Apr 16, 2008

:: Semangat Kebangsaan : Satu Penilaian Semula ::

0 comments
Semenjak kejatuhan Khilafah Islam pada tahun 1924 umat Islam di seluruh tanah air Muslimin telah melihat berlakunya perubahan mendadak di dalam asas penyatuan Muslimin. Penyatuan Muslimin yang bertolak daripada aqidah yang satu yang melampaui segala batas-batas keturunan, warna kulit dan kedudukan telah ditinggalkan oleh umat Islam untuk digantikan oleh kesatuan yang berasaskan fahaman kebangsaan atau nasionalisme barat. Ia adalah satu penyelewengan bidaah yang wajib ditolak dan dibetulkan kembali oleh setiap Muslimin di zaman ini.

Kejahilan para ulama mengenai kesesatan fahaman kebangsaan telah mendorong umat Islam dari segala lapisan untuk menerima dan beramal dengan kesesatan ini tanpa mereka merasa takut kepada kemurkaan Allah s.w.t. dan balasan azabNya yang pedih. Nasionalisme, disebut di dalam Encyclopedia Britannicca atau Encyclopedia America :
• Loyalty and devotion to the state such that national interest are placed above individual or global interest.
• It originates from the assumption that nations are the primary focus of political allegiance.
• In the religious context, for example: the focus of allegiance would be a supranational group such as Christendom or Christian community.
• Modern phenomena.

Definisi ini menjelaskan bahawa nasionalisme adalah fenomena yang meletakkan kesetiaan dan ketaatan manusia kepada negara, sekira-kira meletakkan kepentingan negaranya di atas segala kepentingan yang lain samada ianya merupakan kepentingan peribadi ataupun kepentingan negara-negara lain. Fahaman ini adalah bertolak daripada andaian bahawa tumpuan utama bagi ikatan politik adalah terletak kepada bangsa. Fahaman ini adalah diasaskan oleh pemikir-pemikir politik seumpama Machiavelli, Rousseau dan Johan Gottfried. Ia adalah satu fahaman baru yang muncul di zaman moden akibat daripada pergolakan sejarah yang berlaku di Eropah iaitu pergolakan yang lahir daripada perjuangan masyarakat barat untuk membebaskan negara-negara mereka daripada tekanan pentadbiran dan kezaliman kuasa gereja.

Dengan kata lain nasionalisme adalah merupakan ikatan yang berbentuk sekular yang menggantikan semua bentuk ikatan yang lain khususnya ikatan keagamaan di kalangan manusia terutamanya di barat yang berasaskan ajaran gereja Kristian. Ia adalah merupakan satu daripada panduan cara hidup sekular yang dikemukakan di zaman ini sebagai menggantikan panduan daripada sumber agama. Pentakrifan ini menjelaskan bahawa nasionalisme itu pada hakikatnya adalah fahaman penyatuan manusia yang berasaskan mendahulukan kepentingan bangsa dan negara di atas segala kepentingan yang lain.

Percanggahan Nasionalisme Dengan Islam

Daripada kesedaran kita mengenai hakikat sebenar fahaman kebangsaan itu maka nyatalah kepada kita percanggahan yang tidak dapat dielakkan di antara ideologi nasionalisme dengan ajaran-ajaran yang terdapat di dalam syariat Islam. Ia adalah percanggahan-percanggahan yang menuntut setiap Muslimin agar menolak sepenuhnya fahaman tersebut daripada diamalkan di dalam sebuah masyarakat beragama Islam. Ia adalah percanggahan yang lahir akibat daripada tabiat Islam sebagai sebuah ajaran yang berjuang untuk menyatukan manusia di atas asas pengabdian kepada Allah Taala semata-mata dan di atas asas menegakkan keadilan Tuhan di dunia ini. Secara asasnya percanggahan tersebut bolehlah dibariskan kepada empat bahagian seperti berikut:

Pertama: Ia adalah fahaman yang membina penyatuan manusia di atas asas menerima pensyarikatan yang berlaku di kalangan manusia terhadap ketuhanan Allah Taala di alam ini. Ia dengan itu adalah penyatuan yang tidak menjadikan kepentingannya membimbing manusia kepada mentauhidkan Allah s.w.t. dan kepada membulatkan kehambaan kepada Allah s.w.t. semata-mata. Penyatuan yang meredhakan kekufuran seperti ini adalah bentuk penyatuan yang membawa penyesalan para pengamalnya di akhirat kelak. Firman Allah di dalam Surah Al-Ankabut ayat 25 berbunyi ; "Dan berkata Ibrahim: Sesungguhnya berhala-berhala yang kamu sembah selain Allah s.w.t. adalah untuk menciptakan perasaan kasih sayang di antara kamu dalam kehidupan dunia ini kemudian di hari kiamat sebahagian kamu mengingkari sebahagian (yang lain) dan sebahagian kamu melaknati sebahagian (yang lain), dan tempat kembalimu ialah neraka, dan sekali-kali tiada bagi kamu para penolong pun".

Kedua: Ia adalah fahaman yang membina kepentingan manusia di atas asas kepentingan di dunia semata-mata dengan melupakan kepentingan kesejahteraan manusia di akhirat. Kepentingan akhirat itu hanya dapat dicapai melalui ketaatan yang penuh kepada segala perintah Allah Taala yang telah disampaikan oleh RasulNya. Firman Allah Taala di dalam Surah Al-Israa’ ayat 18 dan 19 berbunyi ; "Barangsiapa menghendaki kehidupan sekarang (duniawi), maka Kami segerakan baginya di dunia itu apa yang Kami kehendaki bagi orang yang Kami kehendaki dan Kami tentukan baginya neraka jahanam; ia akan memasukinya dalam keadaan tercela dan terusir. Dan barangsiapa yang menghendaki kehidupan akhirat dan berusaha ke arah itu dengan bersungguh-sungguh sedang ia adalah mukmin, maka mereka itu adalah orang-orang yang usahanya dibalasi dengan baik".

Ketiga: Ia adalah fahaman penyatuan yang bercanggah dengan syariat Islam yang berhubung dengan hukum al-wala’. Yang dikehendaki dengan hukum al-wala’ ialah ajaran Islam yang melarang Muslimin daripada memberikan hak persahabatan, perlindungan, kepimpinan, kasih sayang dan pertolongan kepada golongan kuffar dan musyrikin dalam perkara yang menyalahi ketaatan kepada Allah Taala atau di dalam perkara yang menyalahi hak persaudaraan sesama Muslimin.

Di dalam negara yang mengamalkan nasionalisme sekular pada hari ini kuasa yang diberikan oleh perlembagaan negara kepada Muslimin adalah kuasa yang tidak melibatkan kebebasan mereka melaksanakan hukum Allah s.w.t. atau dengan kata lain ia adalah kuasa yang tidak menafikan kemestian orang-orang Islam mentaati orang-orang kafir di dalam hukum dan peraturan ciptaan mereka. Oleh itu persoalan para khalifah Islam yang terdahulu melantik dan memberi ruang kepada orang-orang kafir menjawat beberapa jawatan negara tidaklah boleh disamakan dengan corak pentadbiran negara sekular pada hari ini. Pemberian jawatan kepada golongan kafir zimmi pada zaman itu adalah berlaku di dalam suasana terlaksanya hukum Allah Taala secara sempurna dan megah dan tidak pula membawa kerugian kepada umat Islam.

Seterusnya perlulah diingatkan mengenai kesesatan penulis tersebut yang cuba meletakkan persoalan melantik orang-orang kafir di tanah air pada hari ini sebagai termasuk di dalam rukhsah yang dibenarkan oleh syariat Islam. Perlulah difahami bahawa rukhsah di dalam Islam adalah digantungkan di dalam perkara ketaatan kepada Allah s.w.t. semata-mata. Ia sama sekali tidak dibenarkan dalam perkara maksiat dan mungkar seperti rukhsah yang difahami oleh penulis buku tersebut kerana rukhsah seperti itu adalah rukhsah yang membuka jalan untuk melakukan perkara yang amat mungkar iaitu menolak hukum Allah Taala yang wajib dilaksanakan di dalam negara yang merupakan syarat kerjasama di antara orang-orang kafir dengan orang-orang Islam yang diletakkan oleh penjajah.

Menolak hukum Allah dan menggantikannya dengan hukum ciptaan manusia adalah perbuatan syirik yang mengeluarkan seseorang daripada Islam, firman Allah Taala di dalam Surah As-Syura ayat 21 berbunyi: "Apakah mereke mempunyai sembahan-sembahan selain Allah yang mensyariatkan untuk mereka agama yang tidak diizinkan Allah Taala".

Adapun tindakan 'sejarah' seperti yang dilakukan oleh kerajaan Terengganu yang membayar ufti kepada kerajaan Siam itu dari sudut hukum syaraknya bukanlah termasuk di dalam perkara taqiyyah tetapi ia adalah termasuk di dalam persoalan siasah syari’yyah . Perlulah difahami dengan baik dan perlu dibezakan kedua perkara ini dengan jelas supaya tidak dipermainkan dan seumpamanya daripada penyokong-penyokong fahaman sekular di tanah air.

Keempat: Ia adalah fahaman yang memusuhi usaha menegakkan kembali Khilafah Islamiyyah di zaman ini sebagai sebuah ikatan politik umat Islam yang berasaskan aqidah dan syariat Islam. Kewujudan sebuah negara yang seperti ini adalah bercanggah dengan fahaman nasionalisme sekular. Perlulah difahami bahawa dari sudut sejarahnya gerakan fahaman nasionalisme di barat adalah bertujuan untuk menolak pemerintahan gereja di benua Eropah dan fahaman nasionalisme ini juga kemudiannya telah digunakan oleh musuh-musuh Islam untuk melahirkan penentangan bangsa Arab terhadap Khilafah Uthmaniyyah yang membawa kepada kelemahan dan kejatuhannya. Sesungguhnya menegakkan khilafah adalah wajib menurut hukum Islam. Dalam hal ini Imam Nawawi rahimahullah telah berkata di dalam syarahnya kepada Sahih Muslim dengan ucapan yang bermaksud: “Para ulamak telah ijmak di atas kewajipan muslimin melantik khalifah .”

Mengenai tugas khalifah itu pula antaranya adalah sebagaimana yang disebutkan oleh Ibnu Hazmin di dalam kitab Muhalla. Beliau berkata: “Hanya sanya Imam itu dilantik adalah untuk menegakkan sembahyang di kalangan manusia, memungut sedekah-sedekah mereka, melaksanakan hukum hudud mereka dan melaksanakan hukum di kalangan mereka dan berjihad melawan musuh mereka .”


Menolak Syubhat Hakikat Asobiyyah

Bagi melengkapkan perbincangan risalah ini dan bagi menambahkan faedahnya maka perlulah diberikan penjelasan mengenai hakikat asobiyyah dan hukumnya di dalam Islam. Keperluan ini timbul sebagai menolak syubahat yang telah dikemukakan oleh para pendokong fahaman nasionalisme sekular di zaman ini terhadap pengertian asobiyyah. Mereka pertamanya telah menafikan nasionalisme sebagai tergolong di dalam asobiyyah yang dimaksudkan di dalam keterangan hadith. Keduanya mereka telah menyamakan nasionalisme yang dianuti oleh kerajaan yang memerintah sebagai fahaman nasionalisme yang pernah diperjuangkan oleh Dr. Burhanuddin Al-Helmi. Sabda Rasulullah salallahualaihi wasalam di dalam sebuah hadith sahih yang bermaksud: “Bukan dari kalangan kita orang yang menyeru ke arah asobiyyah, bukan dari kalangan kita orang yang berperang di atas dasar asobiyyah dan bukan dari kalangan kita orang yang mati di atas dasar asobiyyah.” (Riwayat Muslim)

Oleh itu perlulah difahami bahawa kekeliruan ini adalah bertolak daripada tumpuan yang berlebihan kepada pengertian asobiyyah dari sudut bahasa sebaliknya melupakan pengertiannya dari sudut istilah menurut keterangan Rasulullah salallahualaihi wasalam sendiri. Perlulah difahami bahawa mengutamakan pengertian lughawi dengan mengabaikan pemahamannya menurut keterangan Al-Quran dan Sunnah atau pemahaman para salafus soleh bagi sesuatu kalimah yang terdapat di dalam nas-nas syarak adalah merupakan cara perjalanan ahlul bidaah sepanjang zaman.

Di dalam pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah pemahaman sesuatu kalimah syarak mestilah dicari terlebih dahulu di dalam penjelasan Allah Taala. dan rasulNya dan para salafus soleh. Apabila telah tidak didapati barulah pegertiannya itu disandarkan kepada perbahasan lughawi. Di dalam hal ini pengertian asobiyyah telah diterangkan oleh Rasulullah salallahualaihi wasalam sendiri di dalam hadith Baginda yang bermaksud: “Asobiyyah itu ialah kamu menolong kaummu di atas dasar kezaliman”,

Di dalam pengertian yang diberikan oleh Rasulullah salallahualaihi wasalam ini, Baginda telah mengikat pengertian asobiyyah kepada membantu di atas dasar kezaliman. Penjelasan Rasulullah salallahualaihi wasalam yang amat bijaksana ini adalah menepati dengan tabiat kesungguhan Rasulullah. Baginda telah menjelaskan pengertian asobiyyah itu dengan cara yang mendidik manusia kepada perubahan di dalam hidupnya kerana Islam tidak memandang sebarang faedah kepada perkataan yang tidak membawa kepada taat dan amal. Jawapan baginda yang bersifat tarbawi dan sentiasa mempunyai aspek amali yang mendekatkan manusia kepada Allah Taala adalah menjadi didikan-Nya kepada baginda. Firman Allah di dalam Surah Al-Baqarah ayat 189, berbunyi ; "Mereka bertanya kepadamu tentang bulan sabit. Katakanlah: “Bulan sabit itu adalah tanda-tanda waktu bagi manusia dan (bagi ibadat) Haji.”

Manakala mengertikan asobiyyah dengan membahaskan maksud bahasanya adalah merupakan penyelewengan daripada pentakrifan Rasulullah salallahualaihi wasalam. dan mengandungi sejenis kegelapan dan kebodohan. Marilah kita bertanya adakah Rasulullah salallahualaihi wasalam hendak mengajarkan kepada umatnya dari hadith tersebut mengenai kabilah arab? Tidak, tetapi Rasulullah salallahualaihi wasalam ingin mengajarkan kepada umat baginda mengenai kewajipan meninggalkan kezaliman dan bahawa risalah Islam yang dibawa oleh baginda adalah memerangi kezaliman di dalam segala bentuknya, samada berbentuk fahaman, ajaran, syiar, budaya mahupun ikatan. Rasulullah salallahualaihi wasalam ingin membentuk umat Baginda sebagai umat yang bersih daripada kezaliman dan berjihad membebaskan manusia di dunia ini daripada kezaliman sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah di dalam Surah An-Nisaa’ ayat 75 yang berbunyi ; "Mengapa kamu tidak mahu berperang di jalan Allah s.w.t. dan (membela) orang-orang yang lemah baik laki-laki, wanita-wanita mahupun anak-anak yang semuanya berdoa: “Ya Tuhan kami, keluarkanlah kami dari negeri ini (Mekah) yang zalim penduduknya dan berilah kami pelindung dari sisi Engkau, dan berilah kami penolong dari sisi Engkau. Orang-orang yang beriman berperang di jalan Allah s.w.t. dan orang-orang yang kafir berperang di jalan thaghut, sebab itu perangilah kawan-kawan syaitan itu kerana sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah".

Apabila kita telah memahami bahawa asobiyyah itu ialah menolong bangsanya di atas dasar kezaliman maka pada ketika itu adalah jelas kepada kita bahawa fahaman nasionalisme sekular yang mempertahankan undang-undang sekular dan menolak undang-undang Allah Taala yang diliputi oleh keadilan dari segenap sudut dan sisinya itu adalah fahaman yang benar-benar tergolong di dalam maksud hadith tersebut. Bahkan perlulah dinyatakan bahawa kezaliman yang menjadi tabiat fahaman nasionalisme moden itu adalah beratus kali ganda daripada kezaliman yang berlaku di dalam kabilah-kabilah Arab.

Kezaliman kabilah-kabilah Arab itu adalah berlaku kerana terlalu melebihkan keturunan mereka di dalam segala perkara, manakala kezaliman nasionalisme moden adalah kerana mensyirikkan Allah Taala di dalam salah satu daripada sifat UluhiyyahNya. Firman Allah di dalam Surah Al-An’am ayat 115-116 yang berbunyi: "Telah sempurna kalimat Tuhanmu (Al-Quran) sebagai kalimat yang benar dan adil. Tidak ada yang dapat merubah kalimat-kalimatNya dan Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui".

Firman Allah lagi di dalam Surah Al-Maidah ayat 45: "Barangsiapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan oleh Allah s.w.t., maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim".

Firmah Allah Taala di dalam Surah Luqman ayat 13 yang berbunyi: "Sesungguhnya mempersekutukan (Allah s.w.t. ) adalah benar-benar kezaliman yang besar".

Seterusnya bagi menolak syubahat yang kedua kita perlulah memahami terlebih dahulu kaedah penting yang dipakai oleh para ulamak Islam bermaksud “Sesuatu hukum itu adalah digantungkan kepada kefahaman”. Memahami kaedah ini adalah amat perlu untuk melahirkan hukum yang tepat kepada mereka yang kelihatan mengamalkan sesuatu bidaah yang bercanggah dengan syariat Islam. Ia juga adalah amat penting untuk menjadi asas bagi mengetahui fahaman sebenar ulamak-ulamak Islam yang kelihatan memakai syiar-syiar golongan kuffar. Bertolak dari kaedah inilah Al-Allamah Syeikh Said Hawwa telah berkata: ”Bahawa setiap syiar yang memalingkan manusia dari mengambil jalan Allah sebagai maksudnya dan sembahannya adalah syirik. Dengan ingatan bahawa hukum ke atas seseorang dengan kekufuran atau syirik akbar adalah memerlukan kepada fatwa yang mendalam dari ahli fatwa kerana ihtimal bahawa di sana terdapatnya niat-niat yang tersembunyi yang mungkin membawa kepada peringanan hukum ke atas pengamalnya, seumpama ia menanggung lafaz-lafaz tersebut di dalam masalah ini di atas wajah yang menepati iktiqad yang betul.”

Penutup

Di dalam arus kebangkitan Islam di alaf baru, kita sememangnya memerlukan rijal dakwah yang berkarisma dan berhikmah dalam menyampaikan mesej dakwah. Kita amat dahagakan pandangan dan ilmu yang diketengahkan oleh seorang muslim yang berani menyatakan kebenaran dan amanah dengan ilmunya. Firman Allah Taala bermaksud, "Dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela". (al-Maidah:54, al Quranul Karim)

Sesungguhnya tidak ada jalan untuk melepaskan umat Islam di zaman ini seluruhnya daripada kesesatan beramal dengan fahaman nasionalisme selain daripada berusaha mendedahkan kepada umat Islam hakikat kesesatan fahaman kebangsaan atau nasionalisme itu sebagaimana juga segala ideologi kebendaan yang lain secara menyeluruh dan merata melalui kuliah-kuliah yang disampaikan di masjid-masjid, surau-surau, pondok-pondok dan segala saluran pengajian agama di tanah air. Risalah ini hanyalah suatu pengenalan yang amat ringkas tetapi sebagai amaran yang amat keras kepada Muslimin mengenai ancaman bahaya fahaman nasionalisme kepada kesejahteraan mereka di dunia dan di akhirat. Semoga Allah s.w.t. menjadikan risalah ini bermanfaat kepada penulis dan sekelian Muslimin. Berkata Imam Ahmad bin Hanbal:

إذا سكت العالم تقية والجاهل يجهل فمتى يتبين الحق

[ Apabila orang alim berdiam diri dan orang jahil terus dalam kejahilannya, maka bilakah akan nyatanya kebenaran ].

Comments

0 comments to ":: Semangat Kebangsaan : Satu Penilaian Semula ::"

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

MAKLUMAN

Blog rasmi Dewan Perwakilan Mahasiswa DPM [MAQAZ] Shoubra ini di bawah selenggaraan Unit Penerangan & Penerbitan (UPP). Ianya bertujuan untuk memudahkan pemberitahuan maklumat setiap aktiviti-aktiviti kepada ahli-ahli DPMMS. AJKT DPM [MAQAZ] Shoubra sangat berbesar hati dan mengalu-alukan sebarang teguran, cadangan dan kritikan yang membina dari sahabat-sahabat sekalian..Sila hantarkan cadangan anda ke e-mail @ YM rasmi DPM [MAQAZ] Shoubra : mymaqaz@yahoo.com

********************
Perhatian :Untuk mendapatkan paparan yang baik, sila gunakan Mozilla Firefox sebagai browser.
 

Hak Cipta Terpelihara Dewan Perwakilan Mahasiswa Maahad Qiraat Al-Azhar As-Syarif of Shoubra / Julang Thaqafah Bakti Dicurah