Alhamdulillah, sewajibnya kita bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana masih lagi memberi kita kesempatan untuk bertemu dengan tahun baru dalam Islam yang penuh dengan pengajaran. Baru saja kita menyambut Aidil Adha, datang pula peristiwa tahun baru dalam Islam iaitu Maal hijrah.
Maal Hijrah ertinya “ bersama hijrah ”. Bersama hijrah bukan bermusim dan terhad sifatnya. Sambutan yang dibuat saban tahun tidak akan bermakna sekiranya ibrah dan hikmah di sebalik hijrah tidak terserlah. Ia akan terus menjadi ritual yang tidak membangunkan spiritual umat sama seperti sambutan Maulid Nabi, Nisfu Sa’aban, Nuzul Quran, Lailatul Qadar dan lain-lain lagi. Bersama hijrah bermaksud mempelajari, memahami, menghayati dan mengamalkan dan memperjuangkan iman dan Islam berdasarkan “ resipi ” yang telah dilaksanakan oleh Rasulullah S.A.W.
Hijrah yang menjadi tuntutan secara berterusan ialah berpindah atau berubah daripada buruk (jahat) kepada yang baik. Dan ukuran baik atau buruk itu dibuat berdasarkan perspektif iman dan Islam. Bersama hijrah dalam erti kata yang lebih luas ialah sentiasa berubah kepada Islam dan iman yang lebih baik sama ada untuk diri, keluarga, organisasi, masyarakat mahupun negara kita.
Bersama hijrah juga bermaksud sentiasa melakukan perubahan ke arah memperkukuhkan Islam secara istiqamah dan total. Hijrah diri, ialah sejauh mana diri diubah ke arah yang lebih baik dan mantap dari sudut akidah, syariat dan akhlak. Hijrah diri itu perlu diteruskan ke peringkat keluarga, organisasi dan masyarakat.
Manakala hijrah negara pula merangkumi hijrah sistem ekonomi, pendidikan, sosial dan lain-lain sistem kehidupan ialah sejauh mana semuanya mampu memperkukuhkan iman dan Islam kita untuk memberi keamanan dan kemakmuran kepada orang Islam dan bukan Islam persis yang dibuat oleh Rasulullah S.A.W. di negara Islam Madinah dahulu.
Untuk melakukan hijrah yang menyeluruh itu, semua pihak mesti berperanan. Kenali watak dan peranan wira-wira hijrah yang mampu dan sesuai untuk diteladani. Pilihlah, sama ada untuk meneladani:
• Kesetiaan dan kemurahan hati Sayidina Abu Bakar (menyediakan keperluan logistik dan teman karib kepada Rasulullah S.A.W.).
• Keberanian dan amanahnya Sayidina Ali (berselimut di tempat tidur Rasulullah S.A.W. dan memulangkan kembali harta orang lain yang diamanahkan kepada Rasulullah S.A.W.).
• Kecekapan Asma binti Abu Bakar (menyediakan makanan).
• Sifat murah hati Ummu Maabad (rela kambingnya diperah susu untuk memberi minum dalam perjalanan Rasulullah S.A.W. dan Sayidina Abu Bakar).
• Kesal dan akurnya Suraqah (yang mulanya menentang tetapi akhirnya tunduk dan yakin kepada kemenangan Islam).
Islam kini menagih hijrah justeru nasibnya yang dagang seperti mana ia bermula. Apa yang disabdakan oleh Rasulullah S.A.W. telah benar-benar berlaku. Rasulullah S.A.W. bersabda:
“ Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Bersabda Rasulullah S.A.W., “ Islam mula tersebar dalam keadaan dagang (asing). Dan ia akan kembali asing pula. Maka beruntunglah orang orang yang asing”. H.R. Muslim
Jadilah “orang beruntung” yakni orang yang bersiap sedia untuk melakukan hijrah satu langkah “jump start” yang sangat diperlukan masa kini. Perkukuhkanlah iman dan lakukanlah hijrah setiap masa, di mana sahaja dan di posisi mana pun kita berada. Sentiasa ada set minda (“mind set”) hijrah di dalam diri kita yang menyebabkan apa sahaja yang kita fikir, rasa, buat dan laksanakan adalah ke arah Islam dan iman yang lebih baik.
Setiap diri berfikir untuk menghijrahkan hati, akal, nafsu, emosi dan fizikalnya ke arah iman dan Islam. Ibu bapa berfikir bagaimana menghijrahkan keluarganya. Guru-guru bertanggung jawab menghijrahkan sekolah. Imam hijrah dengan anak-anak kariahnya. Pemimpin masyarakat menghijrahkan kampung, mukim, bandar dan daerah. Wakil rakyat di kawasan parlimen masing-masing.
Inilah pra syarat untuk mencapai kejayaan. Bantuan Allah akan sentiasa bersama kita jika kita bersama hijrah. Maha Hebat Allah yang menjadi sesarang lelabah dan merpati yang zahirnya begitu lemah untuk melindungi dua orang kekasihnya di gua Thur… Namun di situlah kehebatan kuasa Allah yang pernah menjadikan air untuk menewaskan Firaun dan bala tenteranya, nyamuk untuk membunuh Namrud, burung dan batu kecil ketika memusnahkan tentera bergajah Abrahah.
Dan untuk kita umat Islam akhir zaman, pasti ada bantuan yang sama, dengan syarat kita berhijrah dengan tenaga, harta, masa dan jiwa. Hijrah atau kalah, yang mana satu pilihan kita?
Comments
0 comments to "SOUTUD DAKWAH : Edisi Awal Muharram 1431h"
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.