Assalamualaikum w.b.t.
Segala pujian serta syukur sama-sama kita panjatkan kepada Allah s.w.t selaku Tuhan pemilik sekalian alam pawana yang terhampar luas buat hamba-hambaNya guna menjalankan tanggungjawab yang telah sedia ditaklifkan sejak azali kelahiran, juga selawat dan salam tidak lupa dikirimkan pada kekasihNya Nabi Muhammad s.a.w. Moga kita semua termasuk dikalangan insan yang tidak terlepas daripada syafa'atnya kelak. InsyaAllah.
Setiap tahun masalah yang selalu timbul dikalangan mahasiswa khususnya di bumi Shoubra ialah masalah rumah. Ada yang merungut rumah terlalu uzur, rumah kecil, rumah jauh daripada Ma'ahad dan sebagainya. Untuk pengetahuan sahabat-sahabat, Shoubra ialah sebuah bandar lama yang mana rata-rata infrastukturnya berusia hampir 50 tahun. Kita dipihak DPM [MAQAZ] telah mencuba sedaya upaya untuk mencari rumah yang selesa untuk sahabat-sahabat diami dan kita cuba seimbangkan harga sewaan dengan keadaan rumah sebelum kita membuat perjanjian sewa rumah. Apa yang kita harapkan ialah sahabat-sahabat dapat memahami keadaan semasa dan menerima dengan seadanya.
Pada tahun ini Kaherah telah dibanjiri oleh mahasiswa dan mahasiswi baru setelah pihak Al-Azhar As-Syarif membuat keputusan untuk tidak mentauzikkan mereka ke muhafazah. Jumlah keseluruhan mereka ialah hampir 800 orang. Permintaan rumah terlalu tinggi menyebabkan harga sewaan rumah juga naik secara mendadak.
Oleh itu kita yang berada di bumi Shoubra ini patut berasa bersyukur dan berpada dengan apa yang ada, dan sama-samalah kita berdoa mudah-mudahan dijauhkan daripada perkara-perkara yang tidak diingini.
Kita sekarang ini berada di dalam fatrah permulaan musim sejuk, oleh itu sukalah saya ingin menyarankan pada sahabat-sahabat sekalian agar menitik beratkan hal kesihatan, khususnya pada mahasiswa-mahasiswa baru. Pastikan setelah berwudhu' atau mandi, badan terus dilap, sentiasa memakai baju sejuk ketika keluar rumah serta kurangkan pengambilan minuman yang sejuk. Kesihatan adalah satu elemen penting yang perlu dijaga oleh seorang yang bergelar pelajar. Tanpa tubuh badan yang sihat, proses pembelajaran akan terganggu dek kerana lemahnya badan untuk ke kelas, mahu menelaah pelajaran pun sukar kerana pening dan sebagainya.
Waallahua'lam.
Aubidullah Fahim Ibrahim
Ketua Unit Penerangan & Penerbitan
DPM [MAQAZ] Shoubra 2010/2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Comments
0 comments to "HARAP AHLI BERSABAR."
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.