pulang kembali. Siruu 'ala barakatillah, wa fi amanillah.

Salam Ramadhan al-Mubarak.

Alfaqir ilaallah,
Khadim ahli al-Quran.

dipost pada : 16 Ogos 2009 ; 6.00 petang

Aug 4, 2009

KALAM PENGERUSI DPM [MAQAZ] SESI 2009/10

0 comments
بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله, والصلاة والسلام على رسول الله وعلى اله وصحبه ومن والاه, فى مبدأ الأمر ومنتهاه, أما بعد

1. Alhamdulillah DPM MAQAZ Shoubra (DPMMS) telah berjaya mengadakan Mesyurat Agung Tahunan (MAT) ke-17 pada hari Isnin, 12 Syaaban 1430. Ucapan penghargaan dan sekalung tahniah kepada Pengarah MAT, Ustaz Mohd Izhar Bin Daud dan barisan AJK Pelaksana yang bertungkus lumus menjayakan MAT pada kali Ini.

2. Kepimpinan DPMMS yang baru dan seluruh ahli mengucapkan ribuan terima kasih kepada Mantan Pengerusi, Ustaz Mohammad Anuar Bin Roseli dan kepimpinan sesi 08/09 diatas segala sumbangan dan jasa bakti sepanjang sesi lepas. Moga-moga Allah S.W.T. melipat gandakan ganjaran pahala dan menjadikan gerak kerja yang telah dilakukan sebagai timbangan kebaikan di akhirat kelak. Amin.

3. Pada mesyuarat kali ini, satu usul tergempar telah dibawa oleh Ustaz Muhamad Zul Ikhwan Bin Zahari. Usul setelah dipinda tersebut berbunyi, " Seluruh ahli dan kepimpinan dipertanggungjawabkan untuk mendapatkan markaz baru sebelum penghujung tahun 2009 ". Justeru itu, saya menyeru seluruh ahli DPMMS agar dapat bersama-sama mengembleng tenaga agar usul yang dibawa ini dapat direalisasikan. Disamping tidak lupa untuk kita berdoa agar Allah S.W.T. memudahkan segala urusan mencari markaz baru ini. Berdoalah sahabat, mungkin antara kita terdapat insan yang bila menadah tangan nescaya Allah S.W.T. mengabulkannya. Hanya kepada Allahlah tempat kita memohon dan bergantung harap.

4. Dikesempatan ini, saya menyeru kepada semua ahli agar bersama-sama melakukan persediaan untuk menghadapi Madrasah Ramadhan yan bakal menjelang, disamping merebut ganjaran pahala pada malam Nisfu Sya'ban. Gandakan bacaan al-Quran saudara, lazimi zikrullah, solat jemaah, dan yang paling penting bertaubatlah dari segala dosa-dosa, kecil mahupun besar. Sesungguhnya Allah S.W.T. sentiasa menerima taubat hamba-hambaNya. Mungkin Ramadhan tahun lepas saudara tidak berpeluang bertemu Lailatul Qadr, oleh itu gandakan usaha saudara pada tahun ini agar dipertemukan dengan malam yang lebih baik dari seribu bulan.

5. Kepimpinan yang baru memohon dokongan, bantuan, nasihat, idea dan komitmen dari seluruh ahli untuk bersama-sama meningkatkan lagi kecemerlangan DPM kita. Disamping itu, saya berharap agar sahabat-sahabat dapat mendoakan agar kepimpinaan DPMMS sentiasa mendapat taufik dan inayah daripada Allah S.W.T. dalam segala gerak kerja dan perancangan perjalanan DPM. Moga-moga kita sentiasa diredhoi dan dirahmati oleh Allah S.W.T.

Selamat beramal dan berjuang mencari Lailatul Qadr.

Alfaqir Ilallah,
Khadim ahli al-Quran.

MAKLUMAN

Blog rasmi Dewan Perwakilan Mahasiswa DPM [MAQAZ] Shoubra ini di bawah selenggaraan Unit Penerangan & Penerbitan (UPP). Ianya bertujuan untuk memudahkan pemberitahuan maklumat setiap aktiviti-aktiviti kepada ahli-ahli DPMMS. AJKT DPM [MAQAZ] Shoubra sangat berbesar hati dan mengalu-alukan sebarang teguran, cadangan dan kritikan yang membina dari sahabat-sahabat sekalian..Sila hantarkan cadangan anda ke e-mail @ YM rasmi DPM [MAQAZ] Shoubra : mymaqaz@yahoo.com

********************
Perhatian :Untuk mendapatkan paparan yang baik, sila gunakan Mozilla Firefox sebagai browser.
 

Hak Cipta Terpelihara Dewan Perwakilan Mahasiswa Maahad Qiraat Al-Azhar As-Syarif of Shoubra / Julang Thaqafah Bakti Dicurah