Showing posts with label MANHAL PMRAM. Show all posts
Showing posts with label MANHAL PMRAM. Show all posts

Nov 24, 2010

PENGENALAN ILMU QIRAAT

0 comments

Taa'rif
Bahasa :

Ilmu Qiraat berasal daripada  perkataan Bahasa Arab  bersifat jamak (plural) bermaksud bacaan

Istilah:

Ialah satu ilmu tentang cara melafazkan  kalimat-kalimat Al-Quran serta  pelaksanaannya  dengan  menisbahkan setiap bacaan kepada seorang Imam Ilmu Qiraat .

Fokus utama :

Menekuni kalimat-kalimat Quraniyyah dari segi cara pelaksanaannya seperti  panjang atau pendek hukum tajwid ,hukum izhar dan idghom.   
  
 Faedah Ilmu Qiraat :

Memelihara dan menyelamatkan seseorang daripada kesalahan dalam bacaan Al-Quran al Karim serta mengetahui setiap bacaan para Imam Qurra dan mampu membezakan setiap bacaan mereka.

Kelebihan Ilmu Qiraat :

Termasuk dalam sebaik-baik ilmu untuk dipelajari kerana berkait rapat dengan Kalam Illahi.Kemuliaan ilmu ini adalah kerana mulianya Al-Quran.

           
Pengumpulan Ilmu Qiraat :

Dikumpul  oleh Imam-imam Ilmu Qiraat dan diriwayatkan bahawa orang pertama yang mengumpulkannya ialah Imam Abu Umar Hafs bin Umar ad Duuri.


Pembukuan Ilmu Qiraat :

Orang pertama melakukan hal ini ialah Abu Ubaid al Qaasim bin Salam  
(wafat 224 H)

Sumber pengambilan :

Melalui riwayat-riwayat  yang sahih dan mutawatir daripada Imam Qurra sehingga bertemu sanad dengan baginda Rasul SAW.

Hukum mempelajari  :

Fardu kifayah

Khilaf atau perbezaan di sisi ulama qurra terbahagi kepada dua bahagian :

1. Khilaf wajib

2. Khilaf jaiz (harus)


Bahagian pertama : Khilaf wajib

Ialah perbezaan pada 

(a)  Ilmu Qiraat (bacaan)
setiap bacaan ini disandarkan kepada Imam contohnya Ilmu Qiraat Imam Nafi', Ilmu Qiraat Imam Hamzah ,Ilmu Qiraat Imam A'sim .

(b)  Riwayat
 - bermaksud sesuatu yang disandarkan kepada orang yang mengambil bacaan daripada sang imam sekalipun dengan perantaraan orang lain contohnya di sebut riwayat Warsy .Maka  Warsy boleh disebut sebagai perawi.         

( c) Thuruq
 -  thuruq dalam kaedah ilmu Ilmu Qiraat ialah perawi kepada perawi sebagai contoh thuruq Azraq.Beliau ialah perawi kepada Warsy.


Bahagian kedua : Khilaf Jaiz (harus)

Iaitu perbezaan para qurra dalam  memilih bentuk bacaan seumpama bacaan istia'azah ,bacaan basmalah antara dua surah, memilih untuk berhenti secara sukun, roum atau isymam, memilih bacaan dengan kadar panjang (ishba') 6 harakat , tawassut (pertengahan) 4 harakat atau  qashar( pendek) 2 harakat.


SENARAI IMAM QURRA BESERTA PERAWI

1. Imam Nafi' al-Madani
      - Imam Qalun
    - Imam Warsy

2. Imam Ibn Kathir al-Makki
    - Imam Bazzi
    - Imam Qunbul

3. Imam Abu Amru
    - Imam ad Duri
    - Imam as Susi

4. Imam Abdullah ibn Amir
    - Imam Hisham
   - Imam Ibn Zakwan

5. Imam Asim al-Kufi
     - Imam Syukbah
     - Imam Hafs

6. Imam Hamzah al-Kufi
     - Imam Khalaf
     - Imam Khallad

7. Imam Kisaie al-Kufi
    - Imam Abul Harith
    - Imam Ad Duri

8.  Imam Abu Jaafar al-Madani
        - Imam Ibn Wardan
    - Imam Ibn Jammaz

9. Imam Yaakub al-Hadhrami
    - Imam Ruwais
    - Imam Rauh

10. Imam Khalaf al-A'syir
      - Imam Ishak
      - Imam Idris
       


 PERBEZAAN  ANTARA  AL-QURAN DAN ILMU QIRAAT

Menurut Imam Az-Zarkasyi di dalam kitabnya  Al-Burhan:

Al-Quran dan Ilmu Qiraat adalah dua hakikat yang berbeza.Al-Quran  ialah wahyu Allah SWT yang diturunkan kepada baginda Nabi SAW  sebagai penjelasan untuk umat dan mukjizat (melemahkan cabaran penentang). Sementara Ilmu Qiraat adalah perbezaan lafaz-lafaz Al-Quran pada huruf  dan cara membacanya samada takhfif , tasydid dan sebagainya.Semestinya seseorang mempelajari ilmu ini secara mushafahah (diambil dari mulut guru secara bacaan) dan talaqqi (berhadapan dengan guru) .kerana ilmu ini tidak akan diperolehi melainkan secara mendengar dan  melalui  petunjuk guru.



Disediakan oleh.

Mohamad Asyraf bin Mohd Tajuddin
Felo MANHAL PMRAM

Nov 22, 2010

SIRI PENGENALAN PARA IMAM QURRA' : IMAM ABU AMRU BIN AL A'LAA AL BASRI (BAHAGIAN KETIGA)

0 comments



NAMA

Zabban bin al A'laa bin Ammar bin al Aryan bin Abdullah bin al Hussain bin al Haaris bin Jalhamah sehingga berakhir pada nama nenda beliau Adnan.

GELARAN

Umat mengenal beliau dengan panggilan al Imam as Sayyid  Abu Amru at Tamimi al Maazini al Basri.

KELAHIRAN

Bintang yang bercahaya ini dilahirkan pada tahun 70H di bumi bertuah Mekah al Mukarramah , sebahagian riwayat menukilkan beliau lahir pada tahun  68H.

SIFAT BELIAU

Ahli hadis mengambil riwayat hadis daripada beliau berdasarkan sifat beliau yang tsiqah (dipercaya) dan mereka menyifatkannya seorang yang benar dalam ucapan dan tindakan sesuai dengan diri beliau yang menanggung kemulian al Quran.Terkenal sebagai tokoh kaumnya dan pemuka masyarakat.Sarjana sastera arab  al Farzadiq dan rakan-rakannya  memuji beliau atas kehebatan sang Imam  menguasai seni bahasa tersebut dengan mengatakan beliau paling alim dalam al Quran dan Bahasa Arab.

Terserlah pada diri beliau sifat benar,tsiqah, amanah, zuhud, dan beragama. Al Asmu'ie meriwayatkan bahawasanya Imam Abu Amru pernah berkata :" Aku tidak melihat sebelumku orang yang lebih alim dari diriku".Maka  al Asmu'ie mengakui hal tersebut dengan berkata : "Sesungguhnya aku tidak pernah mengetahui selepas kewafatannya , manusia yang lebih alim dari beliau(Imam Abu Amru)".

Yunus bin Habib an Nahwi telah berkata : "Jika sekiranya ada  manusia yang layak diambil  perkataannya  pada setiap hal maka perkataan Imam Abu Amru adalah terlebih utama untuk diikuti".

Pengarang kitab sejarah Al Bidayah wan Nihayah Ibn Kathir memuji beliau dalam kitabnya  dengan ungkapan , sang Imam adalah  tanda kebesaran Allah pada zamannya dalam bidang ilmu qiraat ,nahu dan fiqh.


RIWAYAT HIDUP

Jika bukan kerana kezaliman al Hajjaj ibn Yusuf as Tsaqafi nescaya beliau dan keluarga besarnya  akan kekal menetap di bumi mulia Madinah al Munawwarah.Akan tetapi takdir tertulis mereka semua berhijrah menyelamatkan diri ke bumi Basrah.Begitu pun beliau sempat berguru menadah ilmu dari ulama bumi Mekah dan Madinah sebelum berpindah ke tempat baru.Di Basrah dan Kufah tanah berkat yang menampung ribuan ulama dan fuqaha menarik minat belajar beliau sehingga tiada satu pun ulama yang disebut nama mereka melainkan beliau pernah berguru dengannya.Beliau termasuk dalam golongan tabiin yang mulia dan pernah bertemu dengan para sahabat Nabi SAW seperti Saidina Anas bin Malik RA dan lain-lain.Dinukilkan bahawa antara tujuh imam qurra yang lain,beliau  adalah ulama yang mempunyai bilangan guru yang paling ramai. Beliau pernah ditanya bilakah masa paling sesuai untuk seseorang menuntut ilmu lalu jawab beliau selama mana hidup masih ada"

Saidina Sufiyan bin Uyainah RA menceritakan :"Aku pernah bermimpi bertemu baginda  Rasul SAW seraya bertanya kepada baginda tentang masalah perbezaan bacaan qiraat yang mana satu sesuai menjadi bacaanku?,jawab Rasul SAW: "Bacalah dengan qiraat Abu Amru bin Al A'laa."


 GURU-GURU BELIAU

 Di antaranya ialah :
1. Al Hasan bin Abil Hasan al Basri
2. Abu Jaafar
3. Humaid bin Qais al A'araj al Makki
4. Abu al A'liah
5. Yazid bin Ruuman
6. Syaibah bin Naashoh
7. Asim bin Abi Najud
8. Abdullah bin Kathir
9. Abdullah bin Abi Ishak al Hadhrami
10. A'to bin Abi Rabah
11.Ikrimah bin Khalid al Makhzumi
12. Ikrimah hamba Ibn Abbas
13. Mujahid bin Jabar
14. Muhammad bin Muhaisin
15. Nasr bin Asim
16. Yahya bin Ya'mar
17. Said bin Jubair

MURID-MURID BELIAU

Di antaranya ialah :
1. Abu Zaid Said bin Wars
2. Salam bin Sulaiman at Towil
3. Sahl bin Yusuf
4.Syuja' bin Abi Nasr al Balkhi
5. Al Abbas bin al Fadl
6. Abdullah bin Mubarak
7. Yahya bin al Mubarak al Yazidi
8. Sibawaih (ulama nahu)
9. Yunus bin Habib (ulama nahu)
10. Al Khalil bin Ahmad (ulama nahu)
11. Abu Ubaidah Muammar bin al Mutsanna (ulama nahu)
12. Al Asmu'ie  (ulama nahu)
13. Muaz bin Muslim (ulama nahu)
 *Mereka yang diatas sebahagiannya mengambil faedah ilmu tatabahasa Arab daripada Imam Abu Amru RA.


KEWAFATAN

Insan bertuah ini telah kembali ke rahmatullah sekitar usia 84 -86 tahun pada tahun 154H  dan jasadnya disemadikan di Kufah Kota Ilmu.Umat menangisi pemergian beliau sebagai ulama yang mutqin dan mutafanni dalam setiap lapangan.Ketika jenazah  diziarahi ,para ulama mengucapkan takziah sesama sendiri kerana benar-benar merasai kehilangan insan yang berilmu."Sesungguhnya kami mengucapkan takziah kepada kamu(ahli keluarga) dan kepada diri kami sendiri diatas kehilangan insan yang tiada lagi seumpamanya.Demi Allah , jika dibahagikan ilmu dan zuhud Abi Amru kepada 100 orang manusia biasa nescaya mereka masing-masing menjadi ulama yang zuhud.Demi Allah, jika Rasul melihatnya(Abu Amru) pasti baginda akan menyenanginya."

Allahu Allah….betapa bertuahnya seorang Imam dengan ungkapan demikian pasti dimakbulkan Tuhan doa mereka.

Disediakan oleh,

Mohamad Asyraf bin Mohd Tajuddin
Felo MANHAL PMRAM

MAKLUMAN

Blog rasmi Dewan Perwakilan Mahasiswa DPM [MAQAZ] Shoubra ini di bawah selenggaraan Unit Penerangan & Penerbitan (UPP). Ianya bertujuan untuk memudahkan pemberitahuan maklumat setiap aktiviti-aktiviti kepada ahli-ahli DPMMS. AJKT DPM [MAQAZ] Shoubra sangat berbesar hati dan mengalu-alukan sebarang teguran, cadangan dan kritikan yang membina dari sahabat-sahabat sekalian..Sila hantarkan cadangan anda ke e-mail @ YM rasmi DPM [MAQAZ] Shoubra : mymaqaz@yahoo.com

********************
Perhatian :Untuk mendapatkan paparan yang baik, sila gunakan Mozilla Firefox sebagai browser.
 

Hak Cipta Terpelihara Dewan Perwakilan Mahasiswa Maahad Qiraat Al-Azhar As-Syarif of Shoubra / Julang Thaqafah Bakti Dicurah