Feb 5, 2008

:: PRASYARAT MUKMIN SEJATI ::

0 comments

Oleh: Ustaz Anhar Opir, mantan Timbalan Presiden PMRAM 1998

Gelaran Mukmin sejati (Mukmin Hak) merupakan satu anugerah Rabbaniah daripada Allah kepada orang Muslim. Ia merupakan satu lambang ketinggian taraf, kecemerlangan amal dan kualiti aqidah seseorang Muslim. Oleh sebab itu tidak semua Mukmin layak mendapat darjah ini dan tidak semua muslim berhak memperolehinya melainkan mereka yang benar-benar menepati kesemua pra syarat yang telah ditetapkan, lalu layak menduduki darjat di sisi Allah, mendapat keampunan dan limpahan rezeki yang baik.

Firman Taala yang maksudnya “Apabila di sebut nama Allah maka gementarlah hati mereka.” Mukmin sejati ialah mereka yang gementar hatinya apabila disebutkan nama Allah dengan kegementaran ketakwaan yang mengharap maghfirah dan maunah Allah. Jiwa yang gerun mendengar nama Allah adalah manifestasi iman-iman yang sejahtera. Apatah lagi bertemu dengan kemurkaan dan kemarahan-Nya.

Namun, fenomena yang bertentangan dengan perkara ini semakin ketara. Mereka bukan sekadar tidak gementar hatinya malah berani melawan undang-undang Allah. Mereka lebih takut dan gementar dengan pemimpin negara dan undang-undangnya. Apabila disebutkan ugutan daripada pemimpin maka gerunlah jiwa mereka. Maksud firman Allah Taala: “Mereka takutkan manusia seperti takutkan Allah atau lebih dari itu”. Juga budaya takut kepada kuasa-kuasa halus seperti hantu dan khurafat serta kepercayaan tahyul. Semua ini menafikan pra syarat yang pertama.

Firman Allah bermaksud: "Apabila dibaca ayat-ayatNya maka bertambahlah keimanan mereka". Pra syarat yang seterusnya dalam menjana kerangka Mukmin sejati ialah pertambahan iman apabila dibacakan ayat-ayatNya yang terdiri daripada dalil dan bukti serta keterangan yang menggambarkan kebesaran dan kekuasan Allah. Apabila melihat dengan mata konkrit yang ada di dunia dan alam nyata yakinlah mereka bahawa kuasa pemerintahan adalah hak mutlak Rabbul Jalil. Manakala melalui mata abstrak berdasarkan hikmat yang berlaku di sebalik kejadian, bertambahlah keimanan mereka lantas membibitkan semangat mempertahankan Islam.

Juga apabila mendengar keterangan dengan telinga keimanan, baik dari al-Quran mahupun Ulama’ maka bertambah tebal keyakinan dan keimanan lalu mencetuskan satu anjakan ilmu dan amal. Walaupun demikian, masih ramai di kalangan kita yang mendahulukan perkara lain daripada al-Quran. Mereka lebih gemar menenangkan hati melalui lagu-lagu berentak Slow Rock, Sentimetal dan Heavy Metal, memilih Alam Perwira dan Raja Rimba sebagai muqarror tetap dan sebagainya yang semua ini sebenarnya menjauhkan daripada pra syarat kedua mukmin sejati.

Firman Allah jua yang bermaksud: “Dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakkal”. Pasrah yang membulat dan pergantungan yang tidak berbelah bagi juga merupakan salah satu daripada sejumlah pra syarat Mukmin sejati. Usaha yang dilakukan dengan penuh perancangan, taktik yang rapi belum tentu mendapat kejayaan yang diredhai. Manakala tawakkal yang dipersembahkan tanpa usaha pula belum ada jaminan akan mendapat kejayaan yang diimpi, kerana Allah menjadikan sesuatu adalah bersebab.

Imtihan yang kita hadapi baru-baru ini sebenarnya mencabar tawakkal kita. Kita akan kenal siapa yang yakin dengan janji Allah atau mereka yang bergantung dengan usaha semata-mata. Barulah dapat kita membezakan Muktazilah Moden dan Khawarij Moden serta mereka yang istiqamah bersama Ahli Sunnah. Begitu juga dengan program yang dirancang samada oleh PMRAM, BKAN atau DPM perlu digantung kepada Allah. Solat Hajat perlu dijadikan agenda primer sebelum bermulanya program dengan harapan mendapat keberkatan dan mencapai objektif yang digaris serta memberi kesan kepada ahli tidak semata-mata ( Mujarrad Tanfiz) tetapi (Abqariah Tanfiz ) yang diharapkan.

Firman-Nya yang bermaksud: "Mereka yang mendirikan solat". Pra syarat keempat adalah mendirikan solat. Ini dilihat berdasarkan hakikat solat itu sendiri yang menjadi bahan anti mungkar dan segala bentuk maksiat. Solat yang tidak sampai ke peringkat ini belum boleh digelar mendirikan solat tetapi cuma melakukan solat. Hatinya jauh daripada cahaya Allah, jiwanya keras, tidak mengingati Allah dan fikirannya tepu memikirkan kejadian Allah. Sehingga solatnya tidak dihiasi dengan khusu’ dan tawaddhu’.

Selain itu, budaya lewat solat dari awal waktu di kalangan kita perlu diarus dengan reformasi bersepadu terutamanya setelah tamatnya imtihan dan berkunjungnya Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia. Kerana sebiji bola tergadai takbir pertama bersama imam. Bahkan lebih buruk daripada itu, menjerumuskan kepada solat tidak berjamaah. Semua perkara ini adalah bertunjang kepada persoalan kefahaman terhadap intipati syariat Islam dan kejelasan matlamat Ubudiyyah.

Firman Allah lagi yang maksudnya: “Yang menafkahkan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka”. Di samping itu, mereka menginfakkan daripada apa yang direzekikan kepada mereka ke jalan Allah. Harta adalah milik Allah. Walaupun pada zahirnya berada di tangan kita. Maka sebab itulah daripada sejumlah harta kita, Allah telah tentukan Mustahik yang wajib diberikan kepada mereka melalui zakat dan sedekah. Ini guna menjamin survival ummah. Namun berlaku satu pertembungan dalam hal ini, apabila meluasnya sifat kikir dan kedekut di kalangan kita. Kita lebih rela mengeluarkan duit yang melibatkan kepentingan peribadi daripada kepentingan umum. Merasakan beban untuk membayar yuran, sedekah dan tabarra’ tetapi pada masa yang sama boros dalam perbelanjaan harian.

Krisis ekonomi yang juga merupakan tarbiah Rabbaniah yang melanda kita sekarang masih belum berjaya menyuntik tunas-tunas kesedaran kepada kita agar berjimat dan qanaah. Sebab itulah, budaya Malaysiaisme semakin berleluasa. Setiap kali cuti semester... balik Malaysia... dan begitulah seterusnya. Tuntasnya, ayuh!! marilah kita menderap langkah bersama semarak kefahaman dan kesatuan merebut gelaran Mukmin sejati yang dijanjikan melalui lima pra syarat qudus dari Ilahi. Jesteru, penyakit-penyakit yang boleh menggugat dan menggigit misi dan visi ini perlu dicegah dan dijauhi daripada menjakiti diri dan peribadi. Lantas Fajar Jumaat terus tanpil membawa hasrat murni yang menggunung tinggi agar menjadi suatu realiti bukan sekadar fantasi yang jauh dari Nur Rabbani.

www.pmram.org

Comments

0 comments to ":: PRASYARAT MUKMIN SEJATI ::"

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

MAKLUMAN

Blog rasmi Dewan Perwakilan Mahasiswa DPM [MAQAZ] Shoubra ini di bawah selenggaraan Unit Penerangan & Penerbitan (UPP). Ianya bertujuan untuk memudahkan pemberitahuan maklumat setiap aktiviti-aktiviti kepada ahli-ahli DPMMS. AJKT DPM [MAQAZ] Shoubra sangat berbesar hati dan mengalu-alukan sebarang teguran, cadangan dan kritikan yang membina dari sahabat-sahabat sekalian..Sila hantarkan cadangan anda ke e-mail @ YM rasmi DPM [MAQAZ] Shoubra : mymaqaz@yahoo.com

********************
Perhatian :Untuk mendapatkan paparan yang baik, sila gunakan Mozilla Firefox sebagai browser.
 

Hak Cipta Terpelihara Dewan Perwakilan Mahasiswa Maahad Qiraat Al-Azhar As-Syarif of Shoubra / Julang Thaqafah Bakti Dicurah