Nov 22, 2010

SIRI PENGENALAN PARA IMAM QURRA' : IMAM ABU AMRU BIN AL A'LAA AL BASRI (BAHAGIAN KETIGA)

0 comments



NAMA

Zabban bin al A'laa bin Ammar bin al Aryan bin Abdullah bin al Hussain bin al Haaris bin Jalhamah sehingga berakhir pada nama nenda beliau Adnan.

GELARAN

Umat mengenal beliau dengan panggilan al Imam as Sayyid  Abu Amru at Tamimi al Maazini al Basri.

KELAHIRAN

Bintang yang bercahaya ini dilahirkan pada tahun 70H di bumi bertuah Mekah al Mukarramah , sebahagian riwayat menukilkan beliau lahir pada tahun  68H.

SIFAT BELIAU

Ahli hadis mengambil riwayat hadis daripada beliau berdasarkan sifat beliau yang tsiqah (dipercaya) dan mereka menyifatkannya seorang yang benar dalam ucapan dan tindakan sesuai dengan diri beliau yang menanggung kemulian al Quran.Terkenal sebagai tokoh kaumnya dan pemuka masyarakat.Sarjana sastera arab  al Farzadiq dan rakan-rakannya  memuji beliau atas kehebatan sang Imam  menguasai seni bahasa tersebut dengan mengatakan beliau paling alim dalam al Quran dan Bahasa Arab.

Terserlah pada diri beliau sifat benar,tsiqah, amanah, zuhud, dan beragama. Al Asmu'ie meriwayatkan bahawasanya Imam Abu Amru pernah berkata :" Aku tidak melihat sebelumku orang yang lebih alim dari diriku".Maka  al Asmu'ie mengakui hal tersebut dengan berkata : "Sesungguhnya aku tidak pernah mengetahui selepas kewafatannya , manusia yang lebih alim dari beliau(Imam Abu Amru)".

Yunus bin Habib an Nahwi telah berkata : "Jika sekiranya ada  manusia yang layak diambil  perkataannya  pada setiap hal maka perkataan Imam Abu Amru adalah terlebih utama untuk diikuti".

Pengarang kitab sejarah Al Bidayah wan Nihayah Ibn Kathir memuji beliau dalam kitabnya  dengan ungkapan , sang Imam adalah  tanda kebesaran Allah pada zamannya dalam bidang ilmu qiraat ,nahu dan fiqh.


RIWAYAT HIDUP

Jika bukan kerana kezaliman al Hajjaj ibn Yusuf as Tsaqafi nescaya beliau dan keluarga besarnya  akan kekal menetap di bumi mulia Madinah al Munawwarah.Akan tetapi takdir tertulis mereka semua berhijrah menyelamatkan diri ke bumi Basrah.Begitu pun beliau sempat berguru menadah ilmu dari ulama bumi Mekah dan Madinah sebelum berpindah ke tempat baru.Di Basrah dan Kufah tanah berkat yang menampung ribuan ulama dan fuqaha menarik minat belajar beliau sehingga tiada satu pun ulama yang disebut nama mereka melainkan beliau pernah berguru dengannya.Beliau termasuk dalam golongan tabiin yang mulia dan pernah bertemu dengan para sahabat Nabi SAW seperti Saidina Anas bin Malik RA dan lain-lain.Dinukilkan bahawa antara tujuh imam qurra yang lain,beliau  adalah ulama yang mempunyai bilangan guru yang paling ramai. Beliau pernah ditanya bilakah masa paling sesuai untuk seseorang menuntut ilmu lalu jawab beliau selama mana hidup masih ada"

Saidina Sufiyan bin Uyainah RA menceritakan :"Aku pernah bermimpi bertemu baginda  Rasul SAW seraya bertanya kepada baginda tentang masalah perbezaan bacaan qiraat yang mana satu sesuai menjadi bacaanku?,jawab Rasul SAW: "Bacalah dengan qiraat Abu Amru bin Al A'laa."


 GURU-GURU BELIAU

 Di antaranya ialah :
1. Al Hasan bin Abil Hasan al Basri
2. Abu Jaafar
3. Humaid bin Qais al A'araj al Makki
4. Abu al A'liah
5. Yazid bin Ruuman
6. Syaibah bin Naashoh
7. Asim bin Abi Najud
8. Abdullah bin Kathir
9. Abdullah bin Abi Ishak al Hadhrami
10. A'to bin Abi Rabah
11.Ikrimah bin Khalid al Makhzumi
12. Ikrimah hamba Ibn Abbas
13. Mujahid bin Jabar
14. Muhammad bin Muhaisin
15. Nasr bin Asim
16. Yahya bin Ya'mar
17. Said bin Jubair

MURID-MURID BELIAU

Di antaranya ialah :
1. Abu Zaid Said bin Wars
2. Salam bin Sulaiman at Towil
3. Sahl bin Yusuf
4.Syuja' bin Abi Nasr al Balkhi
5. Al Abbas bin al Fadl
6. Abdullah bin Mubarak
7. Yahya bin al Mubarak al Yazidi
8. Sibawaih (ulama nahu)
9. Yunus bin Habib (ulama nahu)
10. Al Khalil bin Ahmad (ulama nahu)
11. Abu Ubaidah Muammar bin al Mutsanna (ulama nahu)
12. Al Asmu'ie  (ulama nahu)
13. Muaz bin Muslim (ulama nahu)
 *Mereka yang diatas sebahagiannya mengambil faedah ilmu tatabahasa Arab daripada Imam Abu Amru RA.


KEWAFATAN

Insan bertuah ini telah kembali ke rahmatullah sekitar usia 84 -86 tahun pada tahun 154H  dan jasadnya disemadikan di Kufah Kota Ilmu.Umat menangisi pemergian beliau sebagai ulama yang mutqin dan mutafanni dalam setiap lapangan.Ketika jenazah  diziarahi ,para ulama mengucapkan takziah sesama sendiri kerana benar-benar merasai kehilangan insan yang berilmu."Sesungguhnya kami mengucapkan takziah kepada kamu(ahli keluarga) dan kepada diri kami sendiri diatas kehilangan insan yang tiada lagi seumpamanya.Demi Allah , jika dibahagikan ilmu dan zuhud Abi Amru kepada 100 orang manusia biasa nescaya mereka masing-masing menjadi ulama yang zuhud.Demi Allah, jika Rasul melihatnya(Abu Amru) pasti baginda akan menyenanginya."

Allahu Allah….betapa bertuahnya seorang Imam dengan ungkapan demikian pasti dimakbulkan Tuhan doa mereka.

Disediakan oleh,

Mohamad Asyraf bin Mohd Tajuddin
Felo MANHAL PMRAM

Comments

0 comments to "SIRI PENGENALAN PARA IMAM QURRA' : IMAM ABU AMRU BIN AL A'LAA AL BASRI (BAHAGIAN KETIGA)"

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

MAKLUMAN

Blog rasmi Dewan Perwakilan Mahasiswa DPM [MAQAZ] Shoubra ini di bawah selenggaraan Unit Penerangan & Penerbitan (UPP). Ianya bertujuan untuk memudahkan pemberitahuan maklumat setiap aktiviti-aktiviti kepada ahli-ahli DPMMS. AJKT DPM [MAQAZ] Shoubra sangat berbesar hati dan mengalu-alukan sebarang teguran, cadangan dan kritikan yang membina dari sahabat-sahabat sekalian..Sila hantarkan cadangan anda ke e-mail @ YM rasmi DPM [MAQAZ] Shoubra : mymaqaz@yahoo.com

********************
Perhatian :Untuk mendapatkan paparan yang baik, sila gunakan Mozilla Firefox sebagai browser.
 

Hak Cipta Terpelihara Dewan Perwakilan Mahasiswa Maahad Qiraat Al-Azhar As-Syarif of Shoubra / Julang Thaqafah Bakti Dicurah