Pastinya Ramadhan yang baru sahaja berlalu, jika dilaksanakan dengan penuh penghayatan dan keikhlasan, akan meninggalkan kesan yang mendalam terhadap jiwa setiap individu selain menambahkan lagi ketaqwaan. Apa yang diharapkan ialah segala amalan yang telah dilakukan sepanjang bulan Ramadhan al-Mubarak itu tidak akan ditinggalkan dan dilupakan begitu sahaja apabila Ramadhan berlalu pergi. Antara amalan yang masih terus ditekuni selepas berlalunya bulan Ramadhan ialah puasa sunat.Puasa sunat masih terus dilakukan oleh para Salihin di bulan Syawal. Syawal merupakan bulan kemenangan kerana merayakan
kejayaan selepas berpuasa di bulan Ramadhan. Memandangkan kita berada dalam bulan Syawal, maka antara puasa sunat yang khusus dikerjakan di bulan ini ialah puasa enam.Bagi mereka yang mempunyai kebiasaan berpuasa enam, ia bukan suatu perkara baru. Oleh yang demikian, jangan ada yang terlepas tanpa mengerjakan puasa enam pada Syawal kali ini. Rebutlah peluang untuk melaksanakannya kerana ia datang sekali sahaja dalam setahun. Cara Mengerjakan Puasa Enam Puasa yang biasa disebut sebagai puasa enam ialah puasa yang sunat dikerjakan sebanyak enam hari dalam bulan Syawal.
Bagaimanapun para ulama berbeza pendapat mengenai cara mengerjakan puasa enam ini. Secara ringkas dijelaskan pendapat tersebut seperti berikut:
1. Sebahagian besar ulama berpendapat puasa enam dikerjakan secara berturut-turut selepas Hari Raya, iaitu bermula Hari Raya kedua dan seterusnya.
2. Sebahagian ulama muta'akhirin pula berpendapat puasa enam itu harus dikerjakan secara berselang-seli atau berasingan sepanjang bulan Syawal. Samada pada minggu pertama, kedua, ketiga atau minggu terakhir bulan Syawal. Bagaimanapun melakukannya berturut-turut selepas Hari Raya, iaitu bermula hari raya kedua, adalah lebih afdhal.
Fadhilat Puasa Sunat Enam
Fadhilat puasa enam itu telah disebutkan dalam hadis Rasulullah s.a.w daripada Abu Ayyub al-Ansari Radhiallahu 'anhu:
Maksudnya: "Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan, kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, (Puasanya di bulan Ramadhan dan enam hari di bulan Syawal itu) seperti puasa sepanjang tahun. "
(Hadith riwayat Muslim)
Mengerjakan puasa sunat sebanyak enam hari di bulan Syawal disamping mengerjakan puasa fardhu di bulan Ramadhan diibaratkan seperti berpuasa sepanjang tahun berdasarkan perkiraan bahawa setiap kebajikan itu dibalas dengan sepuluh kali ganda. Oleh itu disamakan berpuasa di bulan Ramadhan selama 29 atau 30 hari dengan 300 hari atau sepuluh bulan berpuasa dan puasa enam di bulan Syawal itu disamakan dengan 60 hari atau dua bulan berpuasa. Maka dengan itu genaplah ia setahun. Ini diperkuatkan
lagi dengan sebuah hadis daripada Tsauban Radhiallahu 'anhu bahawa Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: "Berpuasa sebulan (di bulan Ramadhan itu disamakan) dengan sepuluh bulan berpuasa dan berpuasa enam hari selepasnya (di bulan Syawal disamakan) dengan dua bulan berpuasa, maka yang sedemikian itu (jika dicampurkan menjadi) genap setahun. "
(Hadits riwayat ad-Darimi)
Apa yang dimaksudkan dengan persamaan di sini adalah dari segi kejayaan pahala, iaitu seseorang itu akan mendapat pahala seperti pahala yang didapatinya dari puasa fardhu. Jadi, pahala mengerjakan puasa bulan Ramadhan dan puasa enam adalah sama dengan pahala mengerjakan puasa fardhu sebanyak setahun. Orang-Orang Yang Dituntut Mengerjakan Puasa Enam Puasa sunat enam di bulan Syawal sunat dikerjakan bagi orang yang telah berpuasa penuh bulan Ramadhan. Begitu juga bagi orang yang tidak berpuasa penuh Ramadhan kerana sebab-sebab yang dikehendaki oleh syara '. Maksud sebab-sebab yang dikehendaki oleh syara 'ialah seperti orang perempuan yang haid atau nifas, orang sakit atau orang musafir.
Adapun orang yang meninggalkan puasa Ramadhan dengan sengaja tanpa keuzuran yang diharuskan oleh syara ', adalah haram baginya melakukan puasa enam, melainkan setelah dia selesai mengqadha puasa Ramadhan, kerana puasa Ramadhan yang ditinggalkan dengan sengaja wajib diqadha dengan segera.
Menyatukan Niat Puasa Qadha Dan Sunat Orang yang meninggalkan puasa Ramadhan, sama ada disebabkan oleh keuzuran yang dikehendaki oleh syara 'ataupun bukan, hukumnya dia tetap wajib mengqadha puasa yang ditinggalkan itu. Adapun menyegerakan mengqadha puasa adalah satu amalan dan langkah yang terpuji, malahan dituntut oleh agama. Sesiapa yang mahu menyegerakan qadha puasa tersebut di bulan Syawal, maka qadha itu boleh dilakukan bermula pada hari raya kedua (2hb Syawal).
Bagi orang yang meninggalkan puasa Ramadhan yang disebabkan oleh keuzuran yang dikehendaki oleh syara ', jika dia hendak melakukan qadha puasa Ramadhan itu pada bulan Syawal, ia boleh dilakukan sekaligus dengan puasa enam. Caranya ialah orang tersebut hendaklah berniat bagi kedua-duanya, iaitu puasa qadha dan puasa sunat tersebut dengan tujuan bagi mendapatkan ganjaran kedua-duanya sekali (iaitu ganjaran puasa qadha dan ganjaran puasa sunat). Puasa Sunat Dan Jemputan Makan Sesetengah individu merasakan, untuk mengqadha puasa Ramadhan apatah lagi untuk berpuasa sunat enam di bulan Syawal, dia bakal menghadapi beberapa rintangan. Ini kerana, seperti yang kita semua maklumi, khususnya pada musim Hari Raya Aidilfitri, bagi kita orang Brunei, amalan berziarah ke rumah saudara-mara dan sahabat-handai sudah menjadi adat dan kebiasaan. Di samping itu 'open house' ataupun rumah terbuka juga termasuk amalan yang biasa dilakukan di hari raya ini. Kadang-kadang, sebagai tetamu, sesetengah jemputan 'open house' ini sukar untuk ditolak sehingga menyebabkan seseorang yang sedang berpuasa itu terpaksa membuat pilihan, lebih-lebih lagi jika kunjungan itu hanya mampu dibuatnya pada siang hari.
Namun perlu juga diingat bahawa berpuasa itu bukanlah sebagai penghalang untuk tidak menghadiri jemputan. Ini kerana Ibnu Umar Radhiallahu 'anhuma misalnya, tetap memenuhi jemputan walaupun beliau sedang berpuasa. Begitu juga sebaliknya, jemputan jamuan itu bukan bermakna sebagai alasan untuk tidak berpuasa. Sebaiknya perkara ini difahami dengan lebih mendalam lagi. Dalil kepada peringatan ini adalah berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah Radhiallahu 'anhu, bahawa Rasulullah s.a.w
Maksudnya: "Jika dijemput seseorang daripada kamu ke (majlis) jamuan, maka penuhilah (jemputan itu). Jika dia sedang berpuasa, maka doakanlah tuan rumah itu, dan jika dia tidak
berpuasa, maka makanlah. "
(Hadith riwayat Imam Muslim)
Akan tetapi jika puasa yang dilakukan oleh seseorang yang menjadi tetamu itu adalah puasa sunat, maka dalam keadaan tertentu dia diberikan pilihan, sama ada untuk meneruskan puasanya ataupun Disunatkan baginya berbuka dan tidak meneruskan puasa sunat tersebut. Keadaannya adalah seperti berikut:
Keadaan yang pertama: Sekiranya tuan rumah yang menjemputnya itu merasa tersinggung jika tetamu tersebut tidak memakan makanan yang dihidangkannya, maka dalam keadaan ini adalah dibenarkan, bahkan adalah afdal bagi tetamu yang berpuasa sunat tadi untuk berbuka dan tidak meneruskan puasa sunatnya itu. Adapun alasan yang diberikan oleh ulama ialah untuk menjaga hati tuan rumah. Perkara ini boleh terjadi dalam jamuan atau jemputan yang berbentuk khusus, seperti tuan rumah hanya menjemput tetamu yang tertentu atau dia mempunyai hajat tertentu ketika menjemput tetamu-tetamu tadi. Adapun dalil yang mensabitkan perkara ini ialah satu daripada daripada Abu Said al-Khudri Radhiallahu 'anhu bahawa Rasulullah s.aw pernah menyuruh seorang yang sedang berpuasa sunat supaya berbuka dalam majlis jamuan makan, sabda Baginda:
Maksudnya: "Saudara kamu menjemput kamu dan bersusah payah untuk kamu."
Kemudian Baginda bersabda lagi kepadanya:
"Berbukalah dan berpuasalah pada hari lain sebagai gantinya jika kamu mahu. "
(Hadith riwayat al-Baihaqi)
Keadaan yang kedua: Sekiranya tuan rumah itu tidak tersinggung ataupun tidak keberatan jika tetamunya itu meneruskan puasanya, maka dalam hal ini adalah lebih afdhal dan lebih utama bagi tetamu itu untuk meneruskan sahaja puasa sunat tersebut. Perkara ini boleh berlaku dalam jamuan atau jemputan yang berbentuk umum. Akan tetapi hukumnya adalah berbeza jika puasa yang dikerjakan oleh seseorang itu merupakan puasa fardhu, misalnya puasa qadha Ramadhan atau puasa nazar, maka adalah haram baginya untuk berbuka. Cukuplah baginya sekadar menghadiri jemputan tersebut dan disunatkan juga ke atasnya untuk mendoakan keberkatan serta keampunan ke atas tuan rumah dan para hadirin sepertimana yang disebutkan dalam hadis di atas. Oleh yang demikian, peluang untuk mengerjakan puasa sunat enam hanya akan diperolehi sekali sahaja dalam setahun, iaitu dalam bulan Syawal. Usahakan agar jangan ia terlepas tanpa dikerjakan. Rintangan atau dugaan untuk melaksanakannya, seperti majlis jamuan makan, janganlah dijadikan alasan untuk meninggalkan sama sekali puasa sunat enam. Sebaiknya biarlah bijak mengurus masa kerana syara 'juga menghendaki puasa sunat enam itu dikerjakan secara berselang-seli sepanjang bulan Syawal.
Comments
0 comments to "PUASA SUNAT ENAM, JANGAN BIARKAN BERLALU"
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.