Sep 24, 2010

RENCANA KHAS: Syariah Compliant: Bukan di dinding, tetapi di hati

0 comments
Kerja beliau bukan mudah dan masanya pula panjang. Kerja selama 17 jam sehari adalah rutin biasa bagi beliau. ia bermula menjelang waktu Subuh di awal pagi hinggalah selesai solat Isya pada malam hari.

Itulah kerja imam Mohd Hazizul Mohd Ghorth(gambar), 27 tahun, imam utama surau Nurul Imam, hotel De Palma, Shah Alam. Hazizul bukan imam separuh masa, bukan juga imam sementara tetapi jawatan beliau adalah jawatan tetap hotel milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) ini.

"Apabila saya tamat belajar di Universiti Al Azhar, Shoubra, Kaherah dalam bidang Qiraat dan pulang ke tanah air, saya mula mencari pekerjaan. Saya sertai pelbagai jenis temuduga dan tidak pernah terfikir untuk bekerja di hotel ini. Saya pergi interview untuk mengajar dan juga jabatan agama. 

"Apabila ayah saya tanya nak jadi imam kat surau hotel, saya fikir ia sangat biasa, kerja imam surau? Namun kerana belum ada pekerjaan waktu itu, saya terima.

"Untuk dua bulan pertama, ia agak membosankan kerana kerja saya tertumpu kepada surau ini sahaja, sangat kecil bidangnya. Jaga kebersihan surau, azan, jadi imam dan seumpamanya.

"Namun selepas dua bulan, saya mula terasa keseronokannya apabila saya mula diberikan tugas-tugas lain termasuk berhubung terus dengan pelanggan."

Itulah yang diceritakan oleh Ustaz Mohd Hazizul ketika mula berbual dengan beliau di Hotel De Palma, Shah Alam baru-baru ini.  Anak muda kacak yang belum mendirikan rumahtangga yang mahu dipanggil sebagai Hazizul ini adalah imam utama surau ini. Beliau adalah imam sepenuh masa yang dilantik oleh hotel De Palma. 

Tidak sebagaimana hotel-hotel lain, hotel De Palma mula memperkenalkan konsep pematuhan syariah atau syariah compliant tahun 2008. Kini hotel ini sudah dua tahun dengan konsep ini. Dari ke arah pematuhan syariah, kini hotel ini bergerak setapak lagi ke hadapan dengan konsep pemantapan pematuhan syariah. Yang menjadi tunggak pelaksanaannya adalah imam sepenuh masa yang dilantik hotel ini untuk mengendalikan aktiviti pematuhan syariahnya. Ia bukan sekadar imam biasa tetapi imam yang mempunyai jawatan tetap dan tersenarai sebagai kakitangan sepenuh masa. 

"Saya yakin, walaupun dia bermula dengan jawatan imam di hotel ini, peluang dia untuk naik pangkat sehingga ke peringkat tertinggi pengurusan terbuka cerah sebagaimana kakitangan hotel yang lain," kata Puan Hanidah Shahril (gambar), Pengurus hotel De Palma Shah Alam kepada Siasah.

Hazizul mula bekerja dengan hotel ini tujuh bulan lalu. Jawatan beliau adalah satu yang baru bagi industri perhotelan kerana tiada jawatan imam di mana-mana hotel sebelum ini. Namun selepas De Palma memperkenalkan konsep pematuhan syariah kepada hotel-hotelnya, ia menjadi satu jawatan penting bagi hotel ini.

"Saya rasa, imam adalah petugas sokongan yang paling penting dalam mencapai cita-cita dan hasrat hotel ini untuk memenuhi syariah compliant," kata Puan Hanidah lagi.

Dengan memiliki ijazah dalam Qiraat dan belajar selama tiga tahun di Universiti Al Azhar, Hazizul mempunyai bekalan yang cukup dalam memenuhi keperluan hotel ini. 

"Saya bertugas 17 jam sehari di hotel ini. Bermula dengan mengimamkan solat Subuh pada pagi hari hinggalah solat Ishak pada malamnya," kata Hazizul.

Di samping bertugas sebagai imam, Hazizul juga kini dilantik sebagai Sekretariat kepada Panel Penasihat Syariah kumpulan Hotel De Palma.

Penal yang baru ditubuhkan tahun ini bertunjuan untuk memantapkan lagi amalan pematuhan syariah untuk hotel ini. Penal ini dianggotai oleh tiga tokoh yang berilmu tinggi dari luar iaitu  Ustaz Dr Redzuan Ahamd,  Ustaz Haji Alwi Parman, Mohd Taqiyuddin Che Hassan. Di samping mereka adalah Datuk Haji Mohd Ilyas Zainor Abidin (Pengurus Besar Kumpulan Hotel De Palma) manakala Setiausahanya adalah Haji Razwan Resat.

Melalui penal inilah, Hazizul menambahkan lagi sumbangannya untuk menjadikan hotel ini benar-benar mematuhi syariah compliant. Baru-baru ini beliau diserapkan ke dalam kakitangan pengurusan hotel. Ini bermakna, tugasnya bukan imam solat semata-mata bahkan kakitangan pengurusan hotel yang khusus kepada urusan agama hotel dalam memenuhi syariah compliant.

"Untuk melaksanakan semua ini bukan senang," kata Puan Hanidah mengimbau kembali permulaan hotel melaksanakan syariah compliant. "Pernah kami buat kek, semua kek kami tak naik kerana bahan-bahannya yang benar-benar halal kami tak jumpa," cerita Hanidah yang sudah 16 tahun bekerja dengan De Palma.

Sekarang ini, apabila dikatakan apakah yang halal dan apakah yang haram dalam makanan, beliau akan dapat memahaminya dengan baik dengan pelbagai pengalaman yang dilaluinya itu.

Kini menjadi tugas rasmi Hazizul selaku salah seorang imam di hotel ini untuk mempastikan semua syarat pematuhan syariah dipenuhi. 

"Yang paling utama perlu dilakukan adalah mengisi kakitangan hotel ini sendiri dengan syariah compliant. Bukanlah pematuhan syariah itu hanya memasang papan-papan iklan di dinding hotel ini tetapi memasukkan syariah compliant itu di dalam hati-hati petugas hotel ini," kata Hazizul penuh semangat.

Kalau dahulu, beliau merasakan menjadi imam kepada sebuah surau di hotel ini sangat kecil sahaja tetapi selepas enam bulan bertugas di sini, beliau melihat dunia penghotelan adalah kerjaya beliau dan berazam untuk kekal dalam industri ini sampai bila-bila.

"Saya yakin, ini adalah kerja kekal saya dan saya yakin masa depan yang gemilang di sini," kata Hazizul. Ia sesuai dengan pandangan pengurus beliau sendiri, Puan Hanidah, boleh jadi satu masa nanti Hazizul adalah pengurus kanan hotel yang mempunyai 103 bilik ini dan empat rangkaian hotel di seluruh Selangor.

Fokus utama De Palma Shah Alam  adalah pengurusan acara. Atas dasar itulah, hotel ini mempunyai sebuah ballroom yang cukup besar(gambar kiri). Pelbagai jenis majlis keraian diadakan di hotel ini.

Untuk sepanjang bulan puasa lalu, pakej berbuka puasa menjadi tumpuan utama. Setiap hari, lebih 850 orang akan berbuka di sini. Ketika kami berkunjung ke hotel ini Ahad lepas, empat kumpulan nasyid membuat persembahan untuk para tetamunya. 

Dengan hanya RM45 satu kepala, para pengunjungnya boleh memakan pelbagai jenis makanan. Kambing bakar adalah paling diminati di sini. Mereka terpaksa berbaris panjang untuk mendapatkannya.

Yang paling mengembirakan pengurusnya, Hanidah adalah sambutan dan sokongan yang sangat menggalakkan dari masyarakat terhadap hotel ini selepas konsep syariah compliant diperkenalkan.

"Pakej majlis perkahwinan kami sudah penuh sehingga hujung tahun ini bahkan untuk tahun depan. Bayangkan untuk Oktober ini sahaja, kami ada sembilan pakej perkahwinan," cerita Hanidah bangga.

Pendek kata, melaksanakan kehendak Islam bukan menyempitkan rezeki bahkan membuka luas rezeki untuk hotel ini termasuk untuk pekerjanya apatah lagi untuk pemiliknya iaitu PKNS.


Petikan: Harakahdaily.net

Comments

0 comments to "RENCANA KHAS: Syariah Compliant: Bukan di dinding, tetapi di hati"

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

MAKLUMAN

Blog rasmi Dewan Perwakilan Mahasiswa DPM [MAQAZ] Shoubra ini di bawah selenggaraan Unit Penerangan & Penerbitan (UPP). Ianya bertujuan untuk memudahkan pemberitahuan maklumat setiap aktiviti-aktiviti kepada ahli-ahli DPMMS. AJKT DPM [MAQAZ] Shoubra sangat berbesar hati dan mengalu-alukan sebarang teguran, cadangan dan kritikan yang membina dari sahabat-sahabat sekalian..Sila hantarkan cadangan anda ke e-mail @ YM rasmi DPM [MAQAZ] Shoubra : mymaqaz@yahoo.com

********************
Perhatian :Untuk mendapatkan paparan yang baik, sila gunakan Mozilla Firefox sebagai browser.
 

Hak Cipta Terpelihara Dewan Perwakilan Mahasiswa Maahad Qiraat Al-Azhar As-Syarif of Shoubra / Julang Thaqafah Bakti Dicurah