Oct 7, 2010

SIRI PENGENALAN PARA IMAM QURRA' : IMAM NAFI'

0 comments
 
Firman Allah SWT  yang bermaksud : “Kemudian Kitab itu kami wariskan kepada orang-orang yang kami pilih di antara hamba-hamba Kami, lalu di antara mereka ada yang menzalimi diri sendiri, ada yang pertengahan dan ada pula yang lebih dahulu berbuat kebaikan dengan izin Allah.Yang demikian itu adalah kurniaan yang besar” (al Fathir ayat 32).Demikianlah anugerah Allah SWT pada hamba-hambaNya yang dikasihi, Al Quranul Karim menjadi wirid amalan, segala isi dan tuntutan dijadikan pakaian harian.Maka lahirlah golongan yang diumpamakan Al Quran yang berjalan di muka bumi tuhan.Di antara yang menjadi pilihan  dan termaktub nama mereka zaman berzaman ialah imam qurra yang bacaan al Quran berbagai riwayat dinisbahkan kepada mereka.

SIRI PENGENALAN PARA IMAM QURRA ingin sekali memaparkan riwayat hidup mereka agar menjadi tatapan umat  agar kelebihan ,ketokohan,keilmuan,  sumbangan  serta jasa mereka memartabatkan peranan al Quran menjadi ikutan.Saat ketika nama-nama artis terkenal menjadi sebutan dan kehidupan mereka seharian menjadi tumpuan musibah melanda umat apabila insan-insan pilihan Allah dipinggirkan.Riwayat hidup mereka tidak baca malah dianggap tidak memberi pulangan.Lalu umat menjadi lesu dan lalai sebagaimana kelalaian yang menimpa idola pujaan. Ingatlah kata-kata hikmah dari Imam Abdullah ibn Mubarak bahawa rahmat Allah itu turun saat disebut nama-nama para solihin.Mengambil peluang ini,maka jalur kehidupan mereka dipapar kembali.



 ( 1 )  IMAM NAFI

NAMA          :  Nafi’ bin Abdirrahman bin Abi Nuai’am al Laithi

GELARAN    :  Abu Ruwaim dan digelar juga Abul Hasan atau Abu Abdirrahman

KELAHIRAN : Beliau berasal dari Asbahan dan dilahirkan  pada tahun 70
                       hijrah                                                     

SIFAT BELIAU :

 Imam Nafi’ adalah salah seorang daripada 10 imam qurra yang termasyur namanya  sehingga kini.Beliau mempunyai kulit yang sangat hitam akan tetapi memiliki sekeping hati yang sangat jernih dan gilang gemilang.Tentunya akhlak beliau menuruti akhlak baginda Nabi SAW lebih-lebih lagi beliau berada di kota Madinah dan menjadi ikutan umat ketika itu.Wajah yang tampan dan bersikap tenang serta mesra malah boleh bergurau membuat masyarakat mudah mendekatinya.


KARAMAH :

 Imam Nafi’ RA dikurniakan Allah SWT dengan kelebihan mulut yang sentiasa berbau wangian kasturi asbab khidmat dan kecintaan yang keterlaluan terhadap al Quranul Karim.Hal ini dinyatakan sendiri oleh beliau saat ditanya seseorang, “apakah tuan memakai wangian tatkala duduk mengajarkan al Quran kepada orang ramai?” Kata imam: “ Sesungguhnya aku tidak mendekati wangian dan menyentuhnya tetapi satu ketika aku pernah bermimpi melihat baginda Nabi SAW membacakan al Quran dimulutku.Semenjak itu mulutku terus menjadi begini.Dalam riwayat lain beliau ditanya “ bagaimana wajahmu seindah ini dan akhlakmu begitu luhur?”.Beliau menjawab, “ bagaimana aku tidak menjadi seperti yang kamu sebutkan sedang dulu aku pernah bermimpi Nabi SAW  bersalam denganku lalu baginda membacakan al Quran kepadaku.Beliau adalah orang yang sangat pemurah lagi zuhud dan bersolat di masjid Nabawi selama 60 tahun.


RIWAYAT HIDUP

Imam Nafi RA memegang jawatan tertinggi majlis qurra pada  zamannya dan masyarakat Madinah berkumpul dan mendampinginya untuk belajar bacaan daripada beliau.Pernah bertemu dengan Imam Malik dan para ulama yang lain dan meriwayatkan bacaan dari 70 orang tabiin yang bersambung sanad hingga Rasulullah SAW. Antara para guru beliau ialah Imam Abu Jaafar al Qa’qa, Syaibah bin Nashoh, Muslim bin Jundub, Yazid bin Ruuman, Muhammad bin Muslim Syihab az Zuhri dan Abd Rahman bin Hurmuz al A’araj.Beliau menumpukan seluruh kehidupan   melebihi 70 tahun dalam menyebarkan ilmu-ilmu al Quran tanpa menerima ganjaran selain harapan kepada Allah SWT.Tiada yang paling alim di kota Madinah  dalam bacaan al Quran selain bacaannya sehingga dinisbahkan bacaan tersebut dengan namanya.Said bin Mansur meriwayatkan perkataan Imam Malik bin Anas yang berkata: “Bacaan penduduk Madinah adalah sunnah(terpilih).Beliau ditanya lagi : “apakah itu baca Nafi RA?”.Lalu beliau menjawab : “ya”. Seluruh pelosok tanah arab mengunjunginya baik dari Syam ,Mesir dan selainnya.Antara anak murid beliau adalah Imam Malik bin Anas , Imam Laith bin Saad , Abu Amru bin Al Ala’, Al Musi , Isa bin Wardan, Sulaiman bin Muslim bin Jammaz, Ismail dan Yaakub kedua-duanya anak Abu Jaafar.

KEWAFATAN

Kehilangan sebutir permata berharga ditangisi manusia dan bumi keseluruhannya apabila kembali kepada Sang Pencipta yang dirinduinya setelah 99 tahun berkelana di dunia fana.Beliau meninggalkan umat dengan khazanah ilmu pada tahun 169 Hijrah dan disemadikan berdekatan dengan baginda Nabi SAW.Alangkah mulia jasad beliau bersemadi dengan  baginda berkongsi tanah yang sama dan pasti kelak bertemu di syurga dengan riang gembira.Semoga syafaat al Quran untuk beliau dan kita bersama.
 
Disediakan oleh:
Mohd Asyraf Tajuddin
Mahasiswa Tahun Tiga Maahad Qiraat Shoubra
Felo MANHAL PMRAM 
 

Comments

0 comments to "SIRI PENGENALAN PARA IMAM QURRA' : IMAM NAFI'"

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

MAKLUMAN

Blog rasmi Dewan Perwakilan Mahasiswa DPM [MAQAZ] Shoubra ini di bawah selenggaraan Unit Penerangan & Penerbitan (UPP). Ianya bertujuan untuk memudahkan pemberitahuan maklumat setiap aktiviti-aktiviti kepada ahli-ahli DPMMS. AJKT DPM [MAQAZ] Shoubra sangat berbesar hati dan mengalu-alukan sebarang teguran, cadangan dan kritikan yang membina dari sahabat-sahabat sekalian..Sila hantarkan cadangan anda ke e-mail @ YM rasmi DPM [MAQAZ] Shoubra : mymaqaz@yahoo.com

********************
Perhatian :Untuk mendapatkan paparan yang baik, sila gunakan Mozilla Firefox sebagai browser.
 

Hak Cipta Terpelihara Dewan Perwakilan Mahasiswa Maahad Qiraat Al-Azhar As-Syarif of Shoubra / Julang Thaqafah Bakti Dicurah