Oct 8, 2010

JENDELA TAAKHI

0 comments

WILAYAH PERSEKUTUAN

KAHERAH 7 Okt. - Nasib para pelajar Wilayah Persekutuan di Mesir kini semakin mendapat perhatian apabila bangunan Asrama Rumah Wilayah Persekutuan (ARWP) di Bandar Nasr di sini, dirasmikan semalam.

Perasmian ARWP yang dibina oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dengan kos kira-kira RM11 juta itu disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom di Dewan Sri Putra ARWP.

Bangunan lapan tingkat mengandungi 10 unit rumah pelajar itu mampu menampung 105 penghuni iaitu 63 katil untuk wanita dan 42 katil untuk lelaki pada sesuatu masa. Ia memulakan operasinya pada 10 Mac 2009.

MAIWP telah memainkan peranan yang cukup hebat dalam mengagihkan wang zakat termasuk dalam soal pendidikan.

Pada majlis yang sama, Jamil Khir turut menyampaikan cek bantuan kepada 343 pelajar dalam bentuk biasiswa dan bantuan am pelajaran.

Ia meliputi Bantuan Am Pelajaran kepada 256 pelajar Wilayah Persekutuan di Mesir sebanyak RM3.25 juta termasuk bantuan yuran pengajian kepada 101 pelajar perubatan dan pergigian.

Sebanyak RM3.58 juta lagi adalah biasiswa Insentif Khas Pelajar Cemerlang kepada 97 pelajar dan bantuan aktiviti kepada Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan sebanyak RM16,000.

Setakat September lalu, terdapat 444 pelajar Wilayah Persekutuan di Mesir yang mana majoritinya iaitu 159 orang berada di Kaherah.

Sementara itu, dalam keghairahan menghantar anak-anak melanjutkan pelajaran terutama dalam bidang perubatan di Mesir, Jamil Khir menasihatkan ibu bapa tidak terpengaruh dengan janji-janji manis yang disogokkan kepada mereka.

"Saya berharap ibu bapa tidak terpengaruh dengan sogokan kononnya akan dapat biasiswa MAIWP pada tahun kedua pengajian dengan syarat mendapat kelulusan jayyid jiddan (amat baik) pada tahun kedua pengajian.

"MAIWP telah luluskan biasiswa untuk 17 pelajar perubatan di sini sebab itu yang kita mampu," jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Jamil memberitahu, MAIWP melalui Yayasan Taqwa turut membiayai 14 pelajar dalam bidang muamalat dengan kerjasama Amanah Raya Berhad (ARB).

Tajaan itu adalah mulai tahun 2009 sehingga tahun 2014 melibatkan belanja keseluruhannya sebanyak RM700,000.

Hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abd. Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Anan C. Mohamed dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Che Mat Che Ali.

Sempena majlis itu juga, Jamil Khir turut beramah mesra dengan lebih 400 pelajar pada majlis Semarak Syawal dan berdialog selama sejam dengan mereka.

Comments

0 comments to "JENDELA TAAKHI"

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

MAKLUMAN

Blog rasmi Dewan Perwakilan Mahasiswa DPM [MAQAZ] Shoubra ini di bawah selenggaraan Unit Penerangan & Penerbitan (UPP). Ianya bertujuan untuk memudahkan pemberitahuan maklumat setiap aktiviti-aktiviti kepada ahli-ahli DPMMS. AJKT DPM [MAQAZ] Shoubra sangat berbesar hati dan mengalu-alukan sebarang teguran, cadangan dan kritikan yang membina dari sahabat-sahabat sekalian..Sila hantarkan cadangan anda ke e-mail @ YM rasmi DPM [MAQAZ] Shoubra : mymaqaz@yahoo.com

********************
Perhatian :Untuk mendapatkan paparan yang baik, sila gunakan Mozilla Firefox sebagai browser.
 

Hak Cipta Terpelihara Dewan Perwakilan Mahasiswa Maahad Qiraat Al-Azhar As-Syarif of Shoubra / Julang Thaqafah Bakti Dicurah