Nov 26, 2010

Pengenalan Qiraat Syazzah (Bahagian Pertama)

0 comments
بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.


PERKEMBANGAN ILMU QIRAAT

Sebagaimana maklum, semenjak dahulu lagi ummat Islam telah sepakat bahawa tidak akan dibaca walau satu hurufpun suatu bacaan (qiraat) itu, dan tidak akan dihukum sebagai sebahagian daripada al-Quran, bahkan tidak akan ditulis di dalam mushaf sehinggalah telah dipastikan ke'tawatur'annya dari satu generasi ke satu generasi.

Apakah bacaan yang mencapai taraf tawatur?

Yang dimaksudkan ialah suatu bacaan yang diriwayatkan oleh sebilangan manusia sehinggakan mustahil jika bilangan tersebut boleh bersepakat untuk berdusta.

Di sana adanya khilaf dari segi bilangan manusia yang boleh dianggap tawatur. Namun, memadai dahulu ditakrifkan setakat ini.

Timbul pula persoalan. Bagaimana diketahui para sahabat r.a. mencecah bilangan tawatur?

Salah satu dalilnya adalah daripada kitab sunnah yang menyebut kepada kita nama-nama sahabat r.a. yang menghafal al-Quran sama ada Muhajirin, Ansar, dan lain-lain.

Antara Muhajirin yang menghafal al-Quran ialah Abu Bakr as-Siddiq, Umar ibn al-Khaatab, Uthman ibn 'Affan, Ali ibn Abi Talib, Sa'ad ibn Abi Waqas, Thalhah ibn 'Ubaidillah, Abdullah ibn Mas'ud, Huzaifah al-Yamani, Abdullah ibn Umar, Abu Hurairah, Ibn Abbas, Aisyah, Hafsah, dan lain-lain.

Manakala dari kalangan Ansar pula seperti Ubai ibn Ka'ab, Mu'az ibn Jabal, Zaid ibn Thabit, Abu ad-Dardaa, Anas ibn Malik, dan sebagainya.

Para sahabat r.a. ini telah menghafal al-Quran semasa hayat Nabi Muhammad s.a.w. lagi. Bilangan huffaz (penghafal al-Quran) makin bertambah berlipat kali ganda dan wujud di merata-rata tempat kesan daripada tersebarnya ajaran Islam ke seluruh dunia. Hasilnya, ummat Islam ketika itu amat dahagakan al-Quran dan bersungguh-sungguh dalam mencari guru-guru untuk mempelajari Qiraat (bacaan) al-Quran.

Perlulah diketahui bahawa pada zaman tersebut, al-Quran masih belum dibukukan secara rasmi. Ini kerana kuatnya ingatan para sahabat r.a. dan ketelitian mereka dalam menjaga al-Quran itu sendiri.

Namun zaman terus berubah. Al-Quran mula ditulis secara meluas pada zaman Saidina 'Uthman r.a. akibat berlakunya fitnah besar kepada ummat Islam semasa pembukaanArmenia dan Azerbaijan. Maka berlakulah pemusatan bacaan al-Quran kepada imam yang dilantik bagi setiap kawasan yang ditentukan bersama mushaf yang sepadan dengan bacaan imam tersebut.

Demikianlah pengenalan ringkas berkenaan perkembangan awal Qiraat.




SEJARAH AWAL PENCIPTAAN DHOWABIDH (GARIS PANDUAN) ILMU QIRAAT

Sebelum pergi lebih lanjut, sukalah disebutkan kembali garis panduan (dhowabidh) atau dalam bahasa mudahnya rukun bagi setiap riwayat bacaan bagi memudahkan sidang pembaca memahami kandungan perbincangan. Penulis ingin menceduk kalam Imam Ibn al-Jazari iaitu Qiraat mempunyai 3 rukun.

Rukun tersebut ialah :
1- Sihhatun Naqli (pemindahan atau periwayatan yang sahih)
2- Muafaqat Rasm Mushaf al-'Uthmani (bertepatan dengan penulisan mushaf 'Uthmani)
3- Muafaqatul 'Arabiyyah (menepati wajah-wajah bahasa Arab)

Amatlah susah untuk ditentukan dari segi sejarah berkenaan siapakah pencipta pertama garis panduan ilmu Qiraat. Walaupun Imam Abu Syamah masyhur dengan riwayat-riwayat berkenaan Qiraat dan Imam Ibnu Jazari dengan matan Thoyyibah, tetapi semua ulama sepakat bahawa kedua-dua imam tersebut bukanlah pencipta pertama kepada Dhowabidh Qiraat.

Dr. Sami Abdul Fatah Hilal, Dekan Kuliah Quran dan  Qiraat al-Azhar Tantaberpendapat kemungkinan faktor yang menyebabkan para ulama' susah untuk menentukan siapakah pencipta dhowabidh ini adalah kerana kekurangan sumber berkenaan ilmu Qiraat khasnya manuskrip-manuskrip yang tersimpan sehingga sekarang amatlah terhad.

Di sini, boleh dikatakan bahawa para sahabatlah yang sebenarnya merupakan pencipta kepada dhowabidh Qiraat. Walaupun bukan dari segi kaedah bertulis, tetapi dari segi talaqqi (berguru) dan praktikal.

Buktinya, para sahabat r.a. telah memindahkan (meriwayatkan) kepada kita bacaan al-Quran (qiraat) Nabi s.a.w. dengan penuh kejujuran. Ini kerana kita semua mengakui akan keadilan dan ketelitian mereka r.a. dalam menjaga al-Quran. Inilah yang dinamakan "Sihhatun Naqli" iaitu periwayatan atau pemindahan yang sahih.

Antara sahabat r.a. yang masyhur dengan periwayatan Qiraat ialah Abdullah ibn Mas'ud iaitu seorang yang senior dalam kalangan sahabat r.a. Beliau telah berkata :"Demi Allah s.w.t., sesungguhnya aku telah mengambil bacaan ini daripada mulut Nabi Muhammad s.a.w. sendiri.."

Tambahan lagi, Nabi s.a.w. merupakan tempat rujukan para sahabat r.a. bagi semua permasalahan khasnya yang melibatkan agama. Ini termasuklah hal-hal berkenaan Qiraat. Hal ini dapat dilihat dalam banyak kisah seumpama kisah perselisihan faham tentang bacaan antara Hisyam ibn Hakim r.a. dan Umar al-Khattab r.a. Semua di atas ialah bukti kukuh bahawasanya para sahabat r.a. telah meriwayatkan Qiraat (bacaan-bacaan al-Quran) secara sahih lagi terjaga.

Manakala dhobidh kedua tidak wujud sehinggalah pada zaman khalifah 'Uthman ibn 'Affan. Ketika itu jumhur sahabat r.a. telah berIJMA' untuk menggunakan Mushaf 'Uthmani sahaja dan membakar mushaf selainnya. Walaupun di sana masih ada lagi mushaf peribadi sesetengah sahabat r.a., namun itu hanyalah untuk simpanan sahabat r.a. tersebut sahaja dan tidak boleh disebarkan. Hanya bacaan yang menepati mushaf 'Uthmani sahaja diterima pakai.

Adapun dhobidh ketiga tidak memerlukan huraian panjang lebar kerana semua sudah sedia maklum bahawa al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab dan para sahabat r.a. ialah golongan yang mahir serta fasih dalam bahasa ini. Dhobidh ini wujud secara langsung dengan pemilihan bahasa Arab sebagai bahasa al-Quran.

Dengan ini, tidak salah kalau dikatakan bahawa titik tolak penciptaan dhowabidh Qiraat ini bermula pada zaman sahabat r.a. lagi. Kemudian berkembang dan terus berkembang sehinggalah seperti yang wujud sekarang.
Pada zaman terdahulu, majoriti ummat Islam tidak akan berhenti daripada bertalaqqi sehinggalah mereka benar-benar 'alim dan tekun dalam menghafal serta meriwayatkan bacaan al-Quran. Namun zaman bertukar zaman. Semakin lama, semakin jauh jurang antara huffaz yang tekun dan teliti dalam periwayatan bacaan al-Quran dengan mereka yang kurang ketekunan dan ketelitian.

Imam Abu Syamah berkata :
"Sesungguhnya pada kemudian hari selepas zaman golongan Qurra yang mutqinun dan Dhobhitun, bibit-bibit khilaf bacaan kembali timbul hasil tersebarnya bacaan-bacaan ke seluruh pelusuk dunia. Apabila berlakunya hal sedemikian, wujudlah kecuaian dalam periwayatan bacaan serta kesamaran antara yang sebenar dan yang batil. Maka ulama mula mengorak langkah bagi menguraikan fitnah tersebut dengan membuat perincian yang manakah yang betul dan sebaliknya, yang manakah yang masyhur, yang ahad, dan yang syaz. Perincian atau kaedah ini dibuat bagi mengembalikan kesahihan dan ketulenan dalam periwayatan. Hasilnya, terciptalah 3 rukun Qiraat secara rasmi dan bertulis."

Imam Ibn al-Jazari mengungkapkan 3 rukun tersebut dalam matan Thoyyibah seperti berikut :
فكل ما وافق وجه نحو # وكان للرسم احتمالا يحوي #
وصح إسنادا هو القرءان # فهذه الثلاثة الأركان #

Iaitu :
1- Sanad yang sahih (bersambung kepada Nabi s.a.w.)
2- Menepati penulisan mushaf 'Uthmani
3- Menepati bentuk-bentuk gaya bahasa Arab.


Sukalah diingatkan bahawa menjadi satu kemestian kepada sesiapa sahaja yang ingin membaca al-Quran itu bertalaqqi atau berguru walau satu bacaan daripada al-Fatihah sehingga an-Nas.

Awas kepada sesiapa sahaja yang tidak pernah khatam al-Quran secara berguru walau sekali, sesungguhnya anda tidak mempunyai tauliah untuk mengajarkan al-Quran kepada sesiapa sahaja. Guru yang dipilih juga mesti seorang yang pernah khatam membaca al-Quran secara berguru dan guru tersebut dari guru sebelumnya sehinggalah bersambung sanad kepada Nabi Muhammad s.a.w. Sebabnya ialah bacaan al-Quran merupakan sunnah yang mesti dituruti tanpa ada pengurangan atau tokok tambah padanya.

Adakah memadai dengan mushaf 'Uthmani sahaja sebagai dhobidh kepada bacaan? Bukankah itu tujuan penulisannya?

Soalan ini biasa timbul. Bahkan ada yang beranggapan apabila dia sudah boleh membaca al-Quran dan tahu hukum tajwidnya maka dia sudah mahir. Tidak perlulah berguru kerana segala formula (tajwid atau teori) sudah dihadam.

Jawapan kepada persoalan di atas ialah memang pada awalnya mushaf 'Uthmani sahaja sudah memadai bagi menjaga kesahihan bacaan al-Quran. Ini berkait rapat dengan jarak zaman tersebut dengan zaman Nabi s.a.w. di samping banyak sahabat r.a. masih hidup. Apa yang tersirat pada waktu ini ialah walaupun sudah wujud mushaf 'Uthmani tetapi kebergantungan sahabat pada kekuatan ingatan masing-masing lebih diutamakan.

Hal ini berbeza selepas berlalunya zaman tersebut dan datangnya zaman percampuran antara bacaan syaz dan mutawatir. Fenomena ini mengundang para ulama untuk kembali bertindak.

Golongan ulama yang berusaha merawat fitnah pada ketika itu diketuai Imam Abu Bakr ibn Ahmad ibn Musa ibn al-'Abbas ibn Mujahid, pengarang kitab as-Sab'ah. Iaitu sebuah kitab yang memilih dan menghimpunkan qiraat majoriti ummat Islam di Madinah, Makkah, Kufah, Basrah, dan Syam.

Pemilihan ini berpandukan kepada qiraat yang ditalaqqi oleh ahli setiap kawasan tersebut daripada golongan sebelum mereka sehinggalah kepada tabi'in kemudian kepada sahabat daripada Rasulullah s.a.w.

Oleh yang demikian, berkata Ibn Sirin daripada 'Ubaidah as-Salmani :

"Qiraat (bacaan al-Quran) yang telah diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan dibentangkan pada 'Irdhotul Akhirah (Pembentangan Terakhir) ialah bacaan yang kita baca sekarang. Rasm 'Uthmani pula seperti yang diketahui umum bahawa tulisan tersebut merangkumi semua bentuk bacaan dan tidak dihadkan kepada satu bentuk sahaja. Semua bacaan yang terdapat dalam tulisan 'Uthmani yang tiada baris dan titik itu tidak dapat dikeluarkan melainkan dengan riwayat (talaqqi dan musyafahah). Tidak memadai untuk menjaga kesahihannya hanya dengan tulisan tetapi mesti disertakan dengan hafalan. Hafalan dan tulisan perlu saling lengkap melengkapi."

Sebagai contoh,

"Seandainya manusia meninggalkan bacaan [ملك يوم الدين  مالك ] pada ayat [ ] iaitu tanpa alif, nescaya manusia tidak akan mengetahui bagaimanakah untuk menyebut kalimah tersebut memandangkan tulisan (ملك) mengandungi puluhan bentuk bacaan," tambah Ibn Sirin.

Oleh itu, kaedah talaqqi atau berguru mesti didatangkan bersama bagi mengajar manusia bahawa hanya terdapat dua bentuk bacaan sahaja yang dibenarkan di sana.

Justeru, jelaslah kepada kita bahawasanya penulisan 'Uthmani sahaja tidak memadai untuk menjamin kesahihan bacaan. Ulama juga telah menetapkan syarat ke'tawatur'an sanad bacaan sehingga kepada Nabi s.a.w. Ini kembali kepada perbincangan sebelumnya iaitu tidak boleh berguru dengan mereka yang tidak bertauliah.

Contoh lain, bagaimana anda ingin membaca isymam, rum, dan tashil pada tempat-tempatnya seandainya anda tidak berguru? Fikir-fikirkanlah..

Wassalam.

(Bersambung ke bahagian kedua..)

Disediakan oleh:

Wan Mohd Al Hafiz bin Wan Mustapa
Kuliah Quran lil Qiraat wa 'Ulumiha,
Universiti al-Azhar, Tanta
Felo MANHAL 
(Sekretariat al-Quran & Qiraat)

Comments

0 comments to "Pengenalan Qiraat Syazzah (Bahagian Pertama)"

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

MAKLUMAN

Blog rasmi Dewan Perwakilan Mahasiswa DPM [MAQAZ] Shoubra ini di bawah selenggaraan Unit Penerangan & Penerbitan (UPP). Ianya bertujuan untuk memudahkan pemberitahuan maklumat setiap aktiviti-aktiviti kepada ahli-ahli DPMMS. AJKT DPM [MAQAZ] Shoubra sangat berbesar hati dan mengalu-alukan sebarang teguran, cadangan dan kritikan yang membina dari sahabat-sahabat sekalian..Sila hantarkan cadangan anda ke e-mail @ YM rasmi DPM [MAQAZ] Shoubra : mymaqaz@yahoo.com

********************
Perhatian :Untuk mendapatkan paparan yang baik, sila gunakan Mozilla Firefox sebagai browser.
 

Hak Cipta Terpelihara Dewan Perwakilan Mahasiswa Maahad Qiraat Al-Azhar As-Syarif of Shoubra / Julang Thaqafah Bakti Dicurah