Nov 30, 2010

PENGENALAN QIRAAT SYAZAH (BAHAGIAN KEDUA)

0 comments
 
 
HURAIAN DHOWABIDH QIRAAT MUTAWATIRAH

Pada bahagian ini penulis akan memperincikan setiap dhowabidh (rukun-rukun) berdasarkan keutamaannya, iaitu susunan terbalik bait Thoyyibah.

Namun sebelum itu sukalah saya ingatkan para pembaca sekalian bahawa Imam Ibnu al-Jazari telah menjadikan dua rukun iaitu rasm dan bahasa arab sebagai sebahagian daripada ta'rif.

Hal ini tidak disebut oleh ulama' selain beliau. Malahan sesetengah ulama' berpendapat kedua-dua rukun tersebut sudah terkandung dalam rukun pertama iaitu Tawatur Sanad. Cuma yang khilaf ialah adakah perlu disebutkan atau tidak.

Pendapat yang mengatakan tidak perlu disebutkan kembali dua rukun tersebut lebih aula (didahulukan). Ini kerana asal ketetapan bagi al-Quran ialah tawatur. Justeru, dua ketetapan tadi ialah sokongan kepada yang asal.
Bagi menguatkan lagi hujjah ini, al-Quran itu sendiri telah diturunkan dalam bahasa Arab. Maka mana mungkin wujudnya bacaan (qiraat) selain daripada bahasa tersebut.

Firman Allah s.w.t. dalam surah Yusuf, ayat 2:


  إنا أنزلناه قرآنا عربيا

 Maksudnya: "Sesungguhnya kami telah menurunkan al-Quran itu dalam bahasa Arab."

Di samping itu, al-Quran ini telah ditulis dengan rasm (tulisan) yang disepakati (ijma') semua sahabat r.a., maka tiada ruang penerimaan bagi bacaan atau tulisan lain sekiranya bertentangan dengan apa yang telah disepakati.


Perbincangan PERTAMA : ANTARA TAWATUR DAN SAHIH PADA SANAD

Seperti sedia maklum, periwayatan qiraat tidak memadai dengan seorang perawi ataupun dua orang. Bahkan mesti diriwayatkan oleh jumhur qura pada setiap generasi dan diyakini tahap periwayatannya. Hal ini tidak terhasil melainkan dengan tawatur (sejumlah besar perawi yang pada jumlah tersebut mustahil seandainya mereka mampu bersepakat untuk menipu).

Bagaimana pula jika perawi tersebut ialah seorang yang thiqah dan adil? Bahkan qiraat yang diriwayatkan juga tidak menyalahi rasm serta menyepakati kaedah bahasa arab?

Hal ini juga kembali kepada status qiraat yang diriwayatkan. Jika perawi tersebut berseorangan dalam meriwayatkan sesebuah qiraat, maka ulama telah bersepakat untuk menolak qiraat tersebut walaupun menyepakati rasm dan bahasa arab.

Pendirian ini bukanlah baru di sisi ulama bahkan telah disepakati sejak kurun awal (daripada sahabat-sahabat r.a.) sehinggalah kepada era sekarang.

Adakah sudah memadai jika sesebuah qiraat itu sahih sanad sahaja atau mesti tawatur? Bagaimana pula dengan pendapat Imam Makki bin Abi Talib dan Imam Ibnu al-Jazari yang mengatakan bahawa memadai dengan sahih sanad sahaja?

Pendapat yang mengatakan hanya memadai dengan sahih sanad sahaja pada hakikatnya tidak terperinci dan ditolak. Di sana terdapat terlalu banyak kalam ulama berkenaan permasalahan ini. Penulis tidak berhasrat untuk mendatangkan pendapat-pendapat tersebut, tetapi lebih berminat untuk menjelaskan beberapa faktor yang menyumbang kepada berlakunya perselisihan tentang tawatur.


FAKTOR BERLAKUNYA KHILAF DALAM SOAL TAWATUR

Berkata Sheikh Tahir al-Jazairi berkenaan khilaf di atas. Antaranya:

1- Samar tentang erti tawatur dan khilaf pada penentuan kadar bilangan tawatur.

2- Sesetengah ulama menyangka bahawa khabar ahad (seorang individu) tidak mendatangkan faedah. Bagi golongan ini, hanya khabar tawatur sahaja berfaedah. Sedangkan pada hakikatnya, khabar ahad juga kadangkala berfaedah sekiranya terdapat sokongan ataupun qarinah.

3- Lupa berkenaan status qiraat yang tidak tawatur pada sebuah kaum tetapi tawatur bagi kaum yang lain.


Wujud juga sesetengah pihak yang membeza-bezakan antara al-Quran dan Qiraat. Hakikatnya, tiada perbezaan antara kedua-duanya kerana Qiraat ialah sebahagian daripada al-Quran (علاقة الجزء بالكل).


PENDAPAT ULAMA YANG TIDAK BERSETUJU DENGAN SAHIH SANAD SAHAJA

Banyak ulama tidak bersetuju dengan hanya memadai dengan sahih sanad sahaja untuk thabitnya sesebuah qiraat. Antaranya ialah Imam an-Nuwairi, Imam al-Ja'bari, dan Imam as-Sofaqusi.

Berkata Imam as-Sofaqusi (pengarang kitab صاحب غيث النفع) :
"Pendapat tersebut direka dan tidak perlu diambil peduli kerana boleh membawa kepada persamaan antara perkara bukan al-Quran dengan al-Quran."

Beliau kemudiannya menambah :
"Mazhab ahli usul, fuqahaa empat mazhab, ahli hadis, dan qurra bersepakat mengatakan bahawa tawatur ialah salah satu syarat thabitnya (tetap dan sah) qiraat, bukan hanya dengan sahih sanad."

Imam Ibn al-Jazari sendiri telah berkata dalam kitabnya منجد المقرئين :
"Pendapat yang mengatakan bahawa qiraat mutawatirah itu tiada had padanya adalah tidak sahih jika diukur kepada zaman kita sekarang. Hal demikian itu kerana sudah tiada lagi qiraat yang mutawatir selain yang sepuluh ini, tetapi masih boleh diterima jika disandarkan kepada zaman silam."

Imam Ibn al-Jazari juga telah memperincikan (memperbetulkan) maksud matan beliau berkenaan sahih sanad dalam kitab (منجد المقرئين) iaitu :
"Setiap qiraat yang menepati kaedah bahasa Arab secara mutlak, menyepakati salah satu bentuk Rasm 'Uthmani, dan tawatur sanadnya maka itulah qiraat mutawatirah yang muktamad."


Dengan pendapat terakhir ini, tertolaklah semua qiraat (yang sahih sanadnya) yang terdapat dalam kitab-kitab hadis seperti Sahih Bukhari dan Muslim. Qiraat tersebut tidak dibaca lantaran telah hilang padanya sifat tawatur.


AL-QURAN TIDAK THABIT (ثابت) MELAINKAN DENGAN TAWATUR

Nas inilah yang telah kita terima daripada ulama-ulama Islam sejak turun-temurun. Ini ialah dalil yang jelas lagi bersuluh dan tiada keraguan padanya. Sesungguhnya pendapat yang mengatakan memadai dengan sahih sanad ialah pendapat yang bersalahan dengan Ijma' ulama sama ada dahulu mahupun terkemudian.

Justeru, Qiraat yang tawatur hanyalah qiraat sepuluh. Ada juga yang berpendapat qiraat tujuh tetapi pendapat yang menyatakan qiraat sepuluh lebih tepat dan didahulukan.

Insya-Allah, sekiranya diberi keizinan oleh Allah s.w.t., penulis akan mengupas berkenaan permasalahan qiraat sepuluh, qiraat tujuh, dan tiga qiraat pelengkap kepada tujuh. Juga berkenaan semua qiraat selain sepuluh dan tujuh yang dianggap Syaz walaupun menyepakati Rasm 'Uthmani, tidak menyalahi bahasa Arab,dan diriwayatkan oleh perawi yang thiqah.

Perlu diingatkan bahawa segala qiraat selain yang sepuluh (dan tujuh) ini dikira sebagai Syaz dan tidak dinamakan sebahagian daripada al-Quran. Bahkan haram bagi individu muslim untuk membacanya dalam solat dan haram juga untuk ber'iktiqad (memegang fahaman atau mempercayai) bahawa qiraat tersebut sebahagian daripada al-Quran. Begitulah pandangan jumhur ulama.


Perbincangan KEDUA : STATUS QIRAAT SELAIN SEPULUH

Rentetan daripada huraian sebelum ini, dapatlah disimpulkan bahawa qiraat seperti yang diriwayatkan secara solo oleh empat orang imam iaitu ابن محيصن، يحي اليزيدي، الحسن البصري، الأعمش atau imam-imam lain selain daripada Imam Sepuluh adalah Syaz dan ditolak.


Qiraat tersebut juga tidak boleh dinamakan sebagai al-Quran. Bahkan HARAM dibaca di khalayak umum secara mutlak. Demikianlah Ijmak ulama seperti Imam Ibn al-Jazari dan Imam Makki bin Abi Talib dalam hal berkaitan Qiraat Syazzah.

Antara sebab terjatuhnya hukum syaz ke atas qiraat selain sepuluh ialah tiada tawatur pada periwayatan dan menyalahi garis panduan yang telah semua maklum.

Bagi jumhur ulama, aspek yang diberi perhatian dalam penilaian ialah tawatur sanad. Manakala bagi dua imam di atas, masing-masing telah menambah dalam aspek penilaian mereka dua perkara iaitu tidak menyalahi Rasm 'Uthmani dan menyepakati kaedah bahasa Arab.

Sesungguhnya tidaklah melampau jika kita juga menghukum qiraat-qiraat selain Qiraat Sepuluh sebagai syazzah. Hal demikian itu adalah kerana ulama-ulama terdahulu telah lama menjatuhkan hukum tersebut terhadap qiraat-qiraat tadi. Ini boleh dirujuk kepada kesan-kesan yang ditinggalkan kepada kita.

Sebagai contoh, Imam Ibn Mujahid telah berkata tentang qiraat ابن محيصن : "Adalah bagi Ibnu Muhaisin itu ruang yang bebas untuk memilih qiraat dalam sempadan tidak menyalahi kaedah bahasa Arab namun beliau telah melangkaui sempadan tersebut. Di samping itu, beliau juga telah melanggar ijmak ahli negerinya sendiri. Maka, umat Islam pada ketika itu tidak lagi menuntut dengan beliau bahkan bersepakat untuk pergi menuntut qiraat Imam Ibn Kathir yang sezaman dengannya."

Kenapa? Kerana qiraat Imam Ibn Kathir tidak lari daripada athar (kesan peninggalan) Nabi s.a.w.. Sebagaimana maklum, الأثر adalah antara syarat utama dalam periwayatan al-Quran dan qiraat.

Tidak lama selepas itu, Imam Ibn Muhaisin telah kembali ke pangkal jalan dengan memohon maaf serta bertaubat daripada kesalahan yang telah dilakukan. Peristiwa ini telah direkodkan di hadapan para ulama. Antara yang hadir ialah Imam Ibn Mujahid sendiri. Hal yang sama juga berlaku kepada tiga lagi imam yang disebutkan di atas.


CONTOH QIRAAT SYAZZAH

* واتبعوا ما تتلوا الشياطُون - al-Baqarah: 102
* لن يضِرُّوكم - Ali Imran: 111
* فمُسْتِقِر - فمُسْتُقِر - al-An'am: 98
* كهُيعص - Maryam: 1


Demikianlah beberapa contoh Qiraat Syazzah. Insya-Allah, perbicangan ini akan disambung pada entri akan datang. Wassalam.


Disediakan oleh:
Wan Mohd Al Hafiz bin Wan Mustapa
Felo MANHAL (Sekretariat al-Quran & Qiraat)

Comments

0 comments to "PENGENALAN QIRAAT SYAZAH (BAHAGIAN KEDUA)"

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

MAKLUMAN

Blog rasmi Dewan Perwakilan Mahasiswa DPM [MAQAZ] Shoubra ini di bawah selenggaraan Unit Penerangan & Penerbitan (UPP). Ianya bertujuan untuk memudahkan pemberitahuan maklumat setiap aktiviti-aktiviti kepada ahli-ahli DPMMS. AJKT DPM [MAQAZ] Shoubra sangat berbesar hati dan mengalu-alukan sebarang teguran, cadangan dan kritikan yang membina dari sahabat-sahabat sekalian..Sila hantarkan cadangan anda ke e-mail @ YM rasmi DPM [MAQAZ] Shoubra : mymaqaz@yahoo.com

********************
Perhatian :Untuk mendapatkan paparan yang baik, sila gunakan Mozilla Firefox sebagai browser.
 

Hak Cipta Terpelihara Dewan Perwakilan Mahasiswa Maahad Qiraat Al-Azhar As-Syarif of Shoubra / Julang Thaqafah Bakti Dicurah