2-4 Oktober 2009 – Mukhayyam Daim, Kaherah – Seramai 92 orang mahasiswa baru telah menyertai Hari Taklimat & Silaturrahim (HTS 09) yang telah dianjurkan oleh pihak DPM [MAQAZ] Shoubra di Mukhayyam Daim, Kaherah. Program HTS ’09 telah berlangsung pada malam 2 Oktober 2009. Bermula dengan sesi pendaftaran dan pembayaran yuran. Pada keesokkan harinya, para peserta dihidangkan dengan pengisian rohani yang telah disampaikan oleh Ustaz Sheikh Muhd Mujahid Sikh Nawawi yang juga merupakan Pengarah Unit Biah Solehah PMRAM. Program HTS ’09 ini disertai oleh mahasiswa dari pelbagai institusi seperti Darul Quran JAKIM, Kolej Universiti Insaniah (KUIN) Kedah, Pulai Chondong, Ihsaniah dan Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS). Pihak DPM dibawah Unit Sambutan Mahasiswa Baru (USMB) telah berjaya membuat sedikit perubahan berbanding HTS pada tahun-tahun sebelumnya yang hanya dilaksanakan di dalam kawasan markaz DPM sahaja. Kebanyakan modul-modul pada HTS kali ini dilaksanakan dalam bentuk outdoor dan lebih selesa sekaligus memudahkan perjalanan program.
Program HTS diteruskan dengan sesi Taklimat Umum HTS 09 yang disampaikan oleh Ketua Unit Dispilin iaitu Ustaz Mohammad Firdaus bin Musa. Untuk memudahkan lagi perjalanan program, para peserta diperkenalkan dengan semua Ahli Jawatankuasa Induk Unit Sambutan Mahasiswa Baru Shoubra dan Hari Taklimat & Silaturrahim dimulakan dengan Pengarah USMB iaitu Ustaz Mohd Nasruddin bin Mohajir. Majlis Perasmian HTS 09 telah dirasmikan oleh Ustaz Jamal Najmuddin bin Sulaiman yang merupakan wakil Badan Pengurus PMRAM (Badan Kebudayaan, Kesenian & Sukan) merangkap Badan Pengurus Angkat DPM (MAQAZ) Shoubra pada sesi ini. Pelbagai nasihat yang telah dilontarkan sepanjang ucapan beliau kebanyakannya menerapkan kepentingan NIAT apabila sampai di bumi Ardhil Kinanah ini.
Pengisian program HTS kali ini telah disusun dengan baik dari hari pertama bermula Motivasi & Pengalaman di Mesir, seterusnya Halaqah Ukhuwah dan Jalinan Ukhuwah. Pada HTS kali ini, para peserta diberikan peluang untuk menghafal nama para peserta yang lain dan peserta yang paling banyak menghafal nama akan diberikan hadiah. Ternyata, ada di kalangan para peserta yang mampu untuk menghafal dan menyebut nama peserta yang lain satu persatu. Pada sebelah malamnya, para peserta dihidangkan dengan satu Slot Khas yang disampaikan oleh Ust Jamal Najmuddin (BP PMRAM). Beliau telah memberikan penerangan yang lanjut berkenaan dengan Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) serta unit-unit kecil yang terdapat di dalam PMRAM seperti Markaz Pengumpulan Kajian dan Hasilan Penyelidikan (MANHAL), Kelab Penulis PMRAM (KELAP), PMRAM Multimedia Center (PMC) dan lain-lain lagi. Kebanyakan peserta telah mengenali PMRAM sejak di Malaysia lagi. Slot pada malam itu diteruskan dengan pembentangan kertas kerja yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Hafizul Akhbar bin Abdul Rahman yang merupakan graduan Maahad Qiraat Al-Azhar dan memegang jawatan sebagai Pengarah Pusat Sumber Tenaga (PESAT) PMRAM.
Pada hari berikutnya, program diteruskan dengan Sesi Taaruf Ahli Jawatankuasa Tadbir (AJKT) DPM [MAQAZ] Shoubra sesi 2009/10. Di dalam sesi ini, para peserta diberikan penerangan sepenuhnya bidang tugas setiap unit di dalam jawatankuasa tadbir. Seusai sarapan pagi, pihak penganjur telah menyediakan sukaneka dan slot ini merupakan satu perubahan yang dilakukan oleh pihak penganjur. Pelbagai modul yang telah disediakan dan kebanyakkan peserta telah menyertai dalam sukaneka tersebut. Program tidak berakhir setakat itu sahaja. Beberapa slot lain yang telah disediakan untuk para peserta. Antaranya, Taklimat Pengajian, Muamalah Arab, Kesihatan dan Keselamatan, Unit Hisbah dan Unit Baitul Muslim. Setelah selesai Solat Asar, program diakhiri dengan Majlis Penangguhan Program HTS 09 dan Pembahagian Taakhi serta Pembahagian Rumah selepas Solat Maghrib. Semua AJK Pelaksana dan para peserta akhirnya selamat sampai di Shoubra. Sepanjang program berlangsung selama tiga hari, tiada perkara yang tidak diingini berlaku dan tiada gangguan dari mana-mana pihak. Program berjalan dengan lancar dan semua pengisian yang dirancang mampu dilaksanakan dengan baik.
Pihak penganjur mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh AJK Pelaksana, para peserta dan sahabat-sahabat yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam program HTS ’09 pada kali ini. Hanya Allah sahaja yang mampu membalas jasa kalian. Pihak DPM tidak mampu untuk membayar apa yang telah sahabat-sahabat sumbangkan untuk kelancaran program ini, hanya Allah sahaja yang mampu membalasnya. Jazakumullah Khaira jaza’.
P/S : Kepada semua mahasiswa baru, Hari Taklimat & Silaturrahim masih belum berakhir. Terdapat beberapa program lanjutan yang masih belum dilaksanakan dan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. Insya Allah.
Comments
0 comments to "HARI TAKLIMAT & SILATURRAHIM [HTS 09] BERJALAN LANCAR"
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.